- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno bergerak solo dapatkan sokongan untuk Anwar?

Sumber memberitahu seorang pemimpin kanan melobi menjelang hari pengundian belanjawan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim

Seorang pemimpin tertinggi Umno yang menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bercanggah dengan pemimpin parti dalam memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen parti Melayu itu untuk menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Ini berlaku menjelang pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis yang bakal menentukan masa depan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan, pemimpin yang masih berpengaruh dalam Umno itu mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli Parlimen parti itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur minggu lalu untuk meyakinkan mereka menggulingkan Muhyiddin.

“Tetapi beliau masih belum berjaya, atau masih belum berjaya mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen itu untuk menyokong presiden PKR,” kata sumber Umno kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

MalaysiaNow masih belum dapat mengesahkan dakwaan itu dan tidak akan menamakan pemimpin itu buat masa ini.

Bulan lepas, bekas presiden Umno Najib Razak dan penggantinya Ahmad Zahid Hamidi menulis surat secara bersama kepada Yang di Pertuan Agong bagi menyokong Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

Surat itu dihantar menjelang panggilan mengadap Anwar oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mana presiden PKR itu gagal membuktikan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

Akan tetapi selepas kemarahan pemimpin Umno berhubung langkah itu, Zahid mengeluarkan kenyataan mengumumkan gencatan politik dan memperbaharui sokongannya terhadap Muhyiddin.

“Tetapi beliau masih belum berjaya, atau masih belum berjaya mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen itu untuk menyokong presiden PKR,” kata sumber Umno kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Najib yang berdepan dengan pelbagai pendakwaan rasuah dan dijatuhkan hukuman berhubung transaksi RM46 juta berkait 1MDB, tidak merahsiakan sokongannya terhadap Anwar.

Najib dan Anwar juga dilihat menggunakan naratif sama dalam mengkritik Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November, dengan kedua-dua pemimpin itu mengatakan sokongan mereka dengan syarat kerajaan mesti membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan secara sekali beri atau “one off” sebanyak RM10,000 dan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal sehingga enam bulan lagi termasuk mereka daripada kumpulan M40.

Kegagalan kerajaan untuk meluluskan Belanjawan 2021 Khamis ini bermakna kerajaan PN yang berusia lapan bulan akan tumbang.

Ini akan menyebabkan pilihan raya umum perlu diadakan pada musim pandemik Covid-19 kerana agak sukar bagi Anwar untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan.

Istana Negara sudah beberapa kali mengingatkan tentang pentingnya politik diketepikan dan memastikan Belanjawan 2021 diluluskan agar usaha kerajaan memerangi Covid-19 akan berjaya.

Sementara itu sumber sama memberitahu MalaysiaNow semasa pertemuan di hotel minggu lepas, ahli-ahli Parlimen yang hadir keliru dengan “kempen agresif” pemimpin itu.

“Mereka bangkitkan yang Zahid sudah memperbaharui komitmen Umno untuk terus bersama blok PN,” tambahnya.

Ramai ahli-ahli Parlimen juga dikatakan tidak bersedia untuk dilihat menderhaka kepada Agong selepas gesaan berulang Istana Negara agar politiking dihentikan dan fokus kepada perang melawan Covid-19.

“Terutamanya pengundian Belanjawan 2021 ini bukan macam pilihan raya yang mana undi adalah rahsia, maknanya, siapa yang tak sokong akan diketahui umum.

“Rakyat akan tahu siapa yang tak sokong Belanjawan 2021, disebabkan itu, ahli-ahli Parlimen Umno tidak akan mengikut ‘paksaan’ pemimpin berpengaruh itu,” kata sumber itu.

Walaupun masih belum jelas bagaimana ahli-ahli Parlimen pembangkang akan mengundi, difahamkan belanjawan masih boleh diluluskan.

Kali terakhir pengundian dilakukan adalah usul kerajaan untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menyaksikan kerajaan menang dengan majoriti tipis dua undi.

Difahamkan kali ini, Umno dan PAS sudah bersetuju menyokong belanjawan dengan usaha terus dijalankan untuk mendapatkan sokongan Warisan dan Pejuang bagi memastikan ia diluluskan.

Ini juga berlaku selepas gesaan Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa agar satu “grand coalition” ditubuhkan melibatkan Warisan dan Pejuang.