- Iklan -
Berita

‘Kluster sakit perut’ muncul melobi selepas ‘kluster mahkamah’ tidak sepakat dalam undi belanjawan

Beberapa pertemuan diadakan dalam tempoh 48 jam bagi menyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menjatuhkan kerajaan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Gambar: AP

MalaysiaNow difahamkan tiada kesepakatan dicapai dalam kalangan ahli Parlimen yang digelar “kluster mahkamah’ di Dewan Rakyat, ketika proses melobi giat dilakukan untuk mendapatkan lebih ramai pemimpin Umno untuk keluar daripada blok Perikatan Nasional (PN) menjelang undian penting di Parlimen pada Khamis.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang menghadapi pelbagai tuduhan kes rasuah.

Ahli kluster itu yang paling dikenali adalah bekas perdana menteri, Najib Razak, yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah dan sembilan daripadanya disabitkan bersalah pada Julai lalu.

Najib sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas pemimpin PKR itu gagal menjatuhkan kerajaan bulan lalu.

Tindakannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno, yang kebanyakan memilih untuk mematuhi peringatan Yang di Pertuan Agong untuk tidak menggagalkan belanjawan.

Undian belanjawan esok sekali lagi akan membuka peluang menumbangkan kerajaan, dan difahamkan kerja-kerja melobi sedang giat dilakukan bagi menyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menolaknya.

Undi adalah kritikal di blok kerajaan, yang hanya memiliki majoriti tipis untuk berkuasa selepas kejatuhan Pakatan Harapan pada awal tahun lalu.

Najib sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas pemimpin PKR itu gagal menjatuhkan kerajaan bulan lalu.

Masuk dalam ‘kluster sakit perut’

Namun, difahamkan kempen itu mendapat maklum balas yang dingin daripada ahli Parlimen Umno, termasuk mereka yang sedang berdepan tuduhan rasuah.

“Ketika ini terdapat lima ahli Parlimen menyokong Najib, manakala yang lain ingin melihat belanjawan diluluskan,” kata satu sumber Umno kepada MalaysiaNow.

“Selain Zahid, terdapat empat lagi yang lain, iaitu mereka yang mewakili kawasan Parlimen di Perak, Johor dan Kelantan, bersama Najib,” kata sumber itu.

Tetapi disebabkan cara undian dilakukan, yang mana setiap ahli Parlimen dengan jelas dapat dikenal pasti selepas mengangkat tangan, berkemungkinan sekumpulan ahli Parlimen Umno itu akan mengambil cuti sakit pada Khamis.

“Ada yang berjenaka di Dewan Rakyat mengatakan kluster mahkamah mungkin jadi ‘kluster sakit perut’,” kata sumber itu.

“Ahli Parlimen ini akan mengadu sakit perut dan tidak hadir semasa sesi undian belanjawan dan pada masa sama menidakkan jumlah angka yang diperlukan Muhyiddin.”

Semalam, MalaysiaNow melaporkan ahli Parlimen Umno diminta berkumpul di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, satu usaha dilakukan seorang pemimpin kanan parti itu untuk menyakinkan mereka supaya menolak undian belanjawan.

Difahamkan, beberapa lagi pertemuan turut diadakan pada hari Isnin dan juga semalam.