- Iklan -
Berita

PRN Sabah gambarkan ‘kedudukan’ Zahid dalam Umno

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah referendum kepada kerajaan pimpinan Warisan seperti juga ianya adalah referendum terhadap Ahmad Zahid Hamidi, kata pemimpin Umno negeri. Ini dapat dilihat selepas calon Bersatu untuk menerajui Sabah, Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri walaupun terdapat bantahan daripada Zahid dan pemimpin Umno di semenanjung. Zahid adalah antara pemimpin […]

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Umno president Ahmad Zahid Hamidi, whose leadership of the party has come under scrutiny. Photo: Bernama
Umno president Ahmad Zahid Hamidi, whose leadership of the party has come under scrutiny. Photo: Bernama

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah referendum kepada kerajaan pimpinan Warisan seperti juga ianya adalah referendum terhadap Ahmad Zahid Hamidi, kata pemimpin Umno negeri.

Ini dapat dilihat selepas calon Bersatu untuk menerajui Sabah, Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri walaupun terdapat bantahan daripada Zahid dan pemimpin Umno di semenanjung.

Zahid adalah antara pemimpin pusat Umno yang bekerja keras berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

“Akan tetapi akhirnya, Umno Sabah tidak berminat untuk mendesak Bung Moktar untuk menjadi ketua menteri.

“Ini menunjukkan Zahid dan pemimpin Umno dari semenanjung tidak lagi mempunyai pengaruh dalam politik Sabah,” kata sumber Umno kepada MalaysiaNow.

Kegagalan Zahid untuk meletakkan Bung Moktar sebagai ketua menteri dilihat sebagai petanda presiden Umno itu sudah hilang cengkaman di Sabah.

Umno Sabah tidak terjejas dengan dakwaan rasuah besar-besaran terhadap kepimpinan pusat parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2008, dengan prestasi bekas ketua menteri Musa Aman adalah antara terbaik berbanding negeri-negeri lain.

Akan tetapi kerajaan Umno Sabah tumbang pada Mei 2018 selepas beberapa wakil rakyat melompat, tidak berapa lama selepas itu Hajiji mengetuai penghijrahan besar-besaran menyertai Bersatu.

Semua kesalahan ini dikatakan kerana kelemahan kepimpinan Zahid sebagai presiden Umno.

Sudah bertahun pemimpin akar umbi mendesak autonomi diberikan kepada kepimpinan Umno negeri, langkah dilihat untuk menenangkan semangat kebangsaan Sabah, bukan sahaja dalam kalangan pembangkang, tetapi juga ahli parti Melayu itu.

Semangat kebangsaan inilah antara faktor yang menyebabkan Warisan menang pilihan raya, kerana Mohd Shafie Apdal berjaya mengeksploitasi semangat anti semenanjung melawan Umno.

Pengerusi Perikatan Nasional Sabah Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini. Gambar: Bernama

Pada September 2018, Hajiji ketika memimpin Umno Sabah membangkitkan soal autonomi lebih luas dalam mesyuaratnya bersama Zahid.

Zahid pada ketika itu menjamin autonomi lebih luas akan diberi kepada Umno Sabah.

Tetapi dua bulan selepas itu, Hajiji mengetuai penghijrahan besar-besaran meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu yang pada ketika itu masih tidak bertapak di Sabah.

“Perkembangan terkini adalah tamparan hebat kepada Zahid, kerana orang yang mengetuai penghijrahan besar-besaran meninggalkan Umno kini menjadi ketua menteri,” kata seorang bekas wakil rakyat kepada MalaysiaNow.

Desakan berterusan pemimpin Umno di Kuala Lumpur agar ketua menteri datang dari parti mereka tidak mendapat sambutan termasuk dari Bung Moktar yang secara terbuka menyokong Hajiji.

Bung Moktar yang kini merupakan timbalan kepada Hajiji menolak dakwaan terdapat pergeseran dalam kerajaan baru Gabungan Rakyat Sabah.

“Saya yakin kami akan bekerjasama bagi satu tempoh masa yang panjang,” katanya pada sidang media di rumahnya di Kota Kinabalu.

“Fokus utama kami iaitu untuk membantu kerajaan negeri membangunkan ekonomi dan membela nasib rakyat, melaksanakan aku janji iaitu manifesto yang kami tawarkan kepada rakyat,” katanya.

Kegagalan Zahid mendapatkan “ketua menteri Umno” dikatakan sama seperti kegagalan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mendapatkan 14 kerusi untuk partinya dalam gabungan Warisan Plus.

“Bezanya cuma Anwar ‘dihina’ di Sabah sebelum pilihan raya tetapi Zahid ‘dihina’ selepas pilihan raya,” kata seorang pemimpin Umno Sabah.