- Iklan -
Rencana

AS, Israel berbaik dengan neo-Nazi di Ukraine?

Parti politik neo-Nazi semakin berpengaruh di Ukraine mendapat dukungan Washington malah usaha mereka turut disokong.

Ismail Hashim
3 minit bacaan
Kongsi
Volodymyr Zelensky bercakap kepada media di bandar Bucha pada 4 April. Presiden Ukraine itu dikatakan turut mendapatkan sokongan kumpulan neo-Nazi bagi menangkis serangan Rusia. Gambar: AFP
Volodymyr Zelensky bercakap kepada media di bandar Bucha pada 4 April. Presiden Ukraine itu dikatakan turut mendapatkan sokongan kumpulan neo-Nazi bagi menangkis serangan Rusia. Gambar: AFP

Saya tidak pasti sama ada persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini akan disekat penyiarannya di Facebook atau Twitter.

Tidak silap saya sebarang kritikan pedas ke atas Israel dan Yahudi keahlian seseorang di aplikasi media sosial itu akan disekat dan digantung buat sementara. Dan apa yang ditulis tidak akan kelihatan lagi.

Bagaimanapun, saya ingin membawa pembaca untuk meneliti beberapa episod dalam konflik Ukraine-Rusia yang sedang berlaku ketika ini. Terdapat satu kejanggalan besar yang mungkin kita abaikan ekoran propaganda media Barat terhadap Rusia.

Bahkan media Barat sudah pasti tidak akan menyiarkannya.

Kejanggalan dalam konflik Ukraine-Rusia ialah hubungan AS dan Israel dengan kumpulan neo-Nazi di Ukraine.

Peranan penting yang dimainkan kumpulan pelampau berhaluan kanan dan neo-Nazi dalam protes Euromaidan sejak 2014 sangat ketara sejak awal lagi.

Jika sesiapa meneliti kejatuhan kerajaan Ukraine pada 2014, dataran di mana tempat demonstrasi berlaku dipenuhi dengan kibaran parti-parti berhaluan kanan, Svoboda dengan kain rentang merah dan hitam daripada cabang pergerakan berhaluan kanan neo-Nazi.

Namun media Barat tidak pernah prihatin untuk memaparkan isu ini padahal mereka jugalah yang menentang Nazi dan Hitler ekoran kekejaman, pembunuhan dan penindasan  jutaan orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Media Barat sekadar memaparkan bantahan dan keganasan yang berlaku sebagai sesuatu yang spontan dan kebangkitan popular rakyat Ukraine.

Tidak dapat dipastikan apakah Batalion Azov (militia neo-Nazi) yang bergerak di medan perang menentang Rusia disenaraikan sebagai organisasi pengganas seperti Al-Qaeda, Al-Nusra, Islamic State (Daesh) oleh AS.

Organisasi neo-Nazi ini seolah-olah kumpulan paling komited dalam konfrontasi mereka dengan Rusia dan mendapat perhatian Washington.

Parti politik neo-Nazi dan organisasi ketenteraannya yang semakin berpengaruh di Ukraine itu mendapat dukungan Washington malah usaha mereka turut disokong.

Walaupun terdapat komen mengenai peranan yang semakin besar oleh kumpulan dan parti neo-Nazi di Ukraine, ia bagaimanapun tidak akan mempengaruhi dasar Nato atau AS untuk menarik diri daripada menyokong negara itu.

Ini kerana dalam usaha menangani pengaruh Rusia di Ukraine, AS sanggup berkerjasama dengan kumpulan pro-Nazi atau Batalion Azov sekalipun, padahal dalam Perang Dunia Kedua, musuh utama AS adalah Nazi Jerman.

Rejim haram Israel sekarang berhadapan situasi ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Antara yang mengkritik serangan Rusia di Ukraine dan secara tidak langsung menyokong penglibatan organisasi neo-Nazi di sana adalah presiden Ukraine sendiri.

Namun dalam masa yang sama, Israel ingin mengekalkan hubungan baik dengan Rusia.

Hartawan Rusia, Roman Abramovich, pemilik kelab bola sepak Chelsea (yang tidak dapat dipastikan kedudukannya selepas dikenakan sekatan ekonomi) berasal daripada keturunan Yahudi dan penasihat Putin itu biasa menderma ratusan juta dolar kepada muzium peringatan Holocaust.

Perkara ini sudah tentu mencetuskan dilema terhadap Israel.

Kritikan Israel ke atas operasi denazifikasi Rusia di Majlis Perhimpunan Agung PBB tidak berapa lama dahulu juga mencetuskan beberapa kritikan komuniti Yahudi dan ahli politiknya yang didakwa seolah-olah menyokong neo-Nazi.

Ia tentu lebih sulit apabila Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengharapkan bantuan Batalion Azkov dalam peperangannya dengan Russia.

Bahkan dalam kenyataan-kenyataannya beliau menyamakan operasi denazifikasi Rusia semasa operasi khas itu dengan Holocaust.

Bahkan semasa Perang Dunia Kedua terdapat dakwaan pihak Ukraine membantu Jerman membunuh Yahudi.

Agensi media, Arutz Sheva berkata kenyataan Zelensky telah menghina dan mengguris hati bangsa Yahudi ketika membuat perbandingan dengan peristiwa Holocaust.

Daniel Greenfield, salah seorang kolumnis dalam Arutz Sheva berkata Zelensky dan kerajaannya telah menghina Israel dan mengeksplotasi isu Holocaust dan mahukan Iron Dome (sistem pertahanan canggih rejim haram Israel) dan senjata perang siber Pegasus, menggesa sekatan ekonomi Israel ke atas Rusia tetapi pada masa yang sama enggan menghentikan urusan perniagaan dengan Iran.

Sebelum ini, ramai yang mendakwa ia sekadar propaganda Rusia mengenai Zelensky yang ingin menjadikan Ukraine sebagai sebuah negara neo-Nazi dengan menyingkirkan budaya Rusia dan etnik Rusia di timur Ukraine.

Israel harus menyatakan pendirian yang jelas dalam konflik Ukraine sama ada menyokong pengaruh neo-Nazi dalam kerajaan Ukraine atau membantah serangan Rusia ke atas Ukraine secara terbuka?

Warga dunia ingin Israel menyatakan pendiriannya.

Presiden Ukraine yang berketurunan Yahudi mengharapkan bantuan neo-Nazi, Batalion Azov dalam perang menentang serangan Rusia kelihatan janggal.

Dalam hubungan ini dapat kita lihat betapa membisu dan munafiknya media Barat yang tidak memainkan sentimen ini kerana pengaruh Zionisme dan anti-semitik yang kuat.

Di manakah objektifnya liputan kewartawanan Barat yang menjadi rujukan sekolah-sekolah kewartawanan di negara ini.

Itulah sejarah, perkara yang menjadi kebencian pada suatu masa dahulu kini berubah memberi sokongan pula.

Kepentingan geopolitik kuasa-kuasa besar boleh mengenepikan memori sedih dan makna sejarah pada sesetengah pihak.

Sesetengah pula akan mengatakan yang terlibat dan terbabit ialah datuk nenek mereka dan jangan babitkan generasi sekarang dalam permusuhan dahulu kala.

Walaupun kita membenci peperangan dan tidak bersetuju dengan serangan Rusia itu kerana melibatkan isu kemanusiaan dan nyawa mereka yang tidak berdosa, adakah negara Islam yang menyokong Ukraine dalam konflik ini akan bersama kumpulan pengganas neo-Nazi?

Apakah yang dapat umat Islam pelajari bagi mengukuhkan persaudaraan Islam sejagat dalam isu konflik-Ukraine ini?

Ismail Hashim adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow