- Iklan -
Berita

1,153 kes baru Covid-19, 998 dilaporkan pulih

Kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 15,294 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian petugas barisan hadapan menjalani proses semburan nyah kuman selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang pada 24 November lalu. Gambar: Bernama
Sebahagian petugas barisan hadapan menjalani proses semburan nyah kuman selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang pada 24 November lalu. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,153 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 91,969, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 998 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 76,242 kes atau 82.9%.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 401 kes atau 34.8% diikuti Kuala Lumpur 281 kes (24.4%) dan Sabah 199 kes (17.3%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 15,294  kes.

“Daripada jumlah itu 112 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 56 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat satu lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 433 orang.

Terdapat lima lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah di daerah Petaling, Selangor; Kluster Keris Residence (Kota Kinabalu dan Tuaran, Sabah); Kluster Jalan Timah (Johor Bahru dan Kulai, Johor); Kluster Brumas (Kalabakan, Sabah) dan Kluster Long Panji (Kota Bharu dan Machang, Kelantan).