- Iklan -
Berita

‘Kluster mahkamah’ ancam pilihan raya musim pandemik selepas rancangan Anwar gagal

Selepas gagal mengumpulkan sokongan untuk Anwar Ibrahim, sekumpulan ahli Parlimen Umno mungkin menggunakan belanjawan bulan depan untuk memaksa pilihan raya mengejut.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 79 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 79 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Peningkatan jangkitan Covid-19 baru-baru ini boleh menjadi bertambah besar sekiranya sekumpulan bekas pemimpin kerajaan meneruskan rancangan untuk menggagalkan Belanjawan 2021 bulan depan bagi memaksa pilihan raya umum mengejut diadakan.

MalaysiaNow difahamkan rakan-rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) merayu agar ancaman itu tidak diteruskan akan tetapi tidak dilayan menyebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada pilihan selain bersedia untuk “perkara paling sukar dalam pemerintahannya sejak mengambil alih jawatan itu pada Mac.”

Pandemik itu mula dikesan di Malaysia awal tahun ini ketika pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) sedang meningkat yang akhirnya menyebabkan kejatuhkan kerajaan gabungan itu.

Dengan kejatuhkan PH pada Februari, Muhyiddin dengan pantas mengumpulkan sokongan majoriti tipis, terus menguruskan krisis nasional terbesar sejak merdeka, memaksa kerajaan membelanjakan berbilion ringgit kepada sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Majoriti itu turut disumbangkan dengan penyertaan Umno secara “en bloc”, seramai 39 ahli Parlimen, termasuk sekumpulan pemimpin yang sedang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah.

Ini termasuklah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, pasangan yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dan jika dicampurkan mempunyai 79 pendakwaan mahkamah melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

‘Rancangan B’

Dalam pendedahan sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan kedua-dua pemimpin itu untuk menyokong percubaan Anwar Ibrahim dalam misi terbarunya untuk menggulingkan Muhyiddin melalui pembelotan ahli Parlimen.

Akan tetapi disebabkan rampasan kuasa Anwar menemui kegagalan, difaham “sekurang-kurangnya enam” ahli Parlimen boleh memulakan “Rancangan B”.

“Rancangan B bertujuan untuk tidak mengundi semasa belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 November. Ini bermakna kerajaan tumbang, menyebabkan tiada pilihan lain selain mengadakan pilihan raya mengejut,” kata satu sumber yang tahu mengenai perkara ini, ketika ramai menggesa agar pilihan raya tidak diadakan semasa pandemik Covid-19.

Mengikut sistem Westminster yang memerlukan kerajaan mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, kegagalan meluluskan belanjawan bermakna kerajaan sudah hilang sokongan.



“Jika berlaku, dalam keadaan sekarang bermakna tiada pilihan lain selain pilihan raya umum untuk memilih kerajaan baru,” kata sumber sama.

Sebelum ini pakar sudah memberikan amaran agar tidak mengadakan pilihan raya mengejut ketika musim pandemik.

Akan tetapi disebabkan rampasan kuasa Anwar menemui kegagalan, difaham sekurang-kurangnya “enam” ahli Parlimen termasuk Najib dan Zahid sudah memulakan “Rancangan B”.

Sejak tiga hari kebelakangan ini, Malaysia merekodkan hampir 2,000 jangkitan Covid-19, menyebabkan sesetangah pusat ekonomi yang tersibuk dalam negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam 20 hari pertama Oktober ini, Malaysia merekodkan 57 kematian disebabkan Covid-19, satu pertiga daripada keseluruhan kematian direkodkan antara Januari hingga September tahun ini.

Kepentingan peribadi lwn kesihatan awam?

Peningkatan Covid-19 berlaku tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan kehadiran ramai semasa kempen dan kerapnya perjalanan dari semenanjung ke negeri Borneo itu.

Kesan itu menyebabkan pengerusi jawatankuasa yang ditugaskan untuk mereformasikan sistem pilihan raya menentang sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kini mengetuai Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) juga mengatakan pilihan raya umum di saat semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk memerangi Covid-19 akan mencetuskan “bencana kesihatan nasional”.

“PRN Sabah membuktikan kerana pihak berkuasa tidak mempunyai kapasiti untuk kawal dan semak, mengambil kira jumlah aktiviti kempen di seluruh negara. Rayuan saya, jangan adakan pilihan raya sekarang,” katanya kepada MalaysiaNow awal bulan ini.

Masih perlu dilihat sama ada rayuan sebegini akan didengari kumpulan “kluster mahkamah”, nama samaran diberikan kepada sekumpulan ahli Parlimen yang sedang berdepan dengan pendakwaan rasuah.

Pada ketika ini, terdapat petanda kuat mereka akan menggagalkan kelulusan belanjawan bulan depan.

Selain Najib dan Zahid yang secara terbuka menunjukkan kebencian mereka kepada kerajaan Muhyiddin, empat lagi ahli Parlimen turut berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah.

Tetapi masih belum jelas sama ada keempat-empat akan mengikut jejak langkah bekas bos mereka untuk tidak menyokong belanjawan bulan depan.

“Semuanya tentang kepentingan peribadi mereka bercanggah dengan kepentingan awam,” kata pembantu kepada seorang bekas menteri kepada MalaysiaNow.

Sekiranya kepentingan peribadi menyebabkan belanjawan Muhyiddin tidak diluluskan, perdana menteri mungkin tiada pilihan lain selain membubarkan Parlimen untuk memberikan laluan kepada pilihan raya umum.

Tetapi kajian daripada Council on Foreign Relations yang berpusat di Washington menunjukkan, pilihan raya di musim pandemik akan menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah.

Dan dalam kes Malaysia, tiada jaminan ia akan menyebabkan Parlimen tergantung atau kerajaan akan jatuh pada bila-bila masa, pada ketika ia diperlukan untuk memerangi pandemik Covid-19.