- Iklan -
Berita

Ketua reformasi pilihan raya bantah PRU tergempar ketika kes Covid-19 tinggi

Parti kecil akan merana mengikut peraturan Covid-19 selain risiko kesihatan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai SPR semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Gambar: Bernama
Pegawai SPR semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Gambar: Bernama

Pengerusi jawatankuasa yang ditugaskan untuk mereformasikan sistem pilihan raya secara tegas menentang gesaan mengadakan pilihan raya umum tergempar ketika peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kini mengetuai Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) juga mengingatkan pilihan raya umum di saat semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk memerangi Covid-19 akan mencetuskan bencana kesihatan nasional.

“Saya tidak menyokong sebarang langkah untuk menuntut pilihan raya semasa Covid-19,” kata Rashid yang juga Pengerusi SPR bagi dua Pilihan Raya Umum antara tahun 2000 dan 2008, kepada MalaysiaNow.

Beliau memberikan reaksi ketika jangkaan umum PRU mungkin diadakan disebabkan gerakan politik bagi menumbangkang pemerintahan berusia tujuh bulan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Gerakan politik ini hampir serupa denga apa yang berlaku di Sabah sehingga memaksa kerajaan Warisan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi mendapatkan mandat baru.

Pilihan Raya Umum ke-15 harus diadakan selewat-lewatnya pada 2023.

Sejak bermulanya krisis Covid-19, lebih 60 negara menangguhkan pilihan raya mereka, bagi mengekang penularan wabak yang sudah menjangkiti lebih 35 juta orang, meragut lebih sejuta nyawa dan merencatkan ekonomi di seluruh dunia.

Bagaimanapun negara jiran Singapura meneruskan pilihan raya mereka, dengan memperkenalkan “perhimpunan dalam talian” dan penjarakan sosial ketika lawatan rumah ke rumah.

Tetapi Rashid berkata contoh Singapura tidak boleh digunakan di Malaysia kerana jumlah pengundi di republik itu lebih kecil.

Katanya, pilihan raya di Singapura “hampir sama seperti pilihan raya kerajaan tempatan”.

Kempen dalam talian tidak adil

Rashid berkata, antara sebab mengapa beliau menentang pilihan raya diadakan ketika pandemik ialah persoalan “padang sama rata” kerana parti yang lebih lama tidak bermasalah untuk menggunakan kempen tidak konvensional.

“Dalam pilihan raya yang demokratik, kempen adalah antara proses paling penting. Parti kecil tidak boleh hidup sekiranya peraturan tidak membenarkan kempen,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata, kempen rumah ke rumah akan membahayakan kesihatan.

“PRN Sabah membuktikan kerana pihak berkuasa tidak mempunyai kapasiti untuk kawal dan semak, mengambil kira jumlah aktiviti kempen di seluruh negara.

“Rayuan saya, jangan adakan pilihan raya sekarang,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaNow memetik Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom mereka tidak akan memberi sebarang komen sama ada pilihan raya patut ditangguhkan atau tidak kerana kebimbangan mengenai Covid-19.

“Jika berlaku kekosongan kerusi atau dewan dibubarkan, adalah menjadi kewajipan kami untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.

Sementara satu kajian yang dilakukan baru-baru ini oleh Council on Foreign Relations yang berpusat di Washington berkata kesan terbesar pilihan raya ketika era pandemik Covid-19 adalah peratusan keluar mengundi rendah.