- Iklan -
Kolum

Pertembungan tiga penjuru di Melaka jadi uji kaji untuk PRU15

Adalah menjadi sejarah juga, apabila inilah pertama kali PAS bertanding tidak menggunakan lambang sendiri sejak 1974, iaitu tahun ia keluar dari BN.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Melaka sememangnya negeri bersejarah. Tetapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini turut bersejarah.

Ternyata apa yang dispekulasi sejak tahun lalu berlaku juga.

Iaitu pertandingan tiga penjuru antara gabungan; Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang ketiga-tiganya meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Adalah menjadi sejarah juga, apabila inilah pertama kali PAS bertanding tidak menggunakan lambang sendiri sejak 1974, iaitu tahun ia keluar dari BN.

Ini juga pertama kali MCA bertanding menentang Gerakan di PRN sejak 1974, iaitu tahun kedua-duanya menyertai BN.

PAS, MCA dan Gerakan menganggotai BN yang diketuai oleh Umno ketika penubuhannya.

MCA sebelum itu adalah anggota Perikatan bersama Umno dan MIC.

BN berasaskan pada kerajaan campuran PAS-Perikatan dan Gerakan-Perikatan.

Pada pilihan raya 1974, ia seolah-olah pertandingan satu penjuru.

Sebelum meraih kemenangan “tanah runtuh” (landside), BN menang tanpa bertanding di banyak kawasan termasuk di Melaka.

Pembangkang utama di semenanjung, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya seperti tidak wujud.

Dalam pilihan raya negeri di Melaka, DAP memenangi empat kerusi dan BN meraih 20 kerusi.

Termasuk satu kawasan yang dimenangi PAS.

Namun pada pilihan raya tahun 1978, apabila PAS kembali menjadi pembangkang ia gagal memenangi sebarang kerusi.

Kawasannya diambil alih Umno.

Melaka menjadi kubu BN walaupun DAP sentiasa menang di empat kawasan bandar itu,

Apa yang boleh dikatakan pertandingan dua penjuru sebenar ialah apabila cabaran pihak pembangkang adalah kuat dengan berlaku pertembungan satu lawan satu di kebanyakan kawasan tanpa adanya menang tanpa bertanding.

Keadaan ini hanya mula berlaku pada tahun 1990 yang mana BN dicabar gabungan pembangkang.

Sehingga tahun 2013, PAS sentiasa bersama gabungan pembangkang itu.

Tetapi tentunya BN sentiasa menang.

PRU14 adalah unik, dan bersejarah.

Kali ini BN kalah.

PAS pula tidak bersama gabungan pembangkang, PH.

PAS juga tidak padu seperti sebelumnya.

Pecahannya, Amanah bersama PH.

Umumnya, ia merupakan pertandingan tiga penjuru: BN-PH-PAS.

Ini kerana PAS meletakkan calon paling ramai dalam sejarahnya.

Tetapi dari segi praktikalnya, kehadiran PAS itu memecah undi pembangkang.

Jadi PRU14 boleh dilihat sebagai pertandingan dua penjuru antara BN dan PH, dengan PAS membantu BN walaupun masih sebagai parti pembangkang.

Apabila BN kalah, adalah jelas bahawa ia boleh menang jika undi PAS bergabung dengan Umno.

Maka strateginya bagi menghadapi PRU15 adalah pertandingan dua penjuru antara PH dengan BN-PAS.

Gagasan Perpaduan Ummah ini menghasilkan Piagam Muafakat Nasional iaitu kerjasama Umno-PAS.

Maka sejak tahun 2018, digerakkan pelbagai program bersama.

Gagasan ini berkesan apabila rentetan Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat dimenangi BN.

PRK Tanjung Piai juga menunjukkan gagasan Muafakat Nasional merangkul kaum lain apabila PAS bersedia menyokong MCA.

Senario ini berubah selepas berlakunya Langkah Sheraton, tumbangnya kerajaan PH dan lahirnya PN.

Pada mulanya nama gabungan baru yang dicadangkan ialah Pakatan Nasional yang boleh diertikan sebagai gabungan bekas PH dengan BN.

Tetapi kemudian perkataan “pakatan” itu digantikan dengan “perikatan”.

Ia mungkin kerana hendak menghilangkan kaitan dengan PH.

Lagipun perkataan “perikatan” boleh dilihat sebagai meraikan Perikatan, gabungan parti kerajaan pertama Tanah Melayu.

Ironinya, selepas PRU14, BN telah sebenarnya berubah kembali menjadi Perikatan yang asal itu.

Ini kerana ia dianggotai oleh tiga parti iaitu Umno, MCA dan MiC seperti Perikatan tahun 1955.

Maka tidak sepatutnya pun dipanggil BN lagi.

Ketika penubuhannya pada tahun 1974, ia dianggotai oleh Umno, MCA, MIC, PAS, Gerakan dan PPP di semenanjung, PBB dan SUPP di Sarawak dan Usno di Sabah.

Teras pada BN ialah Umno, PAS, Gerakan dan PPP untuk menunjukkan ia merupakan gabungan yang diperluaskan daripada Perikatan.

Walaupun kemudian PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1978, tetapi identitinya tetap utuh.

Namun apabila Gerakan, PPP dan parti-parti Sarawak-Sabah keluar BN pada tahun 2018, ia bermakna BN sudah dikira tiada.

Dengan hanya ada Umno, MCA dan MIC, pada hakikatnya BN sudah menjadi Perikatan semula.

Maka ketika PN mula dicadangkan, ia seperti mahu meliputi semua parti yang menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan menolak PH.

Dalam cadangan PN yang asal, ia meliputi Bersatu, PAS, Umno, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti Sarawak-Sabah.

PN seolah-olah mahu menggantikan BN yang asal.

Dalam senario ini, walaupun PAS dapat terus bekerjasama dengan Umno, ia dibuat dalam konteks dalam BN.

Maknanya Muafakat Nasional tetap wujud dalam PN.

Keadaan itu boleh berlaku jika Umno boleh terima kepimpinan Bersatu.

Tetapi itu tidak mungkin.

Umno adalah parti jauh lebih besar daripada Bersatu.

Ia menolak dimasukkan ke dalam PN.

Begitu juga, parti-parti Sarawak tidak mahu menyertai PN.

Mereka hanya menyokong kerajaan PN.

Maka akhirnya PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan beberapa parti kecil lain.

Maka tentulah persoalan timbul terhadap gagasan Muafakat Nasional.

PAS tetap mahu bekerjasama dengan Umno.

Tetapi bagi Umno, PAS kena buat pilihan sama ada mahu bekerja sama dengan mereka atau Bersatu.

Semakin dekat dengan PRU15, timbul pula masalah hubungan PAS dengan Umno.

Masalahnya terletak pada soal pembahagian kawasan.

Gagasan Muafakat Nasional sebenarnya tidak praktikal.

Ia boleh dilaksanakan di Pantai Barat, tidak di Pantai Timur, khususnya Terengganu.

Apabila kerajaan PN tumbang dan Umno menerajui pemerintahan, maka perbezaan PN daripada BN dimantapkan.

PAS memilih untuk bersama PN walaupun mendokong kerajaan BN.

Ia perkara yang praktikal.

Sebagai parti kecil, pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu adalah mudah.

Jadi identiti PN dimantapkan.

PAS menguatkan komponen Melayu dalam PN.

Gerakan pula mewakili bukan Melayu.

Maka Bersatu, PAS dan Gerakan boleh berdepan dengan Umno, MCA dan MIC.

Maka Muafakat Nasional boleh dilupakan.

Pertandingan tiga penjuru BN-PN-PH dispekulasikan untuk PRU15.

Maka PRN Melaka menjadi medan untuk menguji PN.

Identiti PH sudah mantap apabila ia kembali menjadi tiga serangkai PKR, DAP dan Amanah.

Bezanya ialah di Melaka, calon ketua menteri PH adalah dari Amanah.

Kalau di peringkat pusat tentulah dari PKR.

Ketiga-tiganya ada peluang menerajui Melaka walaupun setiap kawasan mempunyai perhitungan masing-masing siapakah yang bakal dipilih pengundi sebagai Adun mereka.

Tetapi secara legasi, Melaka adalah negeri Umno sejak merdeka dan kawasan bandarnya dimiliki DAP.

Sebelum ada DAP, kawasan bandar diwakili oleh MCA.

Tetapi dalam sejarah ketika adanya pilihan raya kerajaan tempatan, Front Sosialis pernah memenanginya.

Masa itu DAP belum wujud.

PAS walaupun sudah lama wujud di Melaka tetapi tidak berupaya bersaing dengan Umno.

Tetapi kali ini, kekuatan Umno di Melaka sudah terjejas.

Generasi baru rakyat sedia menyokong PKR, PAS, Amanah dan Bersatu.

Tetapi kini penentang Umno itu berpecah antara PN dengan PH.

PRN Melaka ini mungkin menunjukkan bahawa PN memecahkan undi PH yang boleh mengembalikan BN.

Bersatu-PAS tidak kuat untuk melawan Umno.

PH pula kini tidak sekuat seperti mana PRU14.

Puncanya ialah Bersatu sudah tidak bersama PH dan PKR pula sudah terpecah.

Tidak ada golongan baru yang menyokong PH untuk menggantikan kumpulan yang hilang.

Sementara pecahan Betsatu seperti Pejuang dan Muda pula tidak menyertai PH.

Dalam PKR pula terdapat tanda-tanda keretakan yang meyusahkan PH.

Tetapi keretakan berlaku juga dalam Bersatu dan Umno.

Rasa tidak puas hati itu sudah menjadi lumrah dalam parti politik masa kini.

Kemungkinannya ketiga-tiga gabungan ini tidak akan dapat kerusi menubuhkan kerajaan negeri.

Jika itu yang berlaku, adalah mudah bagi BN dan PN bekerjasama berbanding dengan PH.

Jika itu berlaku, maka ia merupakan petanda terhadap apa yang berlaku pada PRU15 akan datang.