- Iklan -
Berita

Agong boleh isytihar darurat jika kemelut politik ketika Covid-19 ‘mengganas’ berterusan

Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat seperti termaktub dalam Perlembagaan melalui Perkara 40 dan dibaca bersama Perkara 150.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah boleh mengisytiharkan darurat sekiranya kemelut politik berterusan tanpa perlu membubarkan Parlimen, ketika negara berdepan dengan Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kes hampir mencecah empat angka, kata seorang peguam terkemuka.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Yang di Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat seperti termaktub dalam Perlembagaan melalui Perkara 40 dan dibaca bersama Perkara 150 demi memastikan kestabilan pentadbiran untuk melawan pandemik yang sudah masuk gelombang ketiga.

“Ini, bagi Agong mungkin kemudaratan politik. Kalau nak buat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu Covid-19, boleh tengok macam mana yang berlaku di Sabah, peningkatan penularan jangkitan,” kata Haniff kepada MalaysiaNow.

“Mungkin keadaan ini akan membuatkan Agong menolak mana-mana cadangan untuk adakan PRU sekarang”.

Haniff berkata, ketika krisis politik pada Februari yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan berusia 22 bulan tumbang, Majlis Raja-raja sudah menyatakan tidak berkenan untuk mengadakan PRU meskipun ketika itu bilangan jangkitan Covid-19 masih lagi kecil.

“Jadi, ini menunjukkan secara objektifnya ada keadaan kemudaratan Covid-19, ada juga kemudaratan politik. Atas dasar tersebut, Baginda boleh mengistihar darurat atas Perkara 150- darurat politik,” katanya yang pernah mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes sebelum ini.

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, dan turut mendakwa “sejumlah ahli Parlimen Umno” bakal menyokong rancangan presiden PKR itu untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu pada 13 Oktober, Anwar mengadap Agong untuk menyerahkan “dokumen sahih” bagi membuktikan mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk dilantik menjadi perdana menteri. Tidak berapa lama selepas itu, Istana Negara dalam satu kenyataan mengatakan Anwar gagal menyerahkan senarai ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaannya.

Situasi ini, kata Haniff, akan menyebabkan Agong berdepan kesukaran untuk melantik pihak yang benar-benar memiliki majoriti disebabkan “unsur kecurigaan” yang timbul.

Situasi ini, kata Haniff, akan menyebabkan Agong berdepan kesukaran untuk melantik pihak yang benar-benar memiliki majoriti disebabkan “unsur kecurigaan” yang timbul.

“Agong boleh mengumumkan darurat di mana-mana negeri, jajahan mahupun di seluruh negara jika tidak berpuas hati terhadap ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.”

Haniff bagaimanapun berkata, memandangkan Covid-19 melibatkan isu kesihatan, perdana menteri perlu mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum menasihatkan Agong untuk pengisytiharan darurat.

Menurut Haniff, dalam keadaan darurat politik atau kesihatan, ia tidak mewajibkan pentadbiran tentera untuk mengambil alih tadbir urus negara seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang menjadi badan pentadbir negara pada tahun 1969 selepas tragedi 13 Mei.

“Saya sebenarnya tak gemar guna istilah Mageran ini, kerana ia memberi stigma kepada mereka yang hidup pada zaman itu (60-an) yang mana tentera, kecemasan dan sebagainya sedang berlaku. Ini tidak, ia satu majlis penasihat darurat,” katanya.

Semasa pentadbiran Mageran, lima prinsip Rukun Negara dicipta untuk membina semula perpaduan dalam kalangan rakyat. Ia dibubarkan pada tahun 1971 dengan pemulihan Parlimen.

Menurut Haniff, dalam keadaan kemelut politik dan pandemik Covid-19 yang tidak terkawal, Agong boleh mengisytihar darurat politik dan kesihatan secara serentak.

Haniff berkata, walaupun darurat diisytiharkan, sektor peniagaan dibuka seperti biasa bagi memastikan rakyat berupaya keluar bekerja untuk menyara khidupan.

Beliau berkata, tiada halangan untuk rakyat bergerak seperti pergi bercuti dan menziarahi keluarga.

“Kalau naratif sampai dan difahami rakyat, mereka akan tahu, ini (darurat) untuk memperbaiki kemelut politik dan kesihatan.”