- Iklan -
Kolum

Orang Putih balik kampung

Wayang 'free' ini hingga ke hari ini menjadi lambang ingatan aku yang tak putus-putus tentang merdeka.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

“Poot poot bunyi motokar,
Tok Onn cabut Umno merdekha.”

Pantun dua kerat ini sudah aku dengar. Cerita Orang Putih nak balik kampung pun sudah aku dengar.

Pantun ini aku dengar dari sepupu ketika aku bertandang ke Kuala Lumpur.

Berita Orang Putih nak balik kampung aku dengar dari emak aku.

Cikgu Zaleha yang bawa berita Tuan Ellis dan Tuan Ebon akan balik kampung. Tanah Melayu akan merdeka.

Di Sekolah Melayu Kuala Klawang B, sekolah khusus untuk murid-murid perempuan – ada kelas memasak dan mengait.

Aku tahu ini kerana Kak Lang aku dalam darjah empat. Dia belajar mengait baju dari benang yang berbulu-bulu.

Kak Lang beritahu benang bulu kambing biri-biri yang dikait ini akan menjadi baju panas tebal untuk bayi. Baju berbulu tebal macam baju bayi Orang Putih.

Mem, mungkin isteri Tuan DO atau mungkin isteri Tuan OCPD aku tidak pasti, datang ke sekolah untuk mengajar murid perempuan Melayu kelas mengait dan memasak.

Mem ini bukan jadi guru tapi datang melawat dan menunjuk ajar cara kehidupan Orang Putih.

Kak Lang aku bercerita dapur dalam kelas ini tidak memakai kayu tetapi minyak tanah.

Murid juga diperkenalkan dengan kota hitam yang dipanggil “oven”.

Dalam kelas mem mengajar cara membuat jem. Mengikut Mem, jem ini untuk minuman pagi.

Untuk aku minum pagi yang enak ialah ubi rebus dengan kelapa yang berkukur.

Aku tak tahu apa itu jem. Tahun 1956 aku belum pernah melihat jem.

Ada juga aku terfikir kalau Orang Putih balik kampung siapa yang akan datang untuk mengajar buat jem dan mengait baju untuk murid perempuan di Sekolah Kuala Klawang B?

“Kita akan ada kerajaan sendiri.” Cikgu Zaleha memberi penerangan.

Semua ini aku tidak faham. Aku tidak faham siapa dia kerajaan. Yang aku tahu atas bukit di Kuala Klawang ada Tuan OCPD dan Tuan DO, dua-dua Orang Putih.

Di bawah bukit ada kem Gurkha. Tepi bukit sebelah rumah OCPD ada rumah pasung.

Kalau buat salah ada rumah pasung. Rumah pasung ada lokap. Untuk aku inilah kerajaan Jelebu.

Cerita Orang Putih nak balik kampung makin kuat. Satu hari aku diberitahu tiga pondok kecil, rumah sentri di tiga pintu kawat berduri yang memagari pekan Kuala Klawang sudah tiada lagi.

Pintu dan pagar berkawat yang memagari Kuala Klawang masih ada. Hendak masuk ke pekan tiada lagi kawalan ketat. Keluar masuk ke dalam pekan makin senang.

Aku juga dengar “kefew” sudah tiada lagi. Tentang kefew ini aku kurang pasti kerana kami duduk dalam pekan dan waktu malam.

Keluarga kami tidak ke mana-mana. Kefew ini tidak banyak mengganggu kehidupan harian kami.

Tetapi membeli makanan asas seperti minyak, gula, tepung dan beras masih lagi menggunakan kad permit.

Tentera Gurkha masih lagi berada dalam kem di pekan Kuala Klawang.

Satu hari ketika aku lalu depan kem tentera Gurkha aku nampak banyak lori beratur.

Kem Gurkha sedang dibuka. Rupa-rupanya tentera Gurkha juga nak balik kampung.

Ke mana Gurkha ini pergi aku tidak tahu. Kawasan tempat wayang AKC kelihatan lapang.

Seminggu kemudian tapak yang lapang ini diganti dengan kem baru.

Kem Gurkha kini menjadi kem Askar Melayu.

Dari pasukan mana dan rejimen ke berapa Askar Melayu ini aku tidak tahu.

Yang pasti pekan Kuala Klawang kini penuh dengan anak-anak muda Melayu.

Askar Melayu agak berbeza sedikit dengan tentera Gurkha. Petang-petang mereka main bola. Main kriket tak ada lagi.

Bila ada perlawanan bola daerah Jelebu, pasukan Askar Melayu masuk bermain sama.

Sama seperti tentera Gurkha, Askar Melayu juga berdisiplin.

Mereka keluar ke pekan berkumpulan dan memakai baju putih dan seluar gelap.

Apa yang menarik bila Kuala Klawang ada kem Askar Melayu ialah panggung wayang Ruby mula mengadakan pertunjukan “matinee” pada pagi Sabtu.

Ini belum pernah terjadi. Pertunjukan wayang jam 11 pagi ini diadakan kerana hendak menampung penonton dari kem Askar Melayu.

Wayang AKC filem Hindustan tidak ada lagi. Apabila kem Gurkha tutup Pak Teh Akc aku tidak muncul lagi.

Panggung Ruby pun berubah. Setiap hujung bulan akan ada filem Melayu dan filem Hindustan.

Filem Orang Putih, filem perang dan filem koboi makin kerap. Selainnya filem “Cantonese” untuk warga Cina.

Sabtu pagi panggung akan penuh, Askar Melayu datang menonton. Bila gambar Melayu ditayangkan panggung akan penuh.

Ekonomi Kuala Klawang hidup maju dengan adanya kem Askar Melayu.

Satu petang ketika aku bermain di padang bola aku ternampak Keling PWD sedang memasang bendera.

Ini bendera kecil dari kertas. Aku tak pernah nampak bendera-bendera seperti ini.

Yang aku kenal hanya bendera kuning merah dan hitam. Ini bendera Negeri Sembilan.

Lalu aku dan kawan-kawan main teka meneka bendera dari negeri mana. Kami meneka secara rambang. Entah betul entah salah kerana inilah kali pertama kami melihat bendera-bendera negeri lain.

Selama ini kami hanya kenal pasti bendera Negeri Sembilan.

Dari Cikgu Zaleha aku dapat tahu Hari Merdeka sudah ditetapkan.

Aku mula sedar Keling PWD ini sedang menguruskan pemasangan bendera untuk menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Aku teringat kembali lama sebelum 31 Ogos, 1957 ketika keluarga kami di Sekolah Tapak lagi Cikgu Zaleha pernah bersurah tentang lagu Terang Bulan.

Aku tidak tahu buah butir lagu Terang Bulan ini.

Mengikut surah emak aku lagu Terang Bulan ini berasal dari tanah seberang Indonesia.

Aku juga tidak tahu bila nama Tanah Melayu bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu (PTM ).

Alamat surat-menyurat tiba-tiba semuanya diakhiri dengan PTM.

Lagu Terang Bulan pula akan menjadi lagu rasmi PTM.

Aku tidak faham apa pentingnya lagu Terang Bulan ini.

Aku mendengar abang aku bersurah bagaimana di Jepun apabila lagu kebangsaan dimainkan semua orang akan tercegat bangun berdiri.

Malah mengikut abang aku ketika lagu kebangsaan dimainkan, mata orang Jepun tidak dibenarkan berkelip.

Dari perawi mana abang aku memungut hadis ini tidak pula aku selidiki.

Ketika itu tugas aku hanya menerima semua maklumat sebagai hadis sahih.

Malah aku sendiri cuba membeliakkan mata tanpa berkelip seolah-olah aku orang Jepun. Hasilnya gagal.

Persediaan untuk menyambut merdeka sedang berjalan rancak di pekan Kuala Klawang.

Di hadapan pejabat daerah sebuah tiang simen didirikan.

Tiang simen sebesar pemeluk ini tegak seperti cendawan busut dipanggil Tugu Merdeka.

Pejabat daerah, rumah pasung, pejabat pos, “gedung injin leterik”, rumah kelab semua dihias dengan lampu elektrik.

Dari “bulb” lampu neon dan lampu kalimantang direka huruf “M” untuk merdeka. Sana sini kelihatan pintu gerbang dari buluh yang diselang seli dengan rumput paku pakis dan lampu neon kalimantang.

Keling PWD berjaya memasang di sekeliling padang pekan Kuala Klawang dengan bendera-bendera kecil negeri-negeri Tanah Melayu.

Pesta merdeka siap bersedia.

Aku dalam darjah satu. Kakak aku yang tua, kak ngah belajar di GES.

Untuk sambutan merdeka sekolah GES akan mempersembahkan satu tarian Melayu.

Kak ngah aku mengambil bahagian dalam kumpulan tarian ini.

Dua hari sebelum 31 Ogos aku keluar berjalan selepas senja.

Aku melihat pekan Kuala Klawang yang berhias cantik. Aku merasa amat bangga kerana pekan Kuala Klawang pekan rujukan aku dilihat indah cantik bergemerlapan.

Tugu siap tegak berdiri tapi masih berbungkus.

Aku rasa malam itu Kuala Klawang ini adalah pekan terindah dalam dunia ini. Semua ini aku pasak dalam ingatan untuk rakaman sejarah.

Ketika aku bersekolah di zaman Inggeris ada dua sistem percutian sekolah.

Sekolah Inggeris cuti hari Sabtu dan Ahad. Sekolah Melayu cuti hari Jumaat dan Sabtu.

Cuti penggal dan cuti tahunan semuanya sama kecuali Sekolah Melayu bermula hari Ahad dan sekolah Inggeris bermula hari Isnin.

Tanggal 31 Ogos 1957 jatuh pada hari Sabtu, semua sekolah bercuti.

Kami murid Sekolah Kuala Klawang A dan B bersama murid GES datang memenuhi padang.

Murid sekolah Cina Yuk Hua, lelaki dan perempuan yang terletak tidak jauh dari padang datang sama.

Ada pentas di sediakan dengan alat pembesar suara melalui kereta jabatan penerangan.

Ada ketua orang Melayu, ketua orang Cina, ketua orang India dan pegawai kerajaan yang berpakaian kemas duduk di atas pentas. Aku tidak ingat siapa berucap dan apa isi ucapan.

Warga Jelebu datang mengelilingi padang.

Aku nampak pakcik Melayu bersongkok dan bersamping. Makcik berselendang dan berkebaya labuh.

Anak dara berkebaya pendek. Ada perempuan Melayu memakai baju kurung.

Aku nampak juga lelaki India dengan pakaian serba putih. Perempuan Cina pakai baju cheongsam.

Amoi-amoi muda dengan gown macam pakaian mem. Achi dan tangachi dengan sari berwarna warni.

Sambutan merdeka di pekan Kuala Klawang tahun 1957 dalam suasana gembira seperti hari raya.

Kain menutup tugu secara rasmi dibuka.

Terpampang nama-nama “gedebe Jelebu” yang mendermakan dana untuk mendirikan tugu ini.

Yang aku ingat nama Tara Singh Bengali kaya pemilik kebun getah yang rumahnya tidak jauh dari berek guru tempat aku tinggal.

Tarian Melayu dari murid perempuan GES mengakhiri sambutan merdeka 31 Ogos 1957 di daerah Jelebu.

Sambutan merdeka menjadi lebih meriah.

Aku ingat selesai sahaja beratur di padang murid-murid diberi tiket percuma untuk menonton wayang di Panggung Ruby.

“Bila lagi nak merdeka?” Zul bertanya.

“Ada apa?” Aku bertanya kembali.

“Nak nengok wayang free.”

Wayang “free” ini hingga ke hari ini menjadi lambang ingatan aku yang tak putus-putus tentang merdeka.

Sesudah upacara rasmi sambutan merdeka menjadi pesta rakyat.

Merdeka menemukan aku dengan “kedai tikar”. Makcik dan kakak membentang tikar menjual kuih muih, ada air serbat, tempeyek, tahu sumbat dan cucur udang.

Dalam sambutan merdeka ini juga kali pertama aku berjumpa Keling berbasikal menjual “alusmitai”.

Gula yang menjadi kapas. Basikalnya menjadi mesin mengubah gula pasir yang berwarna warni untuk menjadi kapas manis.

Semua jajan ini boleh dibeli dengan harga 5 sen.

Jika ada 50 sen ketika hari merdeka ertinya amat lumayan.

Aku tidak tahu dari ceruk mana abang ini datang. Abang ini juga membentang tikar.

Atas tikar bertaburan botol kecil, ini botol ubat yang dijual. Ubat tenaga batin.

Di tepi tikarnya abang ini ada sebuah kotak bulat dari mengkuang. Dalam kotak ada seekor ular sawa bergulung.

Ular ini menjadi tarikan utama untuk orang ramai datang berkumpul.

Sambutan merdeka ini bermula dari pagi hingga ke petang. Tengah hari ada wayang. Di sebelah petang ada permainan bola.

Di Jelebu ketika aku membesar ada pasukan PWD, pasukan polis, pasukan Jelebu Estate dan paling baru pasukan Askar Melayu dari kem Kuala Klawang.

Walau pun pada 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu merdeka, Jelebu masih lagi kawasan hitam.

Perang gerila yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya masih lagi belum selesai. Darurat masih berjalan.

Epilog 1:

Kawasan kem Gurkha dan kem Askar Melayu akhirnya ditutup pada tahun 1960.

Kawasan kem kini menjadi kawasan sekolah. Goverment English School diperluaskan untuk menjadi Sekolah Menengah Undang Jelebu.

Sekolah asal GES menjadi Sekolah Rendah Undang Jelebu.

Jalan di hadapan SMUJ dipanggil Jalan Gurkha.

Epilog 2:

Rumah Guru Besar GES hari ini menjadi Balai Udang Luak Jelebu, kediaman resmi Datuk Undang.

Kawasan puncak rumah Tuan DO diratakan untuk menjadi pejabat kerajaan.

Rumah Tuan OCPD masih menjadi rumah resmi ketua polis Jelebu.

Rumah-rumah banglo pegawai-pegawai Inggeris yang ada serombong asap masih lagi menjadi rumah pegawai kerajaan.

Epilog 3:

Panggung wayang Ruby sudah ditutup. Bila ditutup aku tak tahu kerana aku berkelana.

Epilog 4:

Kaman Keling masih ada. Hari ini bukan hanya Keling yang tinggal di sana.

Epilog 5:

Dua buah bar yang pintu bar seperti dalam filem koboi sudah ditutup. Dua kedai dobi yang pelanggan utama dari kem tentera Gurkha dan Askar Melayu sudah tutup.

Epilog 6:

Satu hujung minggu pada tahun 1990, aku bersama Chris Kelly kami serumah dan satu kelas pergi melawat Hannah yang juga kawan satu kelas.

Hannah tinggal di wilayah kota Brighton.

Kota Brighton kota percutian di tepi laut di Selatan England.

Hannah tinggal dalam pekan kecil yang jauh dari pantai.

Bila kami sampai ke kampung Hannah, mata aku terbuka kerana di hadapan aku seolah-olah aku melihat pekan Kuala Klawang.

Di kampung Hannah ada padang kriket, ada padang bola, ada taman kanak-kanak. Dan pohon-pokok rendang.

Rumah-rumah banglonya dan rumah teras di kampung Hannah semuanya ada serombong asap.

Chris Kelly dan aku duduk main jongkang-jongkit.

Aku tidak tahu apa dalam kepala Chris Kelly tetapi aku tahu apa yang kepala aku fikirkan.

Dalam kepala aku orang Inggeris yang datang menjajah Tanah Melayu bukan hanya mengambil bijih dan emas, mereka juga membawa “little England” ke mana sahaja mereka pergi.