Monday, June 14, 2021

PH mulakan strategi ‘27-0’ tebus maruah lepas gagal tolak Belanjawan 2021

Ahli Parlimen PH diarahkan meminta undi belah bahagi untuk belanjawan 27 kementerian pada perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Other News

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) memulakan strategi “27-0” merujuk kepada kesediaan untuk mencabar belanjawan semua kementerian dengan menggunakan undi belah bahagi walaupun ini bermakna mereka akan kalah kesemuanya.

Ini dilakukan selepas kegagalan mengadakan undi belah bahagi Belanjawan 2021 pada peringkat dasar minggu lepas yang menyebabkan kemarahan penyokong-penyokong tegar mereka.

Sumber PKR memberitahu MalaysiaNow ahli Parlimen PH diarahkan meminta undi belah bahagi untuk belanjawan 27 kementerian selepas perbahasan pada peringkat jawatankuasa bermula semalam.

“Tindak balas hebat daripada penyokong adalah tidak dijangka dan terdapat ramai yang mula merasakan PH adalah pembangkang yang lemah,” kata pemimpin yang dekat dengan kepimpinan tertinggi parti itu.

Langkah ini dilihat untuk memulihkan imej gabungan itu selepas pemimpin PH dikritik hebat kerana mengikut arahan saat akhir Anwar Ibrahim agar tidak meminta undi belah bahagi pada peringkat dasar Belanjawan 2021, kerana dikatakan tidak mahu ia dilihat sebagai undi percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semalam PH dan ahli Parlimen pembangkang lain meminta undi belah bahagi peruntukan belanjawan bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, tetapi gagal untuk menolak kerana tidak cukup angka.

Difahamkan, pembangkang tidak cukup angka disebabkan ketidakhadiran semua ahli Parlimen Warisan.

Selain itu, antara yang tidak hadir semalam ialah pengkritik-pengkritik utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah.

Baki 25 lagi belanjawan kementerian akan dibahaskan pada hari-hari mendatang.

Dua perbahasan awal semalam ialah berhubung peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang diluluskan dengan undi majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

Dalam dua undi belah bahagi tersebut, PH mendapat 95 undi manakala kerajaan PN mendapat 105 dan 107 undi.

Langkah memaksa undi belah bahagi diungkapkan Presiden Amanah Mohamad Sabu di Dewan Rakyat semalam, dimana beliau mengumumkan bersedia bagi 25 kementerian lagi.

“Kalah 27-0 pun tak apa,” katanya.

Mohamad adalah antara ahli Parlimen yang tidak berusaha mengadakan undi belah bahagi semasa peringkat dasar Belanjawan 2021, walaupun beberapa ahli Parlimen Amanah melakukannya.

Bekas perdana menteri Dr Mahahir Mohamad minggu lalu menyelar ahli-ahli Parlimen PH yang tidak bangun menuntut undi belah bahagi, mengatakan mereka kini mengiktiraf “kerajaan pintu belakang” PN walaupun sebelum ini berkali-kali berusaha menjatuhkannya.

Bekas pemimpin PKR Musli Oli berkata pembangkang tidak akan berjaya memulihkan imej mereka dengan strategi ini.

“Saya tidak fikir perkataan blok pembangkang masih relevan pada situasi sekarang. Jelas pembangkang tidak lagi sepakat. Berpecah kepada beberapa kumpulan, team Dr Mahathir Mohamad dan Anwar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, Anwar tidak mempunyai pilihan selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membuat penyesuaian dengan tuntutan pembangkang semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2021.

“Kalah 27-0 pun tak apa,” katanya.

“Itu juga satu petanda usaha meminta undi belah bahagi pada peringkat jawatankuasa juga tidak akan berjaya,” katanya.

Musli bagaimanapun berkata, penyokong PH tidak akan berubah arah sokongan.

“PKR dan DAP memang ada penyokong tegar. Hanya sebahagian kecil sahaja yang dipengaruhi isu semasa,” katanya.

“Berbeza dengan penyokong Mahathir dan Amanah. Penyokong mereka sebahagian besar dipengaruhi isu semasa.”

Katanya Anwar masih mempunyai pengaruh yang besar dalam PH sehinggakan arahan pada saat akhirnya dipatuhi majoriti ahli Parlimen pembangkang.

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff juga sependapat strategi “27-0” hanya untuk menggembalikan imej PH tetapi ia adalah usaha yang sia-sia.

“Mungkin naik sedikit imej mereka dalam kalangan penyokong mereka atas semangat juang, tetapi pada masa sama akan meruntuhkan semangat juang penyokong yang kini tahu mereka sememangnya tidak mempunyai angka yang cukup untuk mengalahkan pihak kerajaan,” katanya.

“Tindakan menentang ini juga akan merosakkan apa-apa imej baik yang mereka cuba dapatkan dengan tidak menentang Belanjawan 2021 pada peringkat dasar, khususnya tentang akur kepada titah Yang di Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles