- Iklan -
Berita

Kerajaan Selangor anugerah kontrak perlombongan mewah kepada syarikat swasta, ketepi syarikat negeri

Tindakan itu melanggar perkeliling yang hanya membenarkan permit perlombongan di tanah milik kerajaan negeri diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama P Thiagarajan Pavadai (4 dari kiri) dalam gambar yang diambil pada Oktober tahun lalu. Foto: Facebook
Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama P Thiagarajan Pavadai (4 dari kiri) dalam gambar yang diambil pada Oktober tahun lalu. Foto: Facebook

Keputusan kerajaan Selangor memberikan pajakan melombong pasir selama 10 tahun kepada sebuah syarikat swasta, jelas memperlihatkan pelanggaran syarat sendiri dalam pemberian permit dan pajakan di tanah milik kerajaan negeri, dan pada masa sama mengenepikan syarikat perlombongan pasir milik kerajaan negeri, MalaysiaNow difahamkan.

Kontrak Syarikat KL Larut Sdn Bhd yang sepatutnya tamat pada Mac tahun ini diperbaharui selama 10 tahun lagi, membolehkannya melakukan aktiviti melombong di dua lot tanah milik kerajaan negeri di Kuala Selangor.

Difahamkan keputusan memperbaharui pajakan syarikat tersebut diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Ogos tahun ini.

Sementara itu, permohonan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sebuah syarikat yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk menguruskan aktiviti perlombongan di Selangor, ditolak, berdasarkan sepucuk surat daripada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTG).

Dalam surat itu, pegawai PTG memaklumkan ketua pegawai eksekutif KSSB Abdul Rahman Ishak, permohonan syarikat itu untuk menjalankan aktiviti perlombongan di dua kawasan di Kuala Selangor yang memiliki keluasan lebih daripada 1,000 ekar ditolak.

“Sehubungan itu, pentadbiran ini ingin memaklumkan penolakan terus ke atas permohonan tuan,” kata surat bertarikh 3 September 2020 yang dilihat oleh MalaysiaNow.

Siasatan MalaysiaNow mendapati salah seorang daripada empat pengarah syarikat KL Larut adalah P Thiagarajan Pavadai, seorang ahli perniagaan berasal dari Klang yang turut dikenali sebagai Oms Thiagarajan.

Ahli perniagaan berusia 66 tahun itu terkenal dengan kesetiaan politiknya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, dan selalu mendapat perhatian media berkaitan isu melibatkan kaum India.

Pada 2018, tidak berapa lama selepas dibebaskan daripada penjara, Anwar memberikan ucapan pada sambutan harijadi Thiagarajan di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya.

“Sehubungan itu, pentadbiran ini ingin memaklumkan penolakan terus ke atas permohonan tuan,” kata surat bertarikh 3 September 2020 yang dilihat oleh MalaysiaNow.

MalaysiaNow sudah menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang turut memegang portfolio Pembangunan Tanah dan Sumber Alam, akan tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.

Langgar peraturan sendiri

Hasil siasatan lanjut MalaysiaNow mendedahkan keputusan memberi permit pajakan tambahan selama 10 tahun kepada KL Larut melanggari satu pekeliling pada tahun 2015 yang dikeluarkan oleh pengarah PTG Selangor, yang menyatakan semua lesen melombong di atas tanah milik kerajaan negeri perlu dilakukan menerusi tender terbuka.

Pembaharuan permit itu bermakna KL Larut boleh melakukan aktiviti perlombongan pasir sehingga tahun 2030.

Satu sumber industri memberitahu MalaysiaNow, kedua-dua bidang tanah dengan keluasan kira-kira 300 dan 748 ekar, berpotensi menghasilkan 300,000 metrik tan pasir dan mineral setiap bulan dengan harga pasaran melebihi RM5 juta.

Difahamkan syarikat KL Larut membuat permohonan memperbaharui permit pada Mac 2019, diikuti dengan rayuan pada September, sebelum pajakan syarikat itu yang dijadualkan tamat pada Mac tahun ini.

Sumber yang rapat dengan PKR negeri memberitahu MalaysiaNow pembaharuan pajakan melombong hanya diluluskan selepas berlaku campur tangan kuasa esksekutif.

“Selepas 11 bulan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor campur tangan untuk meluluskan pembaharuan permit, memberikan KL Larut hak melombong sehingga 2030 dan menyingkirkan syarikat milik kerajaan negeri, KSSB daripada dua plot tanah tersebut,” tambahnya.

Daripada maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, aktiviti KL Larut termasuk melombong bijih timah, besi, tanah liat dan bahan mineral lain termasuk import, export, borong dan penjualan bahan mineral tersebut.

Pada April 2011, KSSB membuat satu laporan polis terhadap Thiagarajan berkaitan satu insiden dan tapak perlombongan pasir di Kuala Selangor, iaitu salah satu kawasan yang KL Larut kini mendapat hak pajakan melombong selama 10 tahun.

Thiagarajan kemudiannya mengemukakan saman fitnah terhadap dakwaan itu, namun ia ditolak mahkamah.

Aktiviti perlombongan pasir di Selangor merupakan perniagaan yang mampu menjana pendapatan berjuta-juta ringgit, yang turut menyebabkan kerugian hasil dalam jumlah sama setiap bulan, pihak berkuasa terpaksa melantik KSSB untuk menguruskan aktiviti itu, sebuah syarikat di bawah seliaan Menteri Besar Selangor Inc yang diketuai menteri besar sendiri.