- Iklan -
Berita

3,306 kes baru Covid-19, 226 dirawat di ICU

2,293 pulih, 4 lagi kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pejalan kaki melintas jalan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang lengang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.
Seorang pejalan kaki melintas jalan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang lengang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Sebanyak 3,306 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tujuh jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 161,740, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,239 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 122,344 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,213 kes diikuti Sabah 432 dan Johor 329 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 38,791.

“Daripada jumlah itu 226 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 94 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat empat lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 605 orang.

Tambahnya terdapat sembilan lagi kluster baru dikesan.

“Masing-masing dua kluster dilaporkan di Kuala Lumpur dan Sabah membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Nipah (29 kes), Kluster Tapak Bina Era Duta (20 kes) dan Kluster Kompleks Segamaha (58 kes), Kluster Jalan Bukit Bendera (20 kes),” katanya.

Baki lima kluster melibatkan Kluster Taman Tasik Sungai Chua di Selangor (60 kes), Kluster Jalan Suria di Johor (24 kes), Kluster Pulau Lima di Kelantan (9 kes), Kluster Jalan TJ di Negeri Sembilan (39 kes) dan Kluster Kafe Genting di Pahang (31 kes).