- Iklan -
Berita

'Tak masuk akal': Pakar persoal idea ganti beras dengan ubi kayu

Ia bukti kerajaan sekarang gagal menangani krisis bekalan beras, menurut seorang bekas penasihat kerajaan untuk sektor pertanian.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang pakar pertanian menolak cadangan menjadikan ubi kayu sebagai makanan alternatif sebagai penyelesaian kepada masalah bekalan beras, sambil menyifatkan ia bukti kegagalan pihak berkuasa.

Prof Fatimah Arshad yang pernah menganggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara berkata sepatutnya masalah ketiadaan beras tempatan diatasi dahulu.

"Malaysia bukan tiada beras, tapi beras disorok dan dicampur supaya pengilang dapat untung besar. Mereka untung besar, rakyat kena makan ubi kayu?" katanya kepada MalaysiaNow.

Speaker Dewan Rakyat yang juga bekas ahli Parlimen PKR, Johari Abdul, baru-baru ini mengundang kecaman dan sindiran di media sosial ekoran cadangannya untuk menjadikan ubi kayu sebagai alternatif kepada nasi sehingga masalah bekalan beras dapat diatasi.

Johari berkata ubi kayu juga mengandungi karbohidrat, malah lebih sihat kerana kandungan gula yang rendah.

Cadangan itu diikuti dengan ledakan kritikan dan kecaman terhadap Johari, dengan pelbagai klip video menyindir pihak kerajaan.

Fatimah Arshad
Fatimah Arshad

Fatimah berkata ubi kayu mempunyai indeks glisemik yang lebih tinggi berbanding nasi. Indeks glisemik skala yang menentukan kedudukan secepat mana makanan yang mengandungi karbohidrat menyebabkan peningkatan gula darah seseorang individu.

Di samping itu, ubi kayu juga ada kesan sampingan seperti badan berangin (bloating), katanya.

Menurut laman Facebook advokasi kesihatan Public Health Malaysia, walaupun ubi kayu mempunyai khasiat seperti menguatkan tulang dan gigi, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penambahan berat badan dan risiko toksik sianida.

Malaysia berdepan masalah bekalan beras putih tempatan sejak tahun lalu, disebabkan bukan sahaja perubahan iklim dan kenaikan kos benih padi, tetapi juga tindakan orang tengah dan kartel menyimpan stok dan manipulasi harga.

Ekoran sekatan import beras dari India yang menyebabkan kenaikan harga beras import, bekalan beras putih tempatan yang lebih murah mula "hilang" di pasaran.

Malaysia menghasilkan kira-kira 60% daripada penggunaan beras domestik.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mahu memperkenalkan pek 'Beras Madani' yang menggantikan semua varieti beras di pasaran. 

Cadangan itu bertujuan menghapuskan kegiatan pengilang mencampurkan varieti beras untuk dijual sebagai beras import bagi mendapatkan margin keuntungan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Fatimah berkata masalah beras tidak terletak pada jenis varieti, tetapi pada masalah bekalan yang berpunca daripada pengilang dan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), syarikat milik taikun Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mempunyai monopoli mengimport beras.

"Lembaga Padi dan Beras Negara yang ditubuh sejak 1971 kemudian menjadi Bernas sudah jadi 'gergasi besar' sampai kerajaan takut hendak mengambil tindakan," katanya.

Fatimah berkata tidak sukar untuk mempersoalkan rasional cadangan Johari itu.

"Tanya Datuk-Datuk (orang berkuasa) itu, mahu atau tidak makan ubi kayu rebus tiga kali sehari?"

Anis Anwar Suhaimi
Anis Anwar Suhaimi

Penganalisis Anis Anwar Suhaimi berkata, cadangan menggantikan makanan ruji sesebuah masyarakat tidak masuk akal.

"Betapa pentingnya nasi dan beras dalam masyarakat juga dapat dilihat dalam simpulan bahasa Melayu di mana pintu rezeki itu juga dikatakan sebagai periuk nasi. Betapa sinonimnya nasi dengan rezeki," kata Anis, yang merupakan ketua penyelidik O2 Research Malaysia.

Tambahnya, kenyataan seperti Johari memperlihatkan betapa pemimpin di pihak kerajaan terpisah daripada realiti dan kesukaran rakyat.