- Iklan -
Berita

Darurat dipertimbang selepas rayuan ‘beremosi’ pegawai atasan untuk kestablian politik ketika kematian Covid-19 meningkat

Darurat itu akan menggantung semua proses politik tetapi kehidupan harian berjalan seperti biasa.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Semua proses politik dan parlimen akan digantung sekiranya darurat diisythiar Agong bagi melawan Covid-19
Semua proses politik dan parlimen akan digantung sekiranya darurat diisythiar Agong bagi melawan Covid-19

Darurat yang bakal menyaksikan penggantungan semua proses dan prosedur politik, sedang dipertimbangkan kerana dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian praktikal untuk membantu petugas kesihatan mencegah “malapetaka kesihatan” disebabkan Covid-19, yang menyaksikan jangkitan meningkat kepada 12,000 kes baru dan meragut 68 nyawa sejak tiga minggu kebelakangan ini.

MalaysiaNow difahamkan, pakar undang-undang di Putrajaya sedang mengkaji pilihan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, selepas berkali-kali dirayu pegawai kesihatan kanan dalam mesyuarat peringkat tertinggi minggu ini.

Perkara ini akan menjadi agenda utama dalam mesyuarat khas Kabinet diadakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ini berlaku selepas pegawai kesihatan kanan dikatakan “melahirkan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya pilihan raya ketika pandemik”, menurut sumber yang menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi itu minggu ini bersama pelbagai agensi yang ditugaskan untuk memerangi Covid-19.

“Kebimbangan utama mereka ialah belanjawan bulan depan, di mana sebarang langkah untuk menggagalkannya daripada diluluskan akan menyaksikan tiada pilihan lain dalam proses demokrasi selain pembubaran Parlimen.

“Dan senario itu akan memburukkan lagi keadaan, kerana mereka memberikan amaran pilihan raya akan menyebabkan jangkitan Covid-19 menjadi tidak terkawal,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 November mesti diluluskan dengan undi majoriti.

Tetapi terdapat tanda-tanda ia boleh digagalkan jika sekumpulan kecil ahli Parlimen Umno yang mengikuti presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak bergabung dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengundi menolak belanjawan.

Mengikut konvensyen, kegagalan meluluskan belanjawan, sama ada disebabkan ahli Parlimen tidak mengundi atau mereka tidak hadir semasa pengundian di Dewan Rakyat, bermakna kerajaan sudah hilang majoriti.

“Kebimbangan utama mereka ialah belanjawan bulan depan, di mana sebarang langkah untuk menggagalkannya daripada diluluskan akan menyaksikan tiada pilihan lain dalam proses demokrasi selain pembubaran Parlimen.

“Tetapi dengan gabungan pembangkang dengan jelas tidak mempunyai majoriti seperti yang boleh dilihat dalam episod terbaru melibatkan Anwar, perdana menteri tidak boleh digantikan dan pilihan raya tergempar tidak dapat dielakkan,” kata sumber peringkat tertinggi yang terlibat dalam menyelaraskan antara beberapa agensi dalam perang melawan Covid-19 kepada MalaysiaNow.

Tidak mempunyai majoriti yang jelas bermakna Muhyiddin perlu menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan.

“Tetapi ia membahayakan kesihatan awam. Nasib baik terdapat peruntukan Perlembagaan untuk mengelakkan ini daripada berlaku dan menyelamatkan nyawa,” tambah sumber itu.

Pilihan raya musim pandemik

Pakar sebelum ini membantah pilihan raya umum ketika gelombang baru Covid-19 meningkat.

Ini termasuk bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Rashid Abdul Rahman yang memberikan amaran sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, ia akan menyebabkan “bencana kesihatan nasional.”

Rashid berkata pihak berkuasa tidak dapat mengawal peningkatan jangkitan Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lepas.



“PRN Sabah membuktikan kerana pihak berkuasa tidak mempunyai kapasiti untuk kawal dan semak, mengambil kira jumlah aktiviti kempen di seluruh negara. Rayuan saya, jangan adakan pilihan raya sekarang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi minggu ini menyaksikan pegawai kanan kerajaan “merayu secara beremosi” kepada pemimpin kerajaan untuk menstabilkan keadaan politik.

Rayuan ini tetap diteruskan walaupun presiden Umno, Zahid sudah membuat “pusingan U” menggesa ahli partinya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid dan sekumpulan ahli Parlimen Umno sebelum ini memberikan isyarat mereka boleh menarik diri daripada kerajaan PN, yang boleh meranapkan majoriti tipis Muhyiddin.

Minggu lalu, MalaysiaNow mendedahkan Zahid menyokong Anwar dalam usahanya untuk menawan Putrajaya, rancangan yang sudah gagal selepas presiden PKR itu tidak berjaya membuktikan sokongan majoritinya ketika mengadap Agong pada 13 Oktober.

Akan tetapi menjelang pembentangan belanjawan, terdapat kebimbangan jika sejumlah ahli Parlimen berubah fikiran dan kerajaan tumbang sehingga menyebabkan pilihan raya musim pandemik terpaksa diadakan.

Urusan harian tetap dibenarkan jika keadaan darurat diisytiharkan, kata peguam Haniff Khatri Abdulla. Gambar: Bernama

‘Darurat tetapi hidup seperti biasa’

Pakar sudah mempertimbangkan beberapa peruntukan Perlembagaan untuk mengelakkan pilihan raya.

“Ini termasuk Pejabat Peguam Negara yang dilihat sepakat bahawa tiada jalan lain melainkan darurat untuk memastikan kestabilan politik,” kata sumber peringkat tertinggi kepada MalaysiaNow.

Kuasa untuk mengisytiharkan darurat adalah di tangan Agong berdasarkan Perkara 40 dan 150 dalam Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan peguam kanan Haniff Khatri Abdulla sebagai berkata darurat politik atau kesihatan tidak mewajibkan pentadbiran tentera untuk mengambil alih tadbir urus negara seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang menjadi badan pentadbir negara pada tahun 1969 selepas tragedi 13 Mei.

Katanya, darurat masih membenarkan sektor perniagaan untuk terus beroperasi dan kehidupan seharian berterusan, tanpa kelihatan tentera di tepi jalan seperti ketika dilaksanakan 50 tahun dahulu.

“Kalau naratif sampai dan difahami rakyat, mereka akan tahu, ini (darurat) untuk memperbaiki kemelut politik dan kesihatan.”

Katanya, dalam situasi terdapatnya kemelut politik dan penularan Covid-19 tidak terkawal, Agong boleh mengisytiharkan darurat politik dan kesihatan secara serentak.