- Iklan -
Berita

Najib, anak fail rayuan elak bayar tunggakan cukai, mahkamah diberitahu

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan menentang rayuan mereka, mengatakan negara perlu mengutip cukai.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini bahawa tindakan Najib Razak dan anaknya Nazifuddin merayu terhadap penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan lebih daripada RM1.7 bilion tunggakan cukai, adalah bagi mengelak daripada membayar cukai itu.

Ketua Peguam Cara Hasil Hazlina Hussain, yang mewakili LHDN berkata lazimnya, skim percukaian setiap pentadbiran cukai di dalam dunia meminta pembayar cukai membayar cukai yang perlu dijelaskan tanpa mengambil kira sebarang rayuan.

“Jika rayuan ini dibenarkan mahkamah, kepentingan umum akan menjadi prejudis secara keseluruhan dan rayuan ini difailkan oleh pemohon untuk mengelakkan cukai yang perlu dijelaskan dan dibayar terlebih dahulu,” katanya pada pendengaran rayuan Najib dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus kepada mereka di hadapan panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan  Abang Iskandar Abang Hashim.

Lain-lain hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais.

Beliau berkata skim percukaian yang memerlukan pembayar cukai menjelaskan cukai dahulu tidak melakukan prejudis atau mendiskriminasi terhadap pembayar cukai kerana pembayar cukai yang terkilan terhadap penilaian Ketua Pengarah LHDN boleh merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan  (SCIT) yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, Akta Cukai Pendapatan 1967. 

“Pembayar cukai perlu menjelaskan jumlah yang ditetapkan dahulu tanpa mengambil kira sebarang rayuan. Rasional di sebalik prinsip ini ialah untuk melayani pembayar cukai dengan saksama, sama ada antara pembayar cukai yang patuh serta yang ingkar dan paling penting sekali ialah melindungi perbendaharaan kerajaan,” katanya. 

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Nazifuddin berhujah bahawa adalah jelas pihak responden mahu membankrapkan pemohon malah sebelum SCIT boleh mendengar merit pembelaan kepada penilaian cukai tambahan yang dikenakan kepada anak guamnya. 

“Jika responden berjaya dalam membankrapkan pemohon malah sebelum SCIT memulakan atau menyelesaikan prosiding bermakna keseluruhan hujahan responden mengenai SCIT selaku ‘forum yang  sewajarnya’ adalah akademik,” kata beliau sambil menambah kes ini tidak sesuai untuk penghakiman terus kerana wujud faktor mengapa ia harus diteruskan menerusi perbicaraan. 

Beliau berkata mahkamah ini berselindung dengan bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan cabaran perlembagaan yang timbul daripada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan yang menyatakan berhubung tindakan sivil LHDN untuk mendapatkan semula cukai, mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan terhadap cukai yang ingin dituntut sebagai berlebihan, tidak dinilai dengan betul, di bawah rayuan atau  dinaikkan secara tidak tepat.

Pada ketika itu, Nallini mencelah dan berkata peruntukan itu adalah penting kepada keupayaan Malaysia untuk mengutip cukai sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengagihkan semula kekayaan dalam kalangan rakyat. 

Hakim itu berkata negara ini masih perlu mengutip cukai dan keupayaan kerajaan mengutip cukai mungkin terjejas jika setiap pembayar cukai dibenar mengemukakan pernyataan pembelaan ketika disaman kerana cukai.

“Jika setiap pembayar cukai boleh datang ke mahkamah dan diberi perbicaraan penuh (terhadap saman cukai LHDN tanpa penghakiman terus dibenarkan) terhadap amaun yang ditaksirkan, negara ini tidak akan bergerak. B40 akan terhapus kerana tiada lagi wang (dalam perbendaharaan kerajaan), kata Nallini.

Selepas selesai hujahan, mahkamah menangguhkan penghakiman rayuan itu.

Bekas Perdana Menteri dan anak lelakinya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus kepada tunggakan cukai pendapatan. 

Satu penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes menerusi hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing membenarkan permohonan LHDN untuk memperoleh penghakiman terus bagi mendapatkan tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin dari 2011 hingga 2017.

Kedua-dua Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu. Pada 10 Mei tahun lepas Mahkamah Persekutuan membenarkan mereka untuk merayu di mahkamah tertinggi negara.