Sunday, April 11, 2021

Perbicaraan kes rasuah RM6.35 juta bekas SU politik Mat Sabu pada 15 Mac

Azhar berdepan dengan lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat kontraktor.

Other News

Perbicaraan kes bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu yang menghadapi lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu, akan bermula pada 15 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata mahkamah menetapkan 15 sehingga 17 Mac untuk perbicaraan kes dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali, selain menetapkan 12 Mac untuk sebutan kes itu.

“Pihak pendakwaan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 37 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes,” katanya kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, hari ini.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein, yang mewakili Azhar berkata pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi satu pertuduhan meminta suapan, Azhar, 50, didakwa meminta RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, di Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019.

Bagi empat pertuduhan menerima, Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi menteri pertahanan di Kuala Lumpur, antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles