- Iklan -
Luar Sana

Kemboja larang ahli politik daripada bertanding jika tidak mengundi

Rang undang-undang yang dipinda itu juga menetapkan denda ke atas mana-mana pihak yang menghalang warganegara yang layak daripada mengundi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong parti pembangkang, Candlelight Party, mengibarkan bendera ketika mereka mengambil bahagian dalam berkempen untuk pilihan raya tempatan yang diadakan pada 5 Jun, di Phnom Penh, Kemboja 21 Mei 2022. Gambar: Reuters
Penyokong parti pembangkang, Candlelight Party, mengibarkan bendera ketika mereka mengambil bahagian dalam berkempen untuk pilihan raya tempatan yang diadakan pada 5 Jun, di Phnom Penh, Kemboja 21 Mei 2022. Gambar: Reuters

Dewan Perundangan Kemboja pada Jumaat meminda undang-undang pilihan raya negara itu bagi menghalang ahli politik atau pegawai politik yang tidak mengundi daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang, lapor Xinhua.

Rang undang-undang yang dipinda itu juga menetapkan denda daripada lima juta riel (AS$1,200) hingga 20 juta riel (AS$4,800) ke atas sesiapa yang menghalang warganegara yang layak daripada mengundi, dan denda sehingga 30 juta riel (AS$7,200) jika kesalahan itu dilakukan oleh parti politik.

Kira-kira 111 ahli parlimen yang hadir sebulat suara meluluskan perubahan undang-undang, yang digerakkan oleh Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen minggu lepas.

Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Dalam Negeri Sar Kheng berkata pindaan itu bertujuan untuk meningkatkan tanggungjawab pemimpin politik dan memastikan tiada gangguan semasa pilihan raya.

“Pergi mengundi atau tidak mengundi adalah hak rakyat Kemboja dan ia tidak wajib,” katanya pada sidang dewan.

"Tetapi bagi orang yang ingin bertanding untuk pilihan raya akan datang, mereka mesti mengundi," katanya sambil menambah jika tidak, "hak mereka untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya akan dibatalkan".

Perubahan undang-undang itu berlaku ketika Kemboja dijadual mengadakan pilihan raya umum bagi 125 kerusi Parlimen pada 23 Julai.

Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan, 18 parti politik akan bertanding dalam pilihan raya akan datang, dengan lebih 9.7 juta pengundi dijangka mengundi.