- Iklan -
Berita

Anwar biadap terhadap Agong, kata NGO selepas buat laporan polis

Pengumuman Anwar minggu lepas menimbulkan kegusaran dalam kalangan para pelabur dan menyebabkan paras komposit indeks Bursa Saham jatuh teruk.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ismail Kamal (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang hari ini.
Ismail Kamal (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang hari ini.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana dikatakan biadap terhadap Yang Dipertuan Agong kerana mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tumbang.

“Kenyataan yang cukup biadap serta melangkaui hak Yang Dipertuan Agong menurut perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” kata Bendahari PKN Selangor Ismail Kamal Abdul Rahman.

Ismail berkata, laporan polis dibuat terhadap ahli Parlimen Port Dickson itu juga kerana pengumumannya minggu lepas menimbulkan kegusaran dalam kalangan para pelabur dan menyebabkan paras komposit indeks Bursa Saham jatuh teruk.

“Ia jelas apabila bursa saham pada hari berikut jatuh merudum sebaik sahaja perkara diumumkan Anwar pada sidang media 23 September 2020 yang lalu.

“Beliau seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberikan kesan buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang, Selangor hari ini.

Ismail berkata, PKN membuat laporan polis terhadap Anwar di 22 kawasan Parlimen di Selangor hari ini.

Anwar minggu lalu di dalam sidang medianya mendakwa sudah mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

Akan tetapi, beliau masih lagi belum mendedahkan sokongan diperolehinya, mengatakan hanya akan mempersembahkannya kepada Agong.