- Iklan -
Berita

Umno buat ‘pusingan U, Zahid kini gesa sokong PN

Sedangkan minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengatakan parti itu mempertimbangkan untuk menarik diri dari PN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Zahid Hamidi mahu Parlimen bersidang susulan titah Agong. Gambar: Bernama
Presiden Umno Zahid Hamidi mahu Parlimen bersidang susulan titah Agong. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan “gencatan politik” beberapa hari selepas pendedahan beliau bekerjasama dengan Anwar Ibrahim untuk menggulingkan Perikatan Nasional (PN) yang mana partinya merupakan sebahagian daripadanya.

Zahid berkata partinya kini akan membantu kerajaan PN untuk memfokuskan agenda membantu rakyat ketika negara berdepan dengan kegawatan ekonomi.

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid turut menggesa anggota Kabinet dari Umno untuk memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat yang terbeban disebabkan pandemik itu.

Pada Jumaat MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, secara sepihak menulis surat ke Istana Negara menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat itu Zahid mendakwa “sejumlah ahli Parlimen Umno” akan menyokong rancangan menggulingkan kerajaan PN tanpa memberikan perincian senarai ahli Parlimen.

Pendedahan itu mengejutkan kepimpinan tertinggi Umno dengan beberapa pemimpin menyerang Zahid kerana menyokong parti lawan.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah memberikan amaran pemimpin tertinggi yang mendahulukan kepentingan pihak lawan boleh dibuang.