- Iklan -
Berita

Dr Mahathir siar usul undi tidak percaya terhadap PM kepada umum

Usul undi tidak percaya yang dihantar ke speaker Parlimen sudah 2 kali diletakkan pada akhir sidang perbahasan Dewan Rakyat

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Gambar: Facebook
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Gambar: Facebook

Selepas menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada speaker, Dr. Mahathir Mohamad bertindak menyiarkan usul tersebut kepada tatapan umum di laman blognya chedet.cc hari ini susulan masih belum dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata usul berkenaan sudah dua kali diletakkan pada akhir sidang Dewan Rakyat.

“Usul Kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” tulis ahli Parlimen Langkawi itu hari ini.

Terdahulu, bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dilaporkan menerima usul yang dikemukakan Dr Mahathir untuk meminta undi tidak percaya terhadap penggantinya, Muhyiddin.

Dalam entri tersebut, beliau menjelaskan faktor utama usul itu dikemukakan.

Antaranya adalah dakwaan “popular” DAP boleh “menghancurkan” orang Melayu sehingga menyebabkan bekas rakan seperjuangannya itu membentuk kerajaan Melayu-Islam yang baru.

Dr Mahathir menafikan perkara itu dengan mengatakan ianya tidak masuk akal dan orang Melayu tidak mudah “dihancur.”

“Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, ahli Parlimen Pagoh sebagai menteri dalam negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.

“Tetapi Tan Sri kononnya percaya DAP boleh hancur orang Melayu. Caranya untuk elak kehancuran ialah dengan menjatuh Kerajaan Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan campuran dengan Umno dan PAS.”

Katanya, beliau tidak boleh menerima cadangan Muhyiddin untuk kembali bersama Umno dengan mengatakan tindakan itu sebagai mengkhianati keputusan pengundi yang menolak kerajaan pimpinan Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Saya sudan minta Bersatu tangguhkan perancangan ini tetapi Muhyiddin sudah rapatkan hubungan Bersatu dengan Umno dan PAS di Sheraton Hotel untuk meraya gabungan antara mereka,” katanya sambil menambah cara Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri “amatlah memalukan.”

Perikatan Nasional (PN) naik ke tempuk kuasa selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada akhir Februari lalu.

PH yang mengambil alih kuasa persekutuan melalui PRU14 pada 2018, tumbang selepas Muhyiddin menarik Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac setelah menyusun gabungan baru yang terdiri daripada Bersatu, bekas wakil rakyat PKR, BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan lantikan Muhyiddin tanpa melalui proses pilihan raya yang sah adalah melanggar Perlembagaan dan mengakibatkan rakyat tertipu dengan cara tersebut.

“Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendiri Kerajaan, dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan.”