- Iklan -
Berita

PH tak pernah bubarkan Jasa, lantikan tergendala kerana ahli politik berebut jawatan

Pengumuman peruntukan belanjawan sebanyak RM81 Juta kepada jabatan itu menjadi kecoh.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Jasa sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi  sekarang ia diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Jasa sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi sekarang ia diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membubarkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini menjadi isu hangat selepas RM81 juta diperuntukkan kepadanya dalam belanjawan dibentangkan pada Jumaat, menurut siasatan MalaysiaNow.

Sebaliknya, sumber yang mengetahui tentang perkara ini berkata, Jasa yang sebelum ini berada di bawah Pejabat Perdana Menteri “dibiarkan hidup” walaupun ketika kerajaan PH bergolak pada Februari.

“Jadi, saya terkejut apabila sesetengah ahli politik yang dulu bersama kerajaan lama kini mempersoalkan peruntukan kepada Jasa,” kata sumber yang mendedahkan politiking yang berlaku dalam Jasa kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Lima bulan selepas mengambil alih Putrajaya pada 2018, PH mengumumkan pembubaran Jasa.

Waran perjawatan ialah dokumen perundangan dikeluarkan Perbendaharaan untuk memberi kuasa mewujudkan, menambah dan mengurangkan bilangan jawatan atau mengubah tangga gaji dan gred jawatan yang diperuntukkan dalam jabatan kerajaan.

Jasa kembali menjadi tumpuan selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan RM81 juta kepada jabatan itu yang kini berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Pengkritik mengatakan peruntukan itu terlalu besar untuk sebuah jabatan yang dikatakan sebagai jentera propaganda kerajaan.

Lima bulan selepas mengambil alih Putrajaya pada 2018, PH mengumumkan pembubaran Jasa.

Ahli politik berebut jawatan

Sebulan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan 52 kakitangan Jasa.

Surat pelantikan diserahkan kepada KKMM pada April.

Tetapi apa yang berlaku adalah pertembungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung jawatan dalam Jasa.

“Hingga menyebabkan hanya 13 orang sahaja dilantik untuk kumpulan pertama,” katanya dan menambah 22 kekosongan tidak dapat diisi kerana tidak mempunyai peruntukan walaupun masih ada waran perjawatan.

Katanya, selepas peruntukan diluluskan, bermulalah perebutan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam Jasa.

“Satu senarai nama diserahkan untuk dibuat pelantikan sebagai pegawai Jasa yang terdiri daripada ketua-ketua Umno bahagian,” katanya.

“Sedangkan apa yang berlaku ketika zaman Barisan Nasional (BN) lantikan ketua-ketua bahagian atau pemuda yang merosakkan peranan Jasa di mata masyarakat umum,” katanya dan menambah tugas Jasa bukan mudah kerana melibatkan perjumpaan dengan orang di kawasan pedalaman dan laporan setiap tugasan perlu diberikan setiap hari.

Beliau menambah, setiap pelantikan perlu melalui prosedur yang betul iaitu melalui proses temuramah dan calon perlulah mempunyai sijil sama ada diploma atau ijazah.

Jasa tidak pernah dikebumikan

Sementara satu lagi sumber memberitahu MalaysiaNow sudah terdapat gesaan daripada pemimpin PH semasa masih dalam kerajaan untuk menghidupkan kembali Jasa seawal 2019 selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kepada BN.

“Mereka mengakui kelemahan strategi penyampaian dan komunikasi dasar-dasar kepada rakyat,” kata sumber itu.

Katanya, kerajaan sekarang mengambil kesempatan kerana dapat menggunakan sepenuhnya waran perjawatan Jasa yang tidak “ditanam” secara bersungguh-sungguh oleh PH.

PRK Cameron Highlands menyaksikan permulaan kepada siri kekalahan PH semasa masih lagi berkuasa.

PH turut kalah pada PRK Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.