- Iklan -
Berita

Orang Melayu, penduduk luar bandar sokong langkah kerajaan urus pandemik Covid-19

Melayu dan Bumiputera turut menerima cara urus tadbir kerajaan sepanjang tempoh krisis Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang Melayu dan Bumiputera lebih menyokong tindakan membolehkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding kaum Cina dan India.
Orang Melayu dan Bumiputera lebih menyokong tindakan membolehkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding kaum Cina dan India.

Orang Melayu dan Bumiputera dilihat lebih menyokong inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 berbanding komuniti Cina dan India, menurut satu kaji selidik yang dijalankan badan pemikir Emir Research.

Kaji selidik yang dijalankan pada suku keempat tahun lalu itu melibatkan seramai 1,976 responden dari seluruh negara, bertujuan untuk menilai hala tuju negara dan keadaan kehidupan masyarakat dalam tempoh pandemik.

Kaji selidik itu mendapati kaum Melayu dan Bumiputera “lebih banyak” memilih untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekali gus atau secara berkala.

Sebanyak 52% bersetuju mengeluarkan secara sekali gus dan 48% lagi inginkan pengeluaran dilakukan secara bulanan.

Bagaimanapun 14% tidak bersetuju dengan langkah tersebut manakala 19% dengan 34% dan 33% mengatakan mereka tidak pasti.

Kaji selidik itu juga menunjukkan orang Melayu dan Bumiputra lebih menyokong urus tadbir kerajaan ketika pandemik Covid-19 berbanding kaum India dan Cina, dengan 62% bersetuju – angka itu lebih rendah berbanding 72% yang memberikan reaksi sama dalam tinjauan yang dilakukan pada suku ketiga 2020.

Sementara 25% mengatakan tidak pasti dan 12% tidak bersetuju.

Mengenai urus tadbir krisis pandemik Covid-19 selepas pilihan raya negeri Sabah tahun lepas yang menyaksikan lonjakan jumlah kes harian, 30% responden kaum Cina dan 38% India bersetuju berbanding 52% orang Melayu dan Bumiputera.

Sejumlah 45% menyatakan mereka bersetuju dengan urus tadbir kerajaan selepas pasca pilihan raya, dan kira-kira 32% lagi tidak pasti manakala 23% tidak bersetuju.

Menurut kaji selidik itu, impak negatif Covid-19 terhadap ekonomi dan keselamatan negara menujukkan ia lebih dirasai penduduk di bandar dan mereka yang berpendidikan tinggi.

Golongan berpelajaran turut bersetuju dengan inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik dan urus tadbir sepanjang tempoh krisis pandemik Covid-19.

Hasil kajian juga turut mendedahkan responden yang memperoleh gaji RM3,001 dan ke atas mengakui menerima impak negatif Covid-19 ke atas ekonomi, sektor pekerjaan dan keselamatan negara berbanding mereka yang bergaji RM1,500 ke bawah.

Responden yang memperoleh gaji RM3,001 hingga RM5,000 “lebih banyak” menyokong cara urus tadbir kerajaan dalam mengurus krisis Covid-19, urus tadbir selepas pilihan raya negeri Sabah dan pengeluaran sekali gus Akaun 1 KWSP berbanding mereka daripada kumpulan pendapatan lain.