- Iklan -
Berita

Nazri Aziz positif Covid-19

Beliau sendiri mengesahkan diri dijangkiti virus itu selepas melakukan ujian semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19, selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit ketika melakukan sidang media beberapa hari lalu.

Nazri yang dihubungi MalaysiaNow berkata hasil ujian dilakukan positif dan kini dikuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kelantan.

“Saya ok, hanya batuk-batuk dan tak demam,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 12 Januari lalu, Nazri mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang turut disertai Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin.

Empat hari kemudian Zaharin mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19.

Nazri berkata dia melakukan ujian Covid-19 semalam selepas mendapat tahu status Zaharin yang positif.

“Saya agak si Zaharin, sebab dia beritahu dia positif, dan saya pun buat ujian dan sahkan saya juga positif,” tambahnya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut disahkan positif Covid-19.