- Iklan -
Berita

Kenaikan fi kesihatan tidak dilaksana serta-merta, kata menteri

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan itu akan diteliti terlebih dulu menerusi analisa wajar serta libat urus semua pihak berkepentingan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama

Kenaikan bayaran fi kesihatan tidak akan dilaksanakan secara serta-merta dan sewenang-wenangnya, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, cadangan itu akan diteliti terlebih dulu menerusi analisa wajar serta libat urus semua pihak berkepentingan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

Menurut Zaliha yang juga ahli Parlimen Sekijang, kadar fi yang dikenakan di sektor awam adalah di tahap sangat minima selepas sebahagian besar ditampung subsidi kerajaan.

Katanya, fi sedia ada yang dikenakan adalah sama untuk semua pesakit tanpa mengira kesanggupan mereka untuk membayar.

"Kementerian Kesihatan tidak ada mekanisme untuk mengumpul lebihan fi walaupun ada pesakit yang sanggup dan mahu membayar lebih kerana mahu perkhidmatan komprehensif yang diterima," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kertas Putih Kesihatan hari ini.

"Paling penting ialah memastikan rakyat terutama golongan tidak berkemampuan atau rentan tidak akan terkesan akses kepada perkhidmatan kesihatan mereka."

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menangguhkan dulu dan meneliti semula cadangan menaikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan.

Ahli Parlimen Pagoh itu meminta kerajaan pertimbangkan perkara itu apabila bimbang ia akan menambah beban rakyat yang kini sedang bergelut akibat kenaikan harga barangan, kadar inflasi dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR).

"Dalam beberapa kajian yang saya lihat, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu. Dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja," kata Muhyiddin ketika berucap pada sesi perbahasan usul sama.

"Justeru, jika ada cadangan kerajaan menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dulu dan diteliti semula."

Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut bahawa kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula.

Menurut dokumen 57 halaman itu, struktur fi sedia ada menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan.