- Iklan -
Berita

PAS berdiri belakang Muhyiddin, tak ikut langkah Umno

Fokus usaha tangani Covid-19 dan kesejahteraan rakyat dan bukannya kepentingan politik parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
PAS president Abdul Hadi Awang (left) with PAS secretary-general Takiyuddin Hassan at the party's annual congress on Sept 13. Photo: Bernama
PAS president Abdul Hadi Awang (left) with PAS secretary-general Takiyuddin Hassan at the party's annual congress on Sept 13. Photo: Bernama

PAS hari ini mengulangi ikrarnya menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tidak mengikuti Umno, sekutu rapat mereka dalam Muafakat Nasional (MN) yang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

PAS menyeru semua parti-parti politik yang bersama membentuk kerajaan ketika ini memberikan sokongan padu kepada PN.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, masalah penularan pandemik Covid-19 kini lebih penting untuk ditangani berbanding memikirkan kepentingan politik masing-masing.

“Justeru PAS menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda (His Majesty’s Government) yang kini dipimpin oleh Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri Malaysia, diberikan sokongan padu tanpa diganggu gugat bagi membolehkan kerajaan ini befungsi dengan baik dan efektif,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam satu kenyataan hari ini.

PAS berkata, jemaah Kabinet yang dianggotai parti-parti Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab.

“Dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat, terutama di era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik Covid-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya.

Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Yang di Pertuan Agong sudah menggunakan kebijaksanaannya dan langkah berhikmah bagi menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

“PAS yakin Agong bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan (constitutional monarchy).”

Pada Selasa, dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan parti Melayu itu mempertimbangkan untuk meninggalkan PN dan mendesak MN yang diasaskan bersama PAS dan turut dianggotai Bersatu, didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik sah.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Istana Negara mengatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menyerahkan senarai ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaannya mempunyai sokongan majoriti untuk menumbangkan Muhyiddin.

Istana Negara turut menasihatkan Anwar agar mengikut proses undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.