- Iklan -
Berita

Kerajaan terus berusaha pastikan rakyat berhenti merokok, kata menteri

RM4.8 juta diperuntukkan KKM menerusi kerjasama awam dan swasta di bawah satu program berhenti merokok dinamakan 'mQuit'.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Perkhidmatan mQuit dilanjutkan ke fasa ketiga mulai tahun depan hingga 2025. Gambar: AFP
Perkhidmatan mQuit dilanjutkan ke fasa ketiga mulai tahun depan hingga 2025. Gambar: AFP

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi program rawatan dan pemulihan perokok pada tahun 2018 hingga 2019, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, dua jenis rawatan untuk berhenti merokok ditanggung KKM iaitu ubat terapi pengganti nikotin termasuk pelekat nikotin atau “patch” yang ditampalkan pada kulit badan perokok serta gula-gula getah nikotin.

Kaedah rawatan kedua pula dikenali sebagai rawatan farmokologi terapi bukan pengganti nikotin.

“Pada tahun 2018, KKM membelanjakan sebanyak RM2 juta dan RM2.8 juta untuk tahun berikutnya bagi tujuan berkenaan. Namun jumlah mereka yang menerima rawatan farmakologi berkurangan kepada 9,222 orang atas faktor kenaikan harga ubat-ubatan semasa.

“Justeru, KKM juga melaksanakan satu inisiatif menerusi kerjasama awam dan swasta (PFI) bersama pertubuhan bukan kerajaan serta pihak swasta di bawah satu program berhenti merokok dinamakan ‘mQuit’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan, Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) yang meminta menteri kesihatan menyatakan jumlah kos ditanggung oleh kerajaan untuk program berhenti merokok seperti “mQuit” dan sejauh manakah keberkesanannya.

Mengulas lanjut, Adham berkata perkhidmatan mQuit fasa satu bermula pada 2015 hingga 2017 dan fasa kedua dari tahun 2017 hingga 2020 dan ia bakal dilanjutkan ke fasa ketiga mulai tahun depan hingga 2025 dengan termeterai memorandum persefahaman dengan KKM.

Adham berkata semua peruntukan kewangan untuk melaksanakan aktiviti mQuit bagi setiap fasa ditanggung oleh badan profesional berkenaan.

“Program mQuit menunjukkan keberkesanan menerusi pemantauan ‘return’ secara berkala dimana jumlah perokok berdaftar untuk mendapatkan khidmat rawatan berhenti merokok meningkat daripada 10,240 (2017) kepada 22,601 (2019).

“Menerusi promosi penggalakan berhenti merokok semasa pandemik Covid-19, 3,442 sudah mendaftar menerusi laman sesawang ‘Jom Quit’ bermula 1 Januari hingga 31 Oktober lalu berbanding 2019 iaitu 1,678 orang.”