- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen BN gesa kerajaan teruskan semula projek dibatalkan PH

Ia membabit projek pembangunan infrastruktur yang sudah dirancang kerajaan terdahulu sebelum Pakatan Harapan memerintah.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Projek-projek yang dibatalkan semasa zaman Pakatan Harapan perlu diteruskan semula demi kepentingan rakyat.
Projek-projek yang dibatalkan semasa zaman Pakatan Harapan perlu diteruskan semula demi kepentingan rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta mengambil alih dan meneruskan semula pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, gesa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata kerajaan perlu memastikan semua projek dibatalkan oleh PH dan sudah dirancang oleh kerajaan sebelum itu terutamanya di Negeri Sembilan dilaksanakan semula untuk kepentingan rakyat.

“Ini kerana semua projek berkenaan adalah untuk kepentingan rakyat sebagai contoh di Jelebu ini terdapat tiga projek utama tidak dilaksanakan termasuk dewan sudah diumumkan dengan peruntukan berjumlah RM7 juta sahaja, pembinaan dan membaik pulih masjid.

“Kerajaan perlu berbuat demikian kerana ini adalah hak dan kepentingan yang harus kita laksanakan untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Jalaluddin juga memohon Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan justifikasi kerajaan memperuntukkan RM882.7 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu peningkatan sebanyak RM288 juta berbanding dalam Belanjawan 2020 lalu.

“Mohon apakah justifikasi bagi jumlah begitu tinggi melibatkan kenaikan RM288 juta terutama bayaran tetap.

“Saya minta penjelasan kerajaan siapakah atau pihak kelompok mana mendapat manfaat daripada kenaikan peruntukan begitu besar.”

Beliau juga memohon menteri berkenaan menyatakan prestasi dan status terkini projek ICU bagi tahun 2020 dan jumlah kerugian ditanggung oleh kerajaan akibat daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).