- Iklan -
Berita

Seluruh negara dikenakan PKPB kecuali Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak

PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 November ini juga disambung.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPB itu, dilaksanakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes positif Covid-19, di beberapa negeri di Semenanjung.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti, di samping untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri-negeri ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Susulan daripada langkah itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 November ini juga akan bersambung serentak dengan penguatkuasaan PKPB di tujuh negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, SOP bagi PKPB berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan merentas daerah, negeri tidak dibenarkan kecuali kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis.