- Iklan -
Kolum

Tinggalkan kamera ketika bantu orang susah

Ada orang yang susah, tapi tidak ingin kesusahannya diketahui keluarga terdekat mahupun sahabat.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Mengajak orang ramai untuk melakukan kebaikan adalah sikap yang terpuji.

Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, ramai ingin melaksanakan kebajikan terutamanya membantu golongan susah.

Namun begitu, bolehkah kebajikan itu dilakukan dengan menjaga aib orang yang susah?

Ada orang yang susah, tapi tidak ingin kesusahannya diketahui keluarga terdekat mahupun sahabat.

Bagi mereka ia adalah satu aib.

Bukan kerana dia suka menerima bantuan, tapi kesusahan yang diuji pada dirinya memaksanya terpaksa merendahkan maruah dan ego untuk menerima bantuan yang dihulurkan bagi meneruskan kehidupan.

Jika boleh, dia ingin merahsiakan bahawa dirinya perlu menerima bantuan.

Dia mungkin tidak mahu ibu bapa mengalir air mata melihat dirinya bergelut dengan kehidupan.

Dia mungkin tidak mahu adik-beradiknya tahu bahawa abangnya tidak berupaya berdikari setelah sekian lama.

Dia mungkin tidak mahu sahabat-sahabat atau rakan sekerjanya mengetahui keadaan hidupnya. Dia ingin menjaga maruahnya.

Namun, sejurus sahaja dia menerima bantuan, gambar dimuat naik ke media sosial.

Yang memberi bantuan menunjukkan dia sudah melaksanakan kebaikan.

Kadangkala gambaran yang diberikan ialah pemberi bantuan sudah menyelesaikan kesusahan penerima bantuan dengan bantuan tersebut.

Bantuan itu menjadikan pemberi itu hero di dalam hantaran media sosialnya manakala penerima dijadikan sekadar sajian untuk melengkapkan suatu cerita kebajikan.

Tiada yang mengambil kisah mengenai perasaan penerima bantuan.

Tiada siapa yang akan mengambil berat apakah yang berlaku kepada si penerima bantuan selepas itu kerana ramai yang menganggap kesusahan mereka ditamatkan dengan bantuan yang diberikan.

Perkara terpenting hanyalah foto dan video kebajikan yang dilakukan itu.

Si pemberi bantuan, mungkin rata-ratanya ikhlas.

Namun, majoriti secara tidak langsung tewas kepada godaan untuk menggunakan kesusahan si penerima bantuan sebagai sajian untuk menaikkan nama di dunia media sosial.

Tulisan ini bukanlah untuk menawarkan hati para si pemberi bantuan.

Teruskanlah membuat kebaikan dan kebajikan.

Jika tangan dan hati masih ingin mewar-warkan kebaikan dan kebajikan yang dilakukan di media sosial meskipun Tuhan dah menyaksikan kebaikan yang dilakukan, buatlah tanpa mendedahkan aib si penerima.

Sebaliknya berceritalah mengenai ketabahan, kegigihan, kekuatan dan kecekalan orang susah menghadapi cabaran hidup dan terus meneruskan kehidupan.

Ini kerana belum tentu si pemberi bantuan dapat menandingi kehebatan para si penerima bantuan ini jika mereka diuji dengan kesusahan yang sama.

Tuhan lebih tahu.