Thursday, October 21, 2021

Belanjawan 2021 lulus bukti Muhyiddin disokong majoriti ahli Parlimen, kata menteri 

Ahli Parlimen boleh kemukakan SD kepada Agong jika ada cukup majoriti dilantik sebagai PM.

Other News

Mana-mana ahli Parlimen yang mendakwa memiliki sokongan majoriti untuk dipilih sebagai perdana menteri, hanya perlu mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Yang di Pertuan Agong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan akur jika ada ahli Parlimen boleh membuktikan beliau memiliki majoriti melebihi 112 sokongan.

“Bagi menentukan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti ahli dewan untuk menjadi perdana menteri, Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memperuntukkan tatacara jelas mengenainya.

“Oleh yang demikian, Yang di Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif berkenaan perkara ini dengan menentukan apa-apa cara yang sesuai untuk menentukan individu pada hemat Baginda mendapat kepercayaan ahli dewan termasuk menerima apa-apa dokumen mahupun mendapatkan kenyataan lisan atau bertulis daripada setiap ahli dewan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta kerajaan menyatakan bila 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya kepada perdana menteri akan dibentang, dibahas dan di undi di Dewan Rakyat.

Takiyuddin menjelaskan, pelantikan dan pemecatan seseorang perdana menteri adalah tertakluk berdasarkan Perkara 43 Fasal 2A, Perlembagaan Persekutuan menetapkan menjelaskan bagaimana perdana menteri dilantik.

“Yang di Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri, seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan peruntukan Perlembagaan inilah perdana menteri Malaysia dilantik antaranya perdana menteri ketujuh, Yang Berhormat Langkawi dilantik pada 10 Mei 2018 selepas PH mendapat 135 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

“Namun demikian pada 24 Februari 2020 YB Langkawi meletakkan jawatan berdasarkan satu kenyataan media rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri bertarikh 24 Februari 2020;

“Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia hari ini (24 Februari 2020)”

“Berikutan itu pada 1 Mac 2020, Yang Amat Berhormat Pagoh, yang mendapat 114 melebihi 111 ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia Kelapan.

“Susulan itu YB Port Dickson mendakwa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri sehingga Yang di Pertuan Agong memperkenankan beliau mengadap pada 13 Oktober 2020.

“Namun demikian saya memohon untuk membaca satu kenyataan Istana Negara;

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang dipercayai memberi sokongan kepada beliau. Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaannya.

“Sehubungan itu Sultan Abdullah menasihatkan Anwar Ibrahim untuk akur dengan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1963”.

Takiyuddin berkata, Kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar secara undian lebih suara menyokong berbanding menolak di Dewan Rakyat, pada 26 November lalu, membuktikan, Muhyiddin Yassin, masih mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk kekal sebagai perdana menteri.

Katanya, ia sekali gus membuktikan tidak timbul langsung soal Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Bersatu Pagoh sudah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

“Pihak pembangkang mengatakan khususnya bahawa  sekiranya Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 tidak diluluskan ianya adalah satu manifestasi atau andaian bahawa perdana menteri sekarang hilang kepercayaan majoriti.

“Namun demikian sebagaimana yang kita sedia maklum pada 26 November baru-baru, Belanjawan 2021 diluluskan secara sebulat suara manakala kurang ahli Parlimen tidak bersetuju. Itu adalah rekod Dewan Rakyat ini. Oleh itu, tidak timbul langsung soal kehilangan sokong majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap YAB Pagoh.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles