- Iklan -
Kolum

Sepatutnya parti memperjuangkan kemerdekaan Sarawak tidak wujud

Jika kesedaran Bangsa Malaysia ini kuat, maka tidak timbullah sentimen kemerdekaan Sarawak.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, parti utama yang memperjuangkan kemerdekaan Sarawak daripada Malaysia ialah Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Parti yang meletakkan 73 calon itu mempunyai matlamat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Namun parti-parti lain, iaitu Parti Aspirasi Rakyat Sarawak dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) turut bercakap mengenai kemerdekaan Sarawak.

Sementara parti pembangkang utama, Parti Sarawak Bersatu (PSB) turut menggunakan slogan “Sarawak for the Sarawakians” (Sarawak untuk orang Sarawak).

Umumnya semua parti yang bertanding, dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) ke parti-parti Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP, PKR dan Amanah mendokong pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Adakah perjuangan untuk kemerdekaan itu merupakan gimik untuk memancing undi dalam kempen PRN atau sememangnya mereka serius?

Pendirian itu boleh dijadikan bahan kempen kerana terdapat kalangan rakyat Sarawak tertarik dengan cadangan itu.

Pun begitu, melihat gayanya mereka serius dengan perkara itu.

Malah ada calon PBK menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk kemerdekaan melalui proses demokrasi.

Adanya PBK dan parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan Sarawak menunjukkan terdapat kerapuhan dalam Bangsa Malaysia.

Maknanya proses pembinaan bangsa sejak penubuhan negara 58 tahun tidak berjaya sepenuhnya.

Umumnya sama ada perjuangan pelaksanaan MA63, slogan “Sarawak for Sarawakians” dan kemerdekaan Sarawak adalah berakar pada rasa tidak puas hati sebahagian rakyat negeri itu terhadap Semenanjung Malaysia yang mereka tetap merujukkannya sebagai Malaya.

Ia pula berkaitan dengan penentangan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), di peringkat persekutuan dan negeri.

Di peringkat negeri, sasarannya adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan sekutunya dalam GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

GPS yang asalnya BN Sarawak mempunyai kedudukan kuat dan dijangka menang mudah dalam PRN ini.

Tetapi buat pertama kali dalam sejarah, parti penyandang ini berdepan dengan tentangan dari banyak calon dan parti yang dapat menyebarkan maklumatnya melalui media maya.

Pun begitu, mesej mereka tentulah tidak sampai ke banyak tempat di Sarawak.

Sebaliknya jentera GPS lebih kuat dan mapan untuk menangkis cabaran pembangkang.

PBK ditubuhkan pada tahun 2013 di Bintulu dengan kelemahan organisasi dan kekurangan jentera.

Sementara sebahagian pemimpin dan calonnya pula tidak berpengalaman, iaitu jika dibandingkan dengan PSB, DAP dan PKR.

Tetapi ia menarik minat orang muda kerana mesej kemerdekaannya.

Adalah lebih mudah untuk menyalahkan semua masalah negeri kepada pihak luar, di sini “luar” bermaksud “Malaya”.

Dengan memainkan sentimen anti-Malaya, yang boleh muncul dalam bentuk kebencian dan “xenofobia” wilayah, maka segala masalah politik dan pembangunan tidak dilihat secara wajar.

Sedangkan cabaran yang dihadapi oleh Sarawak dalam bidang politik, ekonomi dan sosial, malah geopolitik adalah kompleks.

Ini tidak bererti bahawa kerajaan persekutuan melayan Sarawak dengan baik selama ini.

Ia juga tidak bererti BN Sarawak dan PBB mentadbir negeri itu dengan cemerlang.

Terdapat banyak isu termasuk soal MA63 yang perlu diselesaikan.

DAP dan kemudiannya PKR sejak dari awal lagi bercakap mengenai isu-isu berkaitan dengan perkara ini.

Sejak PRN lalu, BN Sarawak, dan kemudiannya GPS turut berusaha supaya Kuching memperoleh layanan baik dari Putrajaya.

Tetapi GPS dan PH teguh mempertahankan integriti wilayah nasional Malaysia dan menolak sebarang cakap-cakap kemerdekaan negeri itu.

Adanya media maya menjadikan suara kemerdekaan Sarawak itu dirasakan.

Tetapi pada waktu yang sama, suasana lebih terbuka sekarang menyebabkan perjuangan mereka bebas disuarakan dan diartikulasikan.

Soal memisahkan Sarawak daripada Malaysia bukan saja sensitif tetapi ia juga boleh dianggap sebagai penderhakaan kepada integriti negara.

Kalau dahulu, sebarang suara atau aktiviti yang menjurus ke arah itu pasti ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.

Maka sebarang parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan Sarawak seperti PBK tidak akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Penubuhan parti seumpama itu tentu dilihat bercanggah dengan semangat Perlembagaan yang mendokong integriti dan integrasi nasional.

Pada masa adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu, mereka mungkin boleh dikenakan tindakan.

Di dunia, dapat dilihat bahawa sebarang usaha pemisahan dan kemerdekaan wilayah akan ditentang oleh kerajaan pusat mereka.

Ia berlaku sama ada di Iindonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, India, China, Rusia atau Turki.

Malah di negara Barat yang demokratik termasuk Britain, Sepanyol dan Kanada akan berusaha sungguh-sungguh untuk menghalang pemisahan.

Walaupun Czech dan Slovakia berpisah dengan baik tetapi pemisahan Kosovo daripada Serbia berlaku dengan peperangan.

Suasana keterbukaan yang membolehkan gerakan kemerdekaan Sarawak mula berlaku selepas tahun 2008 apabila didapati kerajaan BN di pusat berada dalam keadaan lemah dengan kehilangan majoriti dua pertiga.

Ia bertambah longgar apabila Kuching memperoleh lebih banyak autonomi ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya tahun 2018.

Pada masa itu, BN Sarawak keluar dan menubuhkan GPS yang kini mempunyai banyak kebebasan berbanding dahulu, walaupun ia turut menyertai kerajaan BN.

Sungguhpun BN menyokong GPS dalam PRN ini, parti-parti nasional yang bertanding turut mengikat Sarawak dengan Malaysia ialah komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah.

Namun, sebagai demokrasi pelbagai parti, PBK dan parti kemerdekaan yang lain wajar bebas bergerak.

Seperti mana Parti Nasional Scotland (SNP) di United Kingdom yang memperjuangkan kemerdekaan wilayahnya bebas bergerak.

Di kalangan parti PH itu, DAP adalah parti paling awal merentas semua wilayah nasional.

Ia bukan saja berada di Semenanjung Malaysia tetapi juga Sarawak dan Sabah.

Iaitu sebelum Umno dibawa masuk ke Sabah. Dari awal lagi DAP memperjuangkan konsep “Bangsa Malaysia”.

DAP ditubuhkan selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.

Ia ditubuhkan oleh bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), sebuah parti Singapura yang bersama Perikatan, Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah menjadi parti pengasas serta perjuang penubuhan Malaysia.

Apa yang disebut sebagai Bangsa Malaysia itu dikira wujud dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang pada awalnya turut disertai oleh Singapura.

Dengan bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Malaysia, identiti bangsa adalah merangkumi semua kaum di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Asas kepada Bangsa Malaysia ini pula seperti yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman ialah konsep Bumiputera yang diwujudkan bagi merangkumi orang Melayu dan kaum peribumi Sarawak dan Sabah.

Di sinilah peranan besar parti PBB yang asalnya merupakan gabungan Parti Bumiputera Sarawak dan Parti Pesaka Anak Sarawak.

Kerajaan persekutuan pernah menekankan dua gagasan bagi mengukuhkan identiti Bangsa Malaysia ini, iaitu perpaduan kaum yang lebih ditujukan kepada muhibah Melayu, Cina dan India di Semenanjung dan integrasi nasional, iaitu merapatkan hubungan Sarawak, Sabah dengan Semenanjung.

Tetapi di Semenanjung, banyak orang Melayu tidak suka dengan konsep Bangsa Malaysia.

Mereka berasakan konsep itu mengancam kedudukan orang Melayu.

Selain itu, mereka juga tidak suka istilah Bahasa Malaysia dan mahu ia dipanggil Bahasa Melayu saja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mereka mahu kekalkan identiti Melayu dan bukannya Malaysia.

Melayu pula dikaitkan dengan Islam dan sukar menerima Bumiputera bukan Islam.

Akibatnya pembinaan Bangsa Malaysia tidak dapat dilakukan dengan jitu.

Jika kesedaran Bangsa Malaysia ini kuat, maka tidak timbullah sentimen kemerdekaan Sarawak.

Malah tidak muncul parti seperti PBK.

Maka perhatian PRN akan lebih berfokus pada pembangunan, integriti dan alam sekitar, serta tidak terpaling pada soal kemerdekaan.

Ini kerana isu-isu berhubung negeri dan wilayah cukup banyak.