- Iklan -
Berita

Anwar umum cukup sokongan majoriti, ‘kerajaan Muhyiddin tumbang’

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan angka 'sokongan kukuh' yang dimaksudkannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari mengumumkan mempunyai “sokongan kukuh” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu berapa jumlah “sokongan kukuh” daripada ahli-ahli Parlimen yang dimaksudkan.

“Kerajaan Muhyiddin Yassin tumbang,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya dan menambah ahli Parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti.

Anwar juga memberi jaminan beliau mempunyai dokumen yang “tidak boleh diragui” bagi membuktikan cukup majoriti bagi menubuhkan kerajaan baru.

Apabila diasak untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong yang sekarang berada di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Beberapa pemimpin Umno kelihatan tidak tahu menahu dengan langkah terbaru Anwar ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan apabila dihubungi MalaysiaNow berkata: “Wallahu a’lam”, perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud “Allah lebih mengetahui”.

Sementara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai reaksinya terhadap pengumuman Anwar menulis di Twitter: “Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh.”

Reaksi Khairy selepas pengumuman Anwar.

Ini bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan sedemikian, pada 2008, presiden PKR itu pernah mengumumkan mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Abdullah Badawi.

Bagaimanapun, BN terus berkuasa dan Najib Razak menggantikan Abdullah sebagai perdana menteri pada 2009.