- Iklan -
Berita

Kejatuhan universiti, mengejar ranking disebabkan ‘imperialisme akademik’

Chandra Muzaffar berkata, obses terhadap ranking dunia antara punca kejatuhan universiti tempatan, ia juga merupakan petunjuk kepada rakyat Malaysia yang mementingkan status.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Misi asas universiti adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, kata Chandra.
Misi asas universiti adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, kata Chandra.

Obses dengan ranking dunia dan kurangnya usaha membanteras penipuan akademik dikatakan antara punca kemerosotan standard institusi pengajian tinggi di dalam negara ini, kata seorang pengkritik sosial terkemuka selepas pendedahan terbaru yang mencalarkan imej universiti di Malaysia.

Chandra Muzaffar, seorang bekas ahli akademik yang menjadi tajuk utama berita pada lewat 1990-an apabila dipecat sebagai profesor oleh Universiti Malaya berkata, tiada sebarang perhatian serius diberikan dalam usaha menangani kemerosotan standard institusi pengajian tinggi di Malaysia yang mungkin sudah berlarutan sejak tahun 1980-an lagi.

“Berlaku campur aduk dalam menentukan apa paling utama, yang mana kita lebih mementingkan ranking. Jika dilihat universiti-universiti di luar negara, ketika sedang membangun, mereka tidak peduli soal ranking,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada Ahad, MalaysiaNow memetik satu penemuan daripada dua orang profesor dari Republik Czech, yang antara lain turut mendedahkan ahli akademik Malaysia termasuk dalam kalangan penulis terkenal yang menerbitkan lebih daripada 300 “jurnal pemangsa” atau penerbitan dipersoalkan standard kandungan dan editorial, dan dikatakan kebiasaanya menerima bayaran untuk menerbitkan artikel.

Terdapat 324 jurnal pemangsa diterbitkan dari seluruh dunia ditemui dalam Scopus, iaitu pangkalan data berpusat di Belanda yang sering digunakan sebagai penanda aras oleh agensi ranking universiti global dalam melakukan penilaian universiti-universiti dunia.

Chandra Muzaffar

Gilakan ranking

Chandra mengatakan penetapan ranking universiti tempatan pada kedudukan lebih baik merupakan perkembangan baru, menjadi punca kepada penerbitan kerja-kerja penyelidikan secara terburu-buru untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data akademik.

“Kegilaan mengenai ranking ini merupakan perkara baru.

“Saya lihat semua ini sebagai sebahagian daripada permainan imperialis untuk menggambarkan universiti-universiti tertentu sebagai di bawah mereka. Ia sebenarnya hanya untuk mengekalkan dominasi beberapa universiti, terutamanya universiti Barat,” katanya.

“Tindakan menggambarkan universiti-universiti ini sebagai puncak kecemerlangan adalah dengan satu tujuan untuk memastikan idea, individu dan kursus yang dikaitkan dengan mereka dapat dikekalkan sebagai penanda aras standard ilmu pengetahuan.”

Setiap tahun, sekurang-kurangnya dua organisasi akan menerbitkan senarai universiti mereka dari seluruh dunia, dengan memberi skor ranking berdasarkan indakator.

Tahun lepas, Times Higher Education World University Rankings menyenaraikan universiti-universiti di Britain, Amerika Syarikat dan lain-lain negara-negara Eropah pada kedudukan 20 teratas daripada 1,500 universiti di 93 buah negara.

Universiti Barat turut mendominasi kedudukan teratas dalam senarai yang dikeluarkan oleh QS University Rankings, lagi satu indeks global yang diterbitkan dari United Kingdom.

Chandra berkata universiti sepatutnya tidak membuang masa berebut untuk masuk ke dalam ranking global, dan perlu menumpukan perhatian dalam meningkatkan kualiti penyelidikan mereka.

“Misi asas universiti adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan.”

Masalah lama

Chandra berkata, beliau tidak merasakan ada usaha serius dilakukan bagi menangani penurunan kualiti institusi pengajian tinggi negara ini.

Katanya dengan memberikan contoh penipuan akademik seperti mencedok hasil karya orang lain masih berlaku di universiti-universiti di dalam negara ini.

“Disebabkan itu plagiat yang merupakan dosa besar dalam bidang akademik tidak diendahkan dan menjadi sebab kenapa orang mengejar kerjaya mereka menggunakan jurnal yang diragui”.

“Kes yang serupa dengan ahli akademik yang memplagiat tesis atau hasil kerja yang sebenarnya dihasilkan dengan usaha salah seorang pelajar anda, dan diterbitkan sebagai usaha sama dengan meletakkan kedua-dua nama mereka.”

Katanya isu itu bukanlah sesuatu yang baru, dan bermula sejak 1980-an lagi ketika universiti digunakan bagi memupuk sokongan politik kepada pemimpin-pemimpin tertentu dalam kerajaan pada ketika itu.

Beliau berkata, sikap mengejar kedudukan akademik merupakan satu petunjuk kepada masalah lebih besar dalam masyarakat, seperti memberi penekanan kepada status.

“Ia adalah fakta yang tidak boleh disangkal bahawa Malaysia adalah masyarakat yang pentingkan status sosial di mana kedudukan, atau gelaran sering dijadikan ukuran menentukan nilai setiap individu.”

Chandra mengatakan reformasi semula sistem pendidikan tinggi negara tidak terhenti dengan mengubah undang-undang ketat di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Sikap nilai dan keutamaan perlu diubah. Ia merupakan tugas berat yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan.”