Tuesday, May 17, 2022

Bagaimana bahasa Melayu terlepas peluang menjadi besar

Pada tahun 1972, ejaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia berjaya diseragamkan.

Other News

Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Nadiem Makarim menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu, sebagai bahasa rasmi kedua Asean.

Perkara ini menjadi perbincangan berhari-hari dalam media sosial.

Dalam sejarah, bahasa Melayu Malaysia dan Indonesia pernah terlepas peluang untuk menjadi bahasa besar.

Pada tahun 1972, ejaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia berjaya diseragamkan.

Pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat tetapi di sekolah, ia digunakan dengan serta-merta.

Ketika itu istilah Bahasa Malaysia digunakan untuk merujuk kepada bahasa Melayu Malaysia.

Walaupun bukan istilah rasmi kerana dalam Perlembagaan ia disebut sebagai bahasa Melayu, tetapi nama itu digunakan secara meluas oleh kerajaan dan masyarakat termasuk di sekolah-sekolah.

Istilah Bahasa Malaysia digunakan mulai tahun 1969 dan dari tahun 1986, ia kembali menjadi bahasa Melayu.

Pada tahun 1972, saya berada di tingkatan satu.

Mata pelajaran Bahasa Melayu dipanggil Bahasa Malaysia.

Pada kulit buku teks juga tertulis perkataan Bahasa Malaysia.

Di dalamnya ia masih menggunakan ejaan lama.

Tetapi guru sudah mula mengajarkan ejaan baru.

Majlis perasmian penyeragaman ejaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang dilakukan serentak di Kuala Lumpur dan Jakarta diadakan dalam suasana semangat persaudaraan.

Kejayaan menyeragamkan ejaan itu dilihat sebagai peristiwa bersejarah yang juga memberi makna politik bahawa terdapat hubungan istimewa antara kedua negara sebagai saudara serumpun.

Maknanya Malaysia dan Indonesia bukan saja berjiran tetapi adalah negara bangsa serumpun yang berkongsi bahasa dan budaya.

Saya mendengar acara majlis itu melalui radio yang disiarkan secara langsung.

Tentunya usaha penyeragaman ejaan itu tidak akan berjaya tanpa azam politik antara kedua negara.

Kekuatan politik kedua-dua Perdana Menteri Abdul Razak Hussein dan Presiden Suharto di negara masing-masing membolehkan usaha itu.

Cadangan supaya diseragamkan kedua-dua ejaan itu bermula pada tahun 1956 dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan di Johor Bahru dan Singapura.

Indonesia turut menghantar wakil rasmi diketuai menteri pendidikan.

Sebelum merdeka, bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi.

Tulisan rumi dianggap sebagai tulisan kedua.

Hanya apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Malaya, barulah ia menggunakan tulisan rumi.

Ini kerana dalam Perlembagaaan, bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu yang bertulisan rumi.

Apabila sekolah-sekolah Melayu menjadi sekolah kebangsaan, tulisan bahasa pengantarnya berubah dari jawi ke rumi.

Pada tahun 1959, usaha dimulakan untuk menyeragamkan ejaan bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.

Tetapi azam politik untuk itu tidak kuat.

Konfrontasi tahun 1963 membantut sebarang usaha untuk menyeragamkan kedua-dua ejaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Maka apabila berlaku perubahan rejim di Jakarta, hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sahaja pulih tetapi diangkat ke tahap yang lebih baik.

Ini kerana adalah disedari bahawa keselamatan dan kemakmuran kepulauan Asia Tenggara terletak pada hubungan baik Malaysia-Indonesia.

Tetapi peristiwa 13 Mei 1969 mengubah hala tuju Malaysia yang turut merapatkannya lagi dengan Indonesia.

Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman dan usaha baru untuk mengukuhkan perpaduan negara.

Untuk itu, Malaysia banyak mengambil contoh daripada Indonesia.

Konsep Bangsa Malaysia ditekankan seperti mana gagasan Bangsa Indonesia.

Rukun Negara diperkenalkan seperti mana Pancasila di Indonesia.

Maka bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia seperti adanya Bahasa Indonesia.

Untuk memperkasakan Bahasa Malaysia, sekolah kebangsaan diperbanyakkan dengan merangkumi Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris yang ditukar bahasa pengantarnya.

Program ini antara lain bertujuan melahirkan generasi baru Bangsa Malaysia dari pelbagai kaum yang menggunakan Bahasa Malaysia.

Universiti Kebangsaan Malaysia juga ditubuhkan untuk menampung lulusan-lulusan sekolah kebangsaan dengaan bahasa akademiknya adalah Bahasa Malaysia.

Tetapi tentunya terdapat kekurangan tenaga pengajar dan bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Tenaga pengajar untuk bidang sains dalam Bahasa Malaysia hampir tiada.

Untuk mengatasi masalah ini, guru-guru sains dari Indonesia dibawa masuk di samping kerajaan menghantar pelajar ke sana.

Pengajaran sains dalam Bahasa Indonesia adalah langkah awal dalam penyediaan penggunaaan Bahasa Malaysia dalam bidang itu.

Pada awal tahun-tahun 1970-an, saya sering menggunakan perpustakaan awam di Batu Pahat, Johor.

Koleksi bukunya sedikit. Kebanyakannya buku lama.

Sebahagiannya adalah buku Indonesia yang menggunakan ejaan lama mereka.

Di bandar juga terdapat kedai yang menjual buku-buku Indonesia.

Saya juga dapati di rumah orang berpendidikan terdapat buku-buku Indonesia.

Antaranya Ensiklopedia Indonesia.

Penyeragaman ejaan Malaysia-Indonesia dapat memudahkan lagi pembacaan buku dari kedua negara.

Walaupun gaya bahasa kedua-dua bahasa tetap berbeza, tetapi ejaan sama menggalakkan pembacaan.

Dengan banyak membaca, seseorang dari Malaysia dapat menguasai Bahasa Indonesia.

Selepas penyeragaman ejaan, agenda seterusnya adalah penyeragaman istilah ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Usaha ini dilakukan dengan penubuhan satu majlis yang turut disertai Brunei.

Maka seharusnya jika berjalan lancar, akhirnya akan berlaku penyatuan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dengan menjadikan pengedaran buku dan ilmu antara kedua negara dapat bergerak rancak.

Keutamaan sesuatu bahasa terletak pada kekuatan ekonomi penuturnya.

Pada tahun 1970-an itu, ramai pihak menaruh harapan besar bahawa Presiden Suharto dapat menjadikan Indonesia sebuah kuasa ekonomi.

Dengan kekuatan ekonomi itu, ia sekaligus memperkasakan Bahasa Indonesia.

Di Malaysia juga harapan amat tinggi bahawa di bawah Razak, negara ini akan mencapai pembangunan yang tinggi dengan semua rakyatnya menggunakan Bahasa Malaysia.

Apabila Bumiputera turut berkecimpung dalam perniagaan, sains dan teknologi, maka Bahasa Malaysia akan juga menjadi perkasa.

Maka dengan ini secara bersama Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia akan menjadi bahasa penting dunia.

Pada tahun 1970-an, bahasa Inggeris belum mendominasi di dunia seperti sekarang.

Media dan komunikasi tanpa internet adalah terhad.

Dunia terbahagi pada dua kutub. Negara blok timur menggunakan bahasa Rusia.

Perang Dingin sedang berlangsung dan Soviet Union belum kalah.

Jika sistem ekonomi Soviet berjaya, maka bahasa Rusia akan memberi saingan kepada bahasa Inggeris.

Walaupun Mandarin adalah bahasa komersial di Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong tetapi ia belum penting seperti sekarang.

Ini kerana pada tahun 1970-an China masih tertutup dan belum menjadi kuasa ekonomi seperti hari ini.

Harapan untuk bahasa Malaysia-Indonesia mencapai tahap tinggi menjadi pudar apabila kedua negara gagal untuk maju seperti yang dirancang.

Indonesia berkembang tetapi tidak cukup maju. Sebaliknya ia menghadapi masalah korupsi, kolusi dan nepotisme.

Di Malaysia pula, Dasar Ekonomi Baru tidak berjaya sepenuhnya dengan golongan perniagaan Bumiputera tidak cukup dibentuk seperti apa yang diharapkan.

Orang bukan Melayu pula enggan memasuki sekolah kebangsaan.

Bahasa Melayu kurang berkembang dengan industri buku juga terbantut.

Harapan pengedaran meluas buku antara Indonesia dan Malaysia juga tidak berlaku.

Indonesia pula menghalang kemasukan buku Malaysia.

Sementara orang Malaysia bukan saja kurang membaca tetapi juga tidak minat terhadap buku Indonesia.

Dunia juga berubah. Kekalahan Soviet Union menaikkan kepentingan bahasa Inggeris.

Rakyat bekas blok Soviet lebih suka menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia.

Teknologi maklumat dan internet mengesahkan keunggulan bahasa Inggeris.

Kekuatan ekonomi China yang muncul secara mendadak meletakkan kepentingan bahasa Mandarin.

Dari Afrika hinggalah ke Asia Tengah, orang berlumba untuk belajar bahasa Mandarin.

Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia terlepas peluang sejarah untuk menjadi bahasa penting dunia.

Tetapi perkara ini masih boleh dicapai juga.

Apa yang perlu Indonesia lakukan adalah dengan menjadi maju.

Bila negara maju, bahasanya pun akan menjadi penting.

Malaysia pula wajar terus meningkatkan pertalian dengan Bahasa Indonesia.

Bersama, kedua-duanya akan lebih berjaya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles