Monday, July 4, 2022

Polisi keselamatan makanan: Impak terjangka dan luar jangkaan

Harga makanan yang rendah boleh menolak petani ke tahap kemiskinan yang lebih buruk.

Other News

Pengumuman ke atas polisi keselamatan makanan oleh perdana menteri baru-baru ini perlu disemak semula. Kesan terjangka jangka pendek strategi ini mungkin tidak berbaloi dalam jangka masa panjang.

Antara strategi yang diumumkan termasuk harga siling bergerak, melibatkan GLC/GLIC dalam rantaian bekalan dan memajukan tanah terbiar.

Kerajaan dipuji kerana mengambil usaha proaktif ke atas keselamatan makanan.

Namun ketika strategi di atas akan menyebabkan impak terjangka dan luar jangkaan di mana ia perlu difikirkan semula sebelum polisi dan pelaburan besar dilakukan.

Pertama, kesan terjangka polisi harga siling bergerak adalah baik iaitu kestabilan kepada pihak pengeluar dan pengguna.

Namun kesan di luar jangkaan adalah ia memberi subsidi kepada kumpulan yang tidak memerlukan iaitu golongan pengguna berpendapatan tinggi.

Golongan berpendapatan tinggi lebih mampu menyerap kesan inflasi kerana peratus perbelanjaan makanan adalah 8% dalam kalangan pengguna berpendapatan tinggi berbanding hampir 30% dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah sedangkan golongan yang memerlukan adalah pengguna berpendapatan rendah.

Hakikatnya, harga tinggi adalah peluang terbesar yang dinanti-nantikan oleh pengeluar setelah sekian lama terperangkap dengan harga yang hanya memberi mereka margin yang kecil.

Ia adalah peluang keemasan kepada pengeluar untuk menikmati kenaikan harga. Kenaikan harga akan meningkatkan pelaburan ke dalam sektor ini.

Harga makanan yang rendah juga hanya menolak petani ke tahap kemiskinan yang lebih buruk.

Lantas, apabila harga dikongkong pada kadar tertentu, maka kuranglah insentif untuk petani dan peniaga berinovasi atau menjadi kreatif kerana margin yang stabil.

Hanya melalui pasaran yang bersaing dan wujud variasi harga mengikut imbangan permintaan dan penawaran, barulah peserta pasaran menjadi lebih dinamik dengan produk dan perkhidmatan baru.

Pasaran beras negara di mana harga runcit beras dan harga padi di tahap sawah terkawal, melembapkan pertumbuhan industri ini kerana bukan setakat margin keuntungan yang malar, malahan kadang kala tidak mencukupi kepada pengilang dan petani.

Hampir 90% petani dalam negara masih tergolong dalam kalangan B40 sementara amalan pemasaran yang tidak beretika juga meluas dalam kalangan peniaga apabila ada yang mencampur beras SST15% dengan beras berkualiti untuk mendapatkan keuntungan.

Selain itu, harus diperhatikan kadar pertumbuhan industri yang kini mulai lembab, tiada IKS yang tumbuh dan industri ini hanya mampu mengeluarkan beras, bihun, tepung beras dan bedak sejuk walaupun telah wujud semenjak Perang Dunia Kedua.

Sedangkan di negara lain produk berasaskan padi dan beras terus dipelbagaikan seperti makanan bayi, kosmetik, perubatan, pembinaan, baja organik dan lain-lain yang meningkatkan nilai padi kepada petani.

Polisi harga siling memerlukan pemantauan yang rapi ke atas pelbagai komoditi di pelbagai tahap rantaian bekalan, dari masa ke semasa dan lokasi. Ini memerlukan bukan sahaja pangkalan data yang komprehensif, terkini dan bermakna bahkan memerlukan penguatkuasaan daripada pihak polis.

Pelaksanaan dan pemantauan harga akan melibatkan kos kepada kerajaan seperti kos polis dan juga data analitik.

Ia bukan sahaja memerlukan bilangan komoditi dan lokasi yang banyak bahkan memerlukan pusat jualan yang merangkumi pasar raya, runcit dan pasar malam di kampung dan bandar selain pasar atas talian.

Masalah yang sama akan dialami bagi pemantauan ke atas perubahan harga dan input dari masa ke semasa dan juga lokasi.

Untuk menampung defisit dalam negeri atau memenuhi SSL, aktiviti import juga perlu digiatkan selagi kuasa belian pengguna ada.

Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah asas dan struktur yang dihadapi iaitu ketidakmampuan pengeluaran memenuhi penggunaan atau pengeluaran makanan tempatan di bawah kapasiti.

Lazimnya dalam situasi kenaikan harga, pengguna akan mengubah suai gaya hidup dan perbelanjaan supaya memenuhi keseimbangan masing-masing. Namun untuk melindungi pengguna miskin, melaksanakan bantuan bersasar seperti tunai dan kupon makanan adalah tindakan yang tepat.

Bererti, strategi jangka masa pendek perlu diiringi dengan polisi jangka panjang untuk membangunkan kapasiti pengeluaran makanan negara bermula dari sekarang melalui penekanan kepada makanan ini atau polisi makanan diutamakan.

Ini bererti perkukuhkan sistem makanan daripada pengeluaran input tempatan seperti baja, fid untuk ternakan, benih dan baka, mesin aplikasi ICT untuk membantu proses pengeluaran yang cekap, R&D dan pengembangan.

Malaysia tidak dapat lari daripada laluan strategi ini kerana langkah ini adalah pra syarat utama.

Kedua, kerajaan pernah melaungkan polisi jihad ke atas orang tengah. Namun, polisi yang baru diumumkan akan menggantikan orang tengah dengan GLC atau GLIC untuk mengambil alih antaranya fungsi pemasaran dan kegiatan rantaian bekalan yang berkaitan.

Dalam kata lain, kini kerajaan akan menjadi orang tengah kepada petani.

Pengalaman membuktikan penglibatan kerajaan dalam perniagaan lazimnya tidak berkesan berbanding pihak swasta atau koperasi kerana falsafah perniagaan yang berbeza.

Pengalaman di Malaysia sudah cukup membuktikan beberapa GLC yang ditugaskan membela nasib pekebun kecil terpesong dengan korupsi dan pelbagai masalah tatakelola yang serius seperti FGV, Tabung Haji, Mara dan lain-lain.

Hutang peneroka Felda perlu ditebus oleh kerajaan dan nilai ketirisan dalam FGV mencapai berbilion nilainya. Malahan Malaysian Agrifood Corporation Bhd milik Khazanah Nasional gagal dengan projek penanaman betik mereka dan Blue Archipelago Berhad masih belum sampai ke tahap yang membanggakan.

Jika GLC/GLIC menceburi rantaian bekalan, mereka akan beroperasi sebagai kapitalis iaitu melaksanakan perniagaan untuk meningkatkan pulangan ke atas modal.

Mereka juga akan menutup peluang kepada petani dan pengusaha untuk menceburi sektor tersebut kerana modal GLC yang besar adalah halangan kemasukan kepada pengusaha kecil atau IKS.

Lantas akan wujud monopoli atau oligopoli di tahap pemprosesan, pemborongan dalam pasaran makanan. Bererti pasaran menjadi lebih berpusat dan tidak bersaing, tidak inklusif dan beban kewangan kerajaan meningkat.

Antara penyelesaian ke atas masalah ini adalah menggalakkan pelbagai model rantaian bekalan dalam pasaran seperti jualan terus kepada peruncit (pasar malam), pemasaran atas talian, koperasi dan pertubuhan peladang menceburi pemasaran, kontrak perladangan atau pemasaran.

Perhatikan di Korea rantaian bekalan pertanian dikuasai oleh koperasi petani daripada tahap pengeluaran sehingga pasar runcit.

Koperasi dan pelbagai model rantaian bekalan akan menjadikan sistem penyampaian berdaya tahan berbanding dengan model yang terbatas kepada satu syarikat monopoli atau oligopoli.

Ketiga, masalah tanah terbiar berlarutan kerana masalah proses birokrasi yang rumit dan berjeda dan tarikan keuntungan tanaman makanan yang kecil. Antara langkah penyelesaian adalah mewujudkan pasaran tanah sewa di mana tanah terbiar dibuka untuk sewaan kepada pihak yang berminat.

Ini melibatkan pembinaan pangkalan data mengenai tanah terbiar dan melicinkan urusan penyewaan tanah transaksi menjadi pantas, licin dan terlindung bagi kedua pihak.

Model ini telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk China.

Nyata kerajaan masih ingin mengulangi struktur yang sama, lantas kesannya pasti serupa seperti sebelumnya dan penetapan harga siling memberi kesan luar jangkaan jangka masa panjang yang merugikan.

Fatimah Mohamed Arshad adalah felo pelawat kanan Khazanah Research Institute.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles