Saturday, October 16, 2021

Kekurangan maklumat mengenai Jasa punca jabatan itu dikritik hebat

Ketua blok kerajaan pertahan ‘kerja baik’ yang dilakukan jabatan itu sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.

Other News

Ketua penyokong blok kerajaan meminta penjelasan lebih jelas mengenai peranan dan fungsi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang menerima peruntukan sebanyak RM85.5 juta dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini selepas ia menimbulkan kontroversi kerana jabatan itu sebelum ini lebih dikenali sebagai jentera propaganda kerajaan.

Shahidan Kassim percaya dengan berbuat demikian ia akan meredakan kontroversi yang dicetuskan jabatan tersebut.

Jasa merupakan satu unit yang dibentuk di bawah kementerian maklumat pada tahun 1958, kira-kira setahun kemerdekaan iaitu selepas pilihan raya umum pertama Tanah Melayu diadakan.

Shahidan yang merupakan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), berkata fungsi asal penubuhan Jasa adalah untuk memberikan penerangan berhubung dasar-dasar kerajaan, dengan salah satu objektifnya bagi mengekalkan kestabilan politik.

Shahidan Kassim.

Beliau berkata fokus jabatan itu berubah mengikut perdana menteri yang berbeza.

“Sebagai contoh, ketika di bawah Abdul Razak Hussein, Jasa lebih menekankan ke arah pembangunan, zaman Abdullah Badawi pula ia menekankan tentang masyarakat madani, manakala semasa era Dr Mahathir Mohamad, ia mengenai Wawasan 2020.

“Sebelum ia dibubarkan, Jasa di bawah Najib Razak memberi fokus kepada 1Malaysia,” kata ahli Parlimen Arau dan juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kepada MalaysiaNow.

Shahidan berkata pegawai-pegawai jasa telah dilatih dengan pelbagai cara di bawah pemerintahan berbeza, menjadikan mereka berkemahiran dalam berkomunikasi di peringkat daerah, luar bandar, bandar, wilayah malah di peringkat nusantara.

“Mereka menjadi aset negara yang mendepani cabaran dalam hal sosio-politik negara khusus dalam memartabatkan kestabilan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Katanya pegawai Jasa yang cekap mampu mendapat penerimaan termasuk berkomunikasi secara efektif sama ada dengan kerajaan ataupun rakyat.

Jasa yang kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadi tumpuan selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan RM85.5 juta kepada jabatan itu dalam belanjawan pada Jumaat lepas.

Pengkritik mengatakan peruntukan itu terlalu besar untuk sebuah jabatan yang dikatakan sebagai jentera propaganda kerajaan.

“Mereka menjadi aset negara yang mendepani cabaran dalam hal sosio-politik negara khusus dalam memartabatkan kestabilan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Namun, Shahidan berkata pembukaan semula Jasa, yang sebelum ini dibubarkan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 21 bulan, adalah satu tindakan yang berani dalam menjelaskan apa yang dilakukan kerajaan.

“Ia juga mampu menangani masalah pembohongan pihak-pihak tertentu terhadap jasa baik yang dilakukan kerajaan,” kata Shahidan, menambah terdapat juga pembohongan-pembohongan mutlak yang dahsyat kepada rakyat.

Kerajaan PH sebelum ini bertindak membubarkan Jasa selepas lima bulan berkuasa pada tahun 2018.

Semalam MalaysiaNow mendedahkan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membubarkan Jasa sebaliknya jabatan yang sebelum ini berada di bawah Pejabat Perdana Menteri “dibiarkan hidup” walaupun ketika kerajaan PH bergolak pada Februari.

Waran penubuhan jabatan itu yang merupakan dokumen Perbendaharaan yang memberi kuasa mewujudkan, menambah dan mengurangkan bilangan jawatan atau mengubah tangga gaji dan gred jawatan, tidak pernah dinyahaktifkan dan kekal wujud walaupun selepas kerajaan PH tumbang selepas perletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari tahun ini.

Laporan itu berkata, kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin telah mengambil peluang itu menghidupkan kembali Jasa kerana ia “dibiarkan hidup”.

Beberapa ahli Parlimen baik daripada kerajaan dan pembangkang mempersoalkan peruntukan besar Jasa ketika membahaskan belanjawan pada minggu ini, dengan mengatakan peruntukan itu sepatutnya disalurkan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.

Menurut pemerhatian MalaysiaNow, rata-rata ahli Parlimen tidak menyokong peruntukan kepada Jasa kerana menyifatkan tiada perincian tentang tujuannya dihidupkan semula.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles