- Iklan -
Berita

Kini sukar bagi ahli politik sembunyi penaja, ahli perniagaan

Janji ke-18 manifesto PH pada PRU14 menyebutkan gabungan itu akan mewujudkan mekanisme pembiayaan politik berintegriti.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Kes dilaporkan berlaku ketika PRN Sabah baru-baru ini
Kes dilaporkan berlaku ketika PRN Sabah baru-baru ini

Semakin sukar untuk ahli politik menyembunyikan hubungan mereka dengan ahli perniagaan dan penyumbang kerana internet dan media sosial tidak memungkinkannya, kata pemerhati.

Ulasan ini dilakukan selepas tersebar baru-baru ini gambar di media sosial bagaimana pemimpin politik terkemuka berkempen ke Sabah menaiki jet peribadi ahli perniagaan yang terpalit dengan perniagaan meragukan.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata rakyat kini mempunyai akses kepada perkara-perkara yang dahulunya tertutup daripada pengetahuan mereka.

“Ini baru peringkat permulaan.

“Pada masa mendatang, pilihan raya akan jadi lebih terbuka, yang terpilih akan lebih berat tanggungjawab kerana mereka akan sentiasa di mata dan perhatian rakyat,” kata dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM itu kepada MalaysiaNow.

Kolumnis dan aktivis politik Hishamuddin Rais baru-baru ini mempersoalkan penglibatan pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) dengan ahli perniagaan yang mempunyai sejarah lampau yang buruk.

Sedangkan janji ke-18 dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebutkan gabungan itu akan mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti.

Menurut buku manifesto itu, kerajaan PH akan memastikan pendanaan politik negara telus dan bebas dari sumber-sumber yang merupakan rasuah di peringkat tertinggi.

Dalam tulisan disiarkan di blognya, Hishamuddin mendedahkan bagaimana beliau terkejut apabila mendapat tahu majlis berbuka puasa bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya dua minggu selepas PH mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, ditaja ahli perniagaan kontroversi Abdullah Ang.

Mohamad yang juga presiden Amanah dikatakan turut bergambar dan memberikan ucapan terima kasih di atas pentas bersama-sama Ang pada malam itu.

“Bila mendengar nama itu disebut. Dengan cepat mulut saya mencarut dari bahasa Melayu, ke bahasa Inggeris, ke bahasa Urdu, ke bahasa Perancis, ke bahasa Sepanyol, ke bahasa Bengali.

“Dengan sekelip maya saya menjadi kurang ajar. Menjadi kurang sopan dalam majlis yang dilihat beriman. Beberapa biji mata yang hampir dengan meja saya memandang Hishamuddin Rais yang  sedang  buat perangai. Hishamuddin Rais kurang  hajar dan kurang sopan dan tidak tahu adat majlis,” tulis bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu dalam blog popularnya Tukartiub.

Ang merupakan bekas ketua eksekutif Perbadanan Pelaburan Luar Negara Malaysia (MOIC) yang mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 1986 (diringankan selepas pengakuan mitigasi). Ang mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah berjumlah RM338,808.80.

Pada Ogos 1989, akhbar Malay Mail melaporkan Ang mendapat layanan “super VVIP” ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Laporan akhbar itu turut mendedahkan biliknya dilengkapi dengan peti sejuk, permaidani, pemain video dan “ waterbed”. Ang juga dilaporkan mempunyai akses keluar dan masuk kawasan penjara seolah-olah dirinya empunya tempat itu.

Dua tahun sebelum tarikh pembebasannya, Ang dilihat berlegar di sekitar Kuala Lumpur memakai t-shirt dan sepasang seluar putih. Abdullah juga dilihat berada di kilang pakaian milik keluarganya tanpa keberadaan pegawai penjara, warden dan kakitangan penjara semasa lawatannya.

MalaysiaNow cuba menghubungi Ang dan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk mendapat pengesahan dan penjelasan mengenai perkara ini masih belum berjaya.

Dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow, Hishamuddin mengatakan budaya politik undi atau kegiatan taikun perniagaan yang menuntut kepentingan peribadi melalui penglibatan bersama pemimpin politik di Malaysia sudah setanding dengan apa yang diamalkan di negara luar, Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun menurut Hishamuddin, di AS adalah ahli-ahli perniagaan besar yang bersama parti Demokrat dan Republikan tidak lagi membincangkan tentang mengaut projek-projek dari kerajaan akan tetapi mahukan dasar ditetapkan kerajaan selari dengan kepentingan perniagaan mereka.

“Di sini, kita masih di peringkat nak projek dan tender kerajaan. Mereka (ahli perniagaan) sokong, labur dan minta projek.

“Macam main filem, tauke-tauke ini macam pembuat skrip. Pengundi pula hanya dijadikan pelakon tambahan sebagai pelengkap proses demokrasi,” katanya.

Ketika sesetengah ahli politik menyembunyikan hubungan mereka dengan ahli perniagaan atau penaja, ada juga yang sudah menjadi pengetahuan umum.

Contohnya hubungan bekas perdana menteri, Najib Razak dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Begitu juga dengan seorang lagi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad diketahui umum rapat dengan beberapa ahli perniagaan besar seperti Syed Mokhtar Albukhary dan Vincent Tan.

Ahli Parlimen Langkawi itu menggunakan pejabat di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur dan Berjaya Group milik Vincent pernah menganjurkan majlis hari jadi untuk Dr Mahathir.

Baru-baru ini Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menjadi perhatian umum akibat hubungan rapatnya dengan ahli-ahli perniagaan.

Antaranya ialah ahli perniagaan Vinod Sekhar.

Baru-baru ini tular gambar Anwar menaiki jet peribadi bernama “PetraTara” ke Sabah.

Petra dan Tara adalah nama kepada anak-anak Vinod.

Sumber mengesahkan kepada MalaysiaNow Anwar menaiki jet peribadi Vinod untuk ke Kota Kinabalu pada 5 September dan pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September.

“Vinod turut bersama-sama mengikut Anwar ke Sabah dalam jet peribadinya itu,” kata sumber kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Vinod merupakan presiden dan ketua eksekutif kumpulan Petra Group yang mempunyai kepentingan dalam perniagaan getah, bioteknologi dan kewangan.

Beliau pernah dilaporkan sebagai seorang muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Jun 2005 selepas melakukan dua kesalahan apabila beliau menjadi pengarah 25 buah syarikat dan ke luar negara tanpa kebenaran ketua pengarah Jabatan Insolvensi, mengikut Seksyen 38 Akta Kebankrapan.

Selepas PH menawan Putrajaya, Vinod dalam wawancara bersama media secara terbuka menyatakan beliau merupakan penyokong kuat Anwar.

MalaysiaNow cuba menghubungi Vinod untuk mendapatkan komennya akan tetapi masih belum berjaya.