- Iklan -
Kolum

SPRM bukan Azam Baki

Masa yang sangat panjang diperlukan untuk memulihkan imej SPRM yang rosak di mata rakyat.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu institusi, manakala Azam Baki adalah ketua pesuruhjayanya.

Rakyat boleh hilang kepercayaan pada Azam, tapi jangan sesekali hilang kepercayaan pada SPRM.

Sama ada Azam berhak atau tidak untuk memiliki saham, ia sudah tidak penting.

Yang penting ialah integriti SPRM itu sendiri.

Apabila ada isu yang menggugat kredibiliti institusi SPRM, apa yang utama dan perlu dilakukan segera ialah mempertahankan kredibiliti institusi tersebut.

Nama baik seseorang individu penting, tapi ia tidak sepenting nama baik sesebuah institusi.

Jika individu itu terpaksa dikorbankan demi menjaga nama baik sesebuah institusi, maka ia perlu dikorbankan.

Ia adalah satu pengorbanan yang bernilai kerana menyelamatkan nama baik institusi tersebut.

Ketua pesuruhjaya datang bersilih ganti.

Semua ketua pesuruhjaya perlu menjaga nama baik institusi, melebihi nama baik dirinya bukan sebaliknya.

Ia bukan sahaja perlu bersih, tapi kelihatan bersih, dan bersihnya tahan serangan.

Jika ia bersih, tapi kelihatan kotor, ataupun kotor disebabkan serangan, maka lakukanlah apa yang patut agar institusi sentiasa kelihatan bersih.

Tampil menghadapi serangan adalah satu tindakan yang berani.

Tapi jika penjelasan itu membawa kerosakan kepada nama baik institusi, maka jalannya ialah mempertahankan nama baik institusi dengan melakukan pengorbanan yang wajar.

Jangan memaksa institusi digunakan untuk mempertahankan diri.

Ini adalah satu tindakan kurang beretika kerana ia merendahkan lagi martabat institusi tersebut.

Tindakan yang lebih beretika ialah berehat seketika sehingga ribut reda.

Tatkala berehat menunggu ribut reda, biarlah imej sendiri dibersihkan oleh agensi penyiasatan yang lain.

Itu adalah tanda sayang tertinggi seorang ketua pesuruhjaya terhadap institusi yang diketuainya.

Cinta dan jawatan itu memerlukan pengorbanan.

Melainkan ia lebih menyayangi dirinya.

Keengganan Najib Razak untuk berundur seketika ketika isu 1MDB meledak menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional, lalu tewas pada Pilihan Raya Umum-ke 14 buat kali pertama dalam sejarah.

Ambillah pengajaran itu.

Masa yang sangat panjang diperlukan untuk memulihkan imej SPRM yang rosak di mata rakyat.

Oleh itu, berbaloikah ia dikorbankan kerana seorang individu?