- Iklan -
Berita

76% rakyat Malaysia sokong SOP Tahun Baru Cina ditetapkan kerajaan

Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, 24% lagi tidak menyokong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Putrajaya menambah baik SOP dengan membenarkan makan besar keluarga tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri.
Putrajaya menambah baik SOP dengan membenarkan makan besar keluarga tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri.

76% daripada rakyat Malaysia menyokong prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina yang ditetapkan kerajaan, menurut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, berbanding 24% yang tidak menyokong.

Dalam kaji selidik yang melibatkan 651 orang responden dari seluruh Malaysia itu, responden ditanyakan tentang keperluan pelaksanaan SOP baru sambutan Tahun Baru Cina.

“Rata-rata responden bersetuju bahawa pelaksanaan SOP itu perlu untuk sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang.

“Ini bagi memastikan pergerakan orang ramai terkawal memandangkan orang ramai tidak mungkin patuh 3W & 3C semasa musim perayaan,” kata UCSI dalam satu kenyataan hari ini.

3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran daripada kementerian kesihatan yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Sementara 3C  adalah jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Baru-baru ini SOP sambutan Tahun Baru Cina dikeluarkan kerajaan menimbulkan kemarahan warga media sosial yang rata-ratanya mempersoalkan tentang makan besar keluarga hanya dibenarkan bagi yang tinggal dalam satu rumah.

Bagaimanapun Putrajaya menambah baik SOP dengan membenarkan makan besar keluarga tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri.

UCSI berkata, peningkatan kes Covid-19 mungkin menjadi alasan responden kurang percaya terhadap kepatuhan orang ramai terhadap 3W&3C terutama di musim perayaan.

“Sementara itu, responden masih keliru dengan keberkesanan kawalan pergerakan apabila aktiviti ekonomi dibenarkan ditambah pula dengan SOP yang tidak konsisten.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengeluarkan SOP yang konsisten dan kurang mengelirukan orang awam,” katanya.