- Iklan -
Berita

Agong dinasihatkan berada di IJN akibat keracunan makanan, kecederaan sukan

Kenyataan Istana bagaimanapun tidak menyebut tentang apa-apa tentang panggilan mengadap Diraja yang ditunggu Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung status sokongan beliau untuk membentuk kerajaan baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Agong masih perlu terus dipantau IJN. Gambar: Bernama
Agong masih perlu terus dipantau IJN. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dinasihatkan terus berada dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk dipantau rapi akibat keracunan makanan dan kecederaan intervensi disebabkan aktiviti sukan.

“Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan petang ini.

Kenyataan itu tidak merujuk kepada panggil mengadap Diraja yang sangat diharapkan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau pada Rabu mengumumkan pihaknya memiliki bilangan yang “kukuh dan menyakinkan” untuk menjatuhkan pemerintahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anwar dilaporkan berkata beliau dijadualkan mengadap Agong tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Sultan Abdullah menerima rawatan di IJN.

Dalam kenyataan tersebut, Sultan Abdullah juga menyatakan kegusarannya terhadap peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat baru-baru ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan sebanyak 115 kes baru menjadikan trend 3 digit jangkitan berterusan selama 3 hari berturut-turut.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan diri masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan oleh kerajaan dan tatacara kebiasaan baru berikutan situasi semasa jangkitan virus Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat,” kata kenyataan itu.