- Iklan -
Kolum

Kukuhkan Malaysia walaupun selepas pemulihan MA63

Negara yang berpecah-pecah dan menjadi lebih kecil tidak akan berupaya untuk menjadi hebat.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kerajaan baru akan mentadbir Sarawak dalam suatu bentuk yang bersejarah kerana negeri ini akan kembali kepada keadaan sebelum tahun 1976, dari segi pematuhannya pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Proses kembalinya Sarawak untuk menjadi wilayah, daripada sebuah negeri bermula dengan kelulusan Dewan Rakyat yang disokong oleh kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.

Ia juga termaktub dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Sabah juga kembali menjadi wilayah.

Maka Malaysia adalah merupakan persekutuan sebelas negeri dan dua wilayah.

Dengan tiga Wilayah Persekutuan.

Semua negeri-negeri terletak di Semenanjung Malaysia.

Keadaan ini dan akan datang tidak akan mengembalikan kedudukan ketika mula MA63 ditandatangani.

Ketika itu terdapat empat negara iaitu Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Walaupun Singapura, Sarawak dan Sabah merupakan wilayah tetapi mereka adalah tiga daripada 14 negeri Malaysia.

Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun 1963 dan menjadi republik merdeka.

Sarawak dan Sabah tidak lagi menjadi wilayah selepas tahun 1976.

Namun begitu, sebagai negeri, integriti dan identiti Sarawak dan Sabah kekal.

Cuma Sabah melepaskan Labuan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan bukanlah sebuah negeri.

Ia ditadbir oleh kerajaan persekutuan dan hakikatnya merupakan milik semua negeri di Malaysia.

Tetapi yang kehilangan identiti dengan tertubuhnya Malaysia ialah Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malaya.

Tanah Melayu sudah tidak menjadi entiti.

Pada awal penubuhan Malaysia, istilah yang digunakan ialah Malaysia Barat untuk merujuk kepada Tanah Melayu dan Singapura.

Malaysia Timur adalah Sarawak dan Sabah.

Tetapi ia merupakan rujukan geografi, bukan politik.

Istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur tidak lagi digunakan.

Ia digantikan dengan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Walaupun Sarawak dan Sabah adalah entiti politik tetapi Semenanjung Malaysia tidak.

Istilah Semenanjung Malaysia mempunyai asal usul daripada istilah Inggeris, Malay Peninsula.

Tetapi istilah ini merangkumi kawasan sehingga Segenting Kra di Thailand.

Dalam bahasa Melayu, ia kemudian menjadi Semenanjung Tanah Melayu.

Kolonial Inggeris menamakannya Malaya yang menjadi istilah rasmi antarabangsa.

Malaya atau secara tepatnya, British Malaya adalah juga meliputi Singapura.

Ia sudah menjadi entiti politik.

Tetapi orang Melayu tidak suka istilah Malaya, mereka menamakannya Tanah Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua, British memisahkan Singapura daripada Malaya.

Dari situ, Malaya menjadi Malayan Union dan akhirnya merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Penubuhan Malaysia boleh dilihat dari dua segi.

Pertama, gabungan empat entiti politik, atau peluasan Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia.

Tetapi MA63 boleh dilihat dari sudut kedua-duanya sekali.

Ia merupakan peluasan Malaya, tetapi pada waktu sama adalah penggabungan empat wilayah.

Maka kesannya ialah hilangnya entiti politik Tanah Melayu.

Tidak ada negara Malaya.

Apa yang ada ialah 11 negeri yang bergabung dengan tiga wilayah untuk menjadi Malaysia.

Tetapi Malaysia menggunakan institusi dan lambang-lambang Malaya seperti ketua negara, agama rasmi, bahasa kebangsaan, ibu kota, bendera kebangsaan, lagu kebangsaan, jata negara dan bunga kebangsaan.

Pada tahun 1976, atas sebab-sebab tertentu yang juga menarik untuk diketahui, Sarawak dan Sabah menjadi negeri, dan bukan lagi wilayah.

Pindaan itu tidak mengubah kedudukan 11 negeri lain.

Begitu juga kini apabila MA63 dipulihkan, entiti politik Tanah Melayu tetap tidak ada.

Ia sudah menjadi sejarah.

Terpulang kepada generasi akan datang untuk melakukan sebarang perubahan jika mereka mahu.

Tidak ada sesiapa yang mahukan supaya identiti Tanah Melayu atau Malaya dipulihkan sebagai entiti dalam Malaysia.

Walaupun sentimen perkauman meningkat di Semenanjung Malaysia sejak Barisan Nasional (BN) kalah dengan tuntutan supaya ditubuhkan “kerajaan Melayu-Islam”, tetapi ia tidak diterjemahkan kepada “nasionalisme Malaya”.

Negara dibentuk atau dileraikan menurut tuntutan politik semasa yang dikehendaki oleh generasi berkenaan.

Generasi 60-an menghadapi ancaman komunis yang membawa kepada penubuhan Malaysia.

Pada tahun 1970-an, komunisme belum ditumpaskan sepenuhnya tetapi dapat dikawal.

Ketika itu, tumpuan adalah pada pembangunan.

Keadaan itu membawa kepada perubahan pelaksanaan MA63 yang dilakukan pada tahun 1976.

Kebanyakan tokoh-tokoh politik generasi 1960-an dan 1970-an kini sudah tiada.

Generasi sekarang mewarisi apa yang dilakukan oleh orang terdahulu.

Ada yang bermanfaat dan ada yang menjadi beban sejarah.

Generasi sekarang tidak terhutang budi kepada generasi dahulu, atau bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan, walaupun sesama kaum atau sesama parti.

Setiap generasi perlu menyelesaikan masalah yang berada di depan mata mereka.

Maka terpulang pada generasi hari ini dan akan datang untuk mencorakkan apakah bentuk Malaysia selepas pelaksanaan MA63 dikembalikan pada bentuk sebelum 1976.

Pada masa ini komunis sudah tidak menjadi ancaman.

Usaha pembangunan dari tahun 1976 hingga sekarang wajar dinilai semula di Sarawak dan Sabah.

Banyak pihak rasa tidak puas hati terhadap pembangunan yang tidak berimbang dengan kemiskinan masih berleluasa.

Rasa tidak puas hati ini diserlahkan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Tetapi PRN ini juga menyerlahkan ada gerakan “nasionalisme Sarawak yang mahu wilayah itu keluar dari Malaysia.

Ia merupakan suara sebahagian generasi muda masa kini di situ.

Maka masa depan Malaysia boleh jadi lebih kukuh, atau longgar dengan kesemuanya bergantung pada generasi muda ini.

Bagi kebanyakan rakyat negara ini tentulah mereka mengharapkan Malaysia yang lebih kukuh supaya sebuah negara maju, makmur dan adil dapat dibentuk.

Negara yang berpecah-pecah dan menjadi lebih kecil tidak akan berupaya untuk menjadi hebat.

Pasaran yang kecil dengan pengaruh politik terhad membuat warga negaranya tersudut dalam pentas dunia.

Tetapi ramai kalangan di Malaysia yang mengambil contoh Singapura dan Brunei sebagai negara kecil yang berjaya.

Malah ada yang menyatakan mungkin Sarawak boleh jadi maju seperti Singapura dan Brunei jika tidak “terikat dengan Malaya.”

Perkara spekulatif seperti itu boleh dibahaskan tanpa mencapai kesimpulan.

Singapura dan Brunei adalah sebahagian daripada gagasan asal Malaysia.

Tentulah juga suatu yang spekulatif untuk menggambarkan apa yang boleh berlaku pada mereka jika gagasan asal Malaysia itu terlaksana.

Tetapi sejarah berkembang sebegitu rupa yang mana sesuatu keadaan terbentuk akibat banyak faktor.

Bagi penulis, Malaysia mampu menjadi hebat jika ia lebih besar.

Andai kata Singapura dan Brunei berada dalam Malaysia, kesan dan sumbangan mereka akan mendatangkan lebih banyak kebaikan.

Tetapi perkara itu sudah berlalu dan apa yang penting ialah keadaan sekarang yang perlu dihadapi oleh generasi hari ini.

Untuk itu Malaysia yang ada wajar dipertahankan untuk kebaikan semua rakyat.

Hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah patut dikukuhkan pada pelbagai peringkat, baik kerajaan mahupun rakyat walaupun MA63 kembali pada keadaan pra-1976.

Masa depan pula terletak kepada penyatuan Asean.

Biar Singapura dan Brunei bekerjasama dengan Malaysia dalam ruang lingkup pertubuhan serantau yang lebih erat.

Buat masa ini terdapat cabaran yang belum dapat diatasi.

Tetapi tugas itu perlu diserahkan saja pada generasi akan datang.