- Iklan -
Berita

RM50.4 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk sektor pendidikan

Belanjawan 2021 menyaksikan sektor pendidikan mengalami pengurangan sebanyak RM13.7 bilion.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan berjumlah RM50.4 bilion atau 15.6% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Perkembangan ini menyaksikan KPM menjadi kementerian kedua yang dianugerahkan peruntukan “gergasi” selepas sektor kesihatan awam untuk memerangi penularan jangkitan Covid-19.

Zafrul dalam ucapannya menegaskan keputusan itu dibuat memandangkan bidang pendidikan ialah satu pelaburan paling penting demi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Bagaimanapun, KPM mengalami pengurangan peruntukan sebanyak RM13.7 bilion berbanding RM64.1 bilion yang diperuntukkan pada tahun sebelumnya.

Ketika membentangkan belanjawan tersebut, Zafrul menegaskan kerajaan akan memastikan murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian yang mencukupi.

Atas sebab itu, pada tahun depan kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu percuma pada setiap hari persekolahan berbanding dua kali seminggu.

Katanya, pengumuman tersebut menelan peruntukan sebanyak RM420 juta dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada syarikat pengeluar susu tempatan.

Katanya, kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM725 juta bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur 50 buah sekolah-sekolah daif.

Bagaimanapun, KPM mengalami pengurangan peruntukan sebanyak RM13.7 bilion berbanding RM64.1 bilion yang diperuntukkan pada tahun sebelumnya.

Manakala bagi sekolah di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baru dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta.

Sementara itu, kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM800 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan tambah baik sekolah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan.

Katanya, peruntukan itu juga termasuklah membina dewan terbuka dan struktur berbumbung bagi memastikan tempat berhimpun murid yang lebih selamat.

Selain itu, katanya Putrajaya juga mengambil berat kebajikan para murid berkeperluan khas.

Atas sebab itu, sebanyak RM45 juta disediakan untuk memperkasa sektor pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan.

Dalam pada itu, Zafrul mengumumkan peruntukan bagi sektor pengajian tinggi sebanyak RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ini termasuk RM50 juta yang disediakan untuk menjalankan projek baik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.

“Bagi memastikan saling hubungan internet di institut pengajian tinggi, RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi memastikan mahasiswa yang mendapat pinjaman PTPTN boleh mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100 juta pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.