- Iklan -
Berita

Mahkamah khas untuk percepatkan kes rasuah ahli politik?

Tempoh darurat waktu yang terbaik untuk melaksanakannya dan boleh membantu menyelesaikan lambakan kes melibatkan bekas pemimpin negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh dan Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang peguam kanan mencadangkan mahkamah khas untuk mempercepatkan kes-kes melibatkan ahli politik, mengatakan tempoh darurat waktu yang terbaik untuk melaksanakannya.

Haniff Khatri Abdullah berkata, penubuhan mahkamah khas boleh membantu menyelesaikan lambakan kes melibatkan bekas pemimpin negara dan menambah darurat pandemik yang diisytiharkan minggu lalu boleh digunakan untuk tujuan itu.

Katanya, dengan kuasa darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh mewujudkan undang-undang khas untuk menentukan kesemua keputusan kes-kes jenayah melibatkan ahli politik diadakan di mahkamah khas sehingga selesai.

Semenjak 2018, beratus-ratus pendakwaan terhadap ahli politik kanan, dengan kes berkait 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Selain Najib, bekas timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, termasuk pemimpin Umno seperti Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan, Abdul Azeez Rahim dan Shahrir Samad turut dibicarakan kerana rasuah melibatkan jutaan ringgit.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, kes rasuah melibatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibuka semula.

Rayuan Najib yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah akan didengar bulan depan untuk mengenepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Haniff yakin dengan adanya mahkamah khas, kes-kes seperti ini akan diselesaikan dengan lebih cepat kerana hakim tidak akan diganggu dengan kes-kes lain.

“Dan sudah tentu, tanpa menjejaskan hak pembelaan dan memprejudiskan prinsip-prinsip perundangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seorang lagi peguam kanan berkata, penubuhan mahkamah khas perlu selari dengan kerangka yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Hendaklah menepati Artikel 121, 122AA dan 122AB dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan hakim bagi mahkamah tersebut hendaklah menepati Artikel 122B Perlembagaan Persekutuan,” kata peguam Perlembagaan Nizam Bashir kepada MalaysiaNow.

Haniff yakin dengan adanya mahkamah khas, kes-kes seperti ini akan diselesaikan dengan lebih cepat kerana hakim tidak akan diganggu dengan kes-kes lain.

Nizam berkata dengan adanya darurat, Agong boleh menggunakan kuasanya di bawah Artikel 150(2B) untuk mengisytiharkan ordinan.

“Ordinan-ordinan tersebut memiliki tempoh hayat selama enam bulan dan akan luput setelah itu,” katanya.

Semasa menjelaskan perincian tentang darurat Covid-19 minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikrar akan memastikan sistem kehakiman berjalan secara bebas tanpa campur tangan kerajaan.

Seorang penganalisis melihat jaminan perdana menteri untuk tidak mencampuri urusan mahkamah sebagai satu amaran kepada “kluster mahkamah”, merujuk kepada ahli Parlimen yang berdepan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Amaran ini pun diguna pakai juga kepada ‘kluster mahkamah’ bukan dia (Najib) sahaja,” kata Shamsul Amri Baharuddin kepada MalaysiaNow.

Najib kini merupakan pengkritik kerajaan Perikatan Nasional paling lantang, setiap hari mempertikaikan usaha kerajaan memerangi Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sekatan di bawah PKP menyebabkan banyak perbicaraan tertangguh, termasuk kes meminda laporan audit 1MDB melibatkan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy.

Perbicaraan itu akan bersambung di Mahkamah Tinggi pada 22 Februari.

Sementara pelbagai kes Zahid melibatkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah kali terakhir menjalani perbicaraan pada Oktober tahun lalu dan kes projek terowong bawah laut Lim akan bermula pada Jun.

Haniff bagaimanapun yakin semua kes tertangguh ini boleh diselesaikan dengan lebih cepat di mahkamah khas.

“Tapi kena ada undang-undang,” katanya.