- Iklan -
Berita

Pengurusan kewangan pandemik penting demi kelangsungan hidup

Satu kaji selidik dedahkan tabiat kewangan rakyat Malaysia kekal sama meskipun dalam tempoh pandemik yang memerlukan mereka lebih celik mengenai soal itu.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh pandemik.
Tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh pandemik.

Mengetahui cara terbaik untuk berbelanja, berjimat dan melabur wang bukan satu isu besar sebelum ini, namun krisis pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan pengurusan kewangan kebanyakan rakyat Malaysia kini menjadi kucar-kacir.

Keadaan pandemik itu kini memaksa orang ramai untuk mengakui celik kewangan sebagai satu kemahiran penting supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama ketika krisis berlaku, sama ada di peringkat global ataupun peribadi.

Celik kewangan membawa maksud mengetahui bila perlu membuat keputusan rasional dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan peribadi, dan kunci utamanya adalah kesedaran mewujudkan dana tabungan kecemasan.

Orang ramai perlu sedar agar tidak berbelanja secara terburu-buru sehingga boleh menyebabkan diri menjadi papa kedana, tidak perlu juga mempunyai simpanan menggunung atau sebaliknya melakukan pelaburan, menyebabkan kehilangan segalanya dalam sesuatu perjanjian atau ditipu.

Satu kaji selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 yang dikeluarkan minggu ini mendedahkan tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh sama tahun lepas.

Hampir separuh daripada respoden mengatakan mereka masih lagi berbelanja mengikut pendapatan diperoleh atau lebih, manakala baki responden mendedahkan mereka berkemungkinan tidak mampu bertahan lebih dari tiga bulan menggunakan simpanan sekiranya hilang pekerjaan.

Lebih 60% daripada mereka yang berusia 35 tahun ke bawah tidak mengetahui wujudnya skim menstruktur dan menjadualkan semula hutang walaupun langkah sementara seperti moratorium dan bantuan bayaran semula pinjaman dilaksanakan ketika tempoh pandemik.

Kaji selidik itu turut mendedahkan 70% rakyat Malaysia mengatakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka mungkin tidak mencukupi apabila mereka bersara, 45% daripada mereka turut berkata masih belum ada sebarang perancangan kewangan persaraan.

Bukti itu jelas menunjukkan ramai dalam kalangan rakyat hidup dalam keadaan sekadar cukup makan sepanjang hayat dan mungkin sekali atau langsung tidak pernah berfikir mengenai pengurusan kewangan peribadi mereka.

Satu kaji selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 yang dikeluarkan minggu ini mendedahkan tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh sama tahun lepas.

Akan tetapi bukan semuanya salah mereka.

Kata kaji selidik itu, “Di sebalik setiap golongan dewasa menerima impak kewangan tanpa mengira profesion, kita tidak cukup diajar ketika berada di sekolah dengan cara betul atau wajib. Celik kewangan kurang diberi perhatian berbanding mata pelajaran matematik dan sains, tetapi sekurang-kurangnya ia perlu mendapat perhatian setara seperti mata pelajaran sejarah, geografi dan seni. ”

“Tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab sangat penting buat kita semua, kerana jika berlaku sesuatu yang buruk, anda semestinya tidak mahu melihat diri jatuh miskin,” Izlin Ismail memberitahu MalaysiaNow.

Pensyarah perbankan Universiti Malaya itu menekankan betapa perlunya mewujudkan penampan kewangan bagi membolehkan orang ramai melakukan dengan lebih baik daripada sekadar hidup nyawa-nyawa ikan dalam satu krisis berpanjangan, tetapi beliau sedar bercakap lebih mudah daripada melakukannya.

“Ramai dalam kalangan rakyat negara ini hidup dengan gaji yang rendah, mereka mungkin tidak memiliki sebarang simpanan untuk memulakannya, tidak mampu membina penampan kewangan kerana mereka tidak boleh berbuat demikian.”

Beliau memberi amaran jika golongan dewasa mula berhutang mereka mungkin sukar untuk keluar daripadanya. “Kita perlu diajar sejak dari usia muda betapa penting perancangan kewangan dan memiliki bajet,” tegasnya.

Izlin pernah melatih guru-guru untuk menjalankan program celik kewangan untuk pelajar sekolah, dengan setiap kursus disesuaikan dengan kumpulan umur.

Dalam kebanyakan kes, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti kursus itu menjadi begitu mahir sehingga mula memberi nasihat kepada ibu bapa mereka bagaimana untuk menerap tabiat kewangan lebih baik.

Izlin berkata tidak semestinya betul, golongan berpendapatan rendah yang tinggal di luar bandar memerlukan lebih pengetahuan celik kewangan berbanding penduduk bandar berpendapatan sederhana.

“Saya pernah melakukan penyelidikan mengenai keterdedahan kewangan pengguna dengan fokus kepada hutang. Hutang itu sendiri bukan masalah besar, tetapi hutang yang berlebihan – di mana anda tidak mampu membayar hutang – tidak dapat dilihat dalam golongan luar bandar berpendapatan rendah kerana mereka tidak miliki hutang secara formal. Apa yang mereka ada sekadar hutang tidak formal, di mana mereka meminjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

“Masalahnya bukan soal berapa banyak hutang anda ada, tetapi adakah anda mampu membayarkan jika ia meningkat. Implikasi jangka panjang akibat hutang berlebihan boleh menyebabkan gangguan sosial ketika ekonomi terganggu, seperti sekarang ini.

“Dalam tempoh pandemik, anda boleh lihat bagaimana orang ramai mula mengeluarkan simpanan mereka,” katanya.

“Apabila simpanan itu habis, kemudian apa pula? Berapa lama kita boleh bergantung kepada kerajaan untuk membantu?”

Sama seperti hasil soal selidik RinggitPlus, “Apabila ekonomi kita pulih, rakyat Malaysia diharap untuk memandang lebih serius mengenai pengurusan kewangan mereka supaya kita lebih bersiapsiaga dengan menyediakan payung sebelum hujan.”