- Iklan -
Berita

935 kes baru Covid-19, 2,555 pulih, 3 lagi kematian dilaporkan

Angka keseluruhan Covid-19 kini berjumlah 60,752 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menggunakan aplikasi MySejahtera ketika memasuki sebuah restoran di Taman Tasik Ampang, Kuala Lumpur.
Seorang wanita menggunakan aplikasi MySejahtera ketika memasuki sebuah restoran di Taman Tasik Ampang, Kuala Lumpur.

Sebanyak 2,555 pesakit yang menerima rawatan Covid-19 telah sembuh sepenuhnya menjadikan angka keseluruhan mereka yang pulih kini berjumlah 49,056 orang atau 80.7%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata sebanyak 935 kes baru jangkitan Covid-19 termasuk empat kes import, menjadikan bilangan terkumpul penularan pandemik itu dalam negara berjumlah 60,752 orang.

“Sabah kembali mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 atau 34.9%, diikuti Selangor 161 kes (17.2%) dan Negeri Sembilan 158 (16.9%),” katanya.

Katanya seramai 11,348 pesakit sedang menerima rawatan di hospital, 110 dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 45 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga lagi kematian baru dilaporkan, menjadi jumlah mereka yang maut akibat Covid-19 meningkat kepada 348 orang,” katanya.