Saturday, October 23, 2021

Makna di sebalik terjejasnya Facebook

Other News

Lambat laun orang akan lupa perkhidmatan Facebook pernah terhenti selama enam jam minggu lalu, lebih-lebih lagi apabila keadaan itu tidak berulang pada masa akan datang.

Ia akan dianggap sebagai suatu perkara kecil dan pengguna Facebook tidak perlu ambil perhatian.

Lagipun ketika ia berlaku pada Isnin malam itu, ramai pengguna Facebook di Malaysia tidak merasakan kesannya.

Ini kerana ia berlaku pada sebelah malam dengan ramai penggunanya tidak berada dalam talian.

Mereka yang gagal mengaksesnya pula beralih ke pelantar lain seperti Twitter.

Tetapi mereka yang perlu mengakses WhatsApp akan merasakan kehilangannya kerana perkhidmatan lebih penting bagi penggunanya di Malaysia berbanding Facebook.

Tetapi di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), ketika mana gangguan itu berlaku pada waktu siang hari bekerja, kesannya amat besar bukan sahaja kepada pengguna-pengguna yang menjalankan perniagaannya melalui platform itu tetapi juga terhadap saham Facebook.

Pihak Facebook meminta maaf dengan menyatakan mereka sedar ramai orang bergantung pada platform itu untuk perniagaan dan kehidupan sosial mereka.

Apa yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal dan ia mengambil masa enam jam untuk mengenal pasti masalah dan mengatasinya.

Namun, apa yang berlaku itu menimbulkan persoalan bukan saja kemungkinan ia akan berulang tetapi juga berasaskan bahawa akan sampai masanya Facebook ini akan menghentikan perkhidmatan atas apa jua pun faktor.

Saya sendiri juga tidak terkesan dengan peristiwa itu kerana pada malam berkenaan, saya tiada keperluan mengakses Facebook atau WhatsApp.

Tetapi saya tergolong kepada generasi bahan cetak, iaitu orang yang membesar dan menghabiskan usia dewasa dengan membaca akhbar, majalah dan buku.

Penggunaan meluas media sosial hanya berlaku di tahun-tahun hampir persaraan.

Maka tidak hairanlah reaksi yang banyak terhadap gangguan Facebook itu datangnya dari generasi lebih muda, iaitu golongan yang masih aktif dalam kerjaya mereka.

Pun begitu, dalam minggu lalu, ada satu hantaran dalam Facebook yang menyebut bahawa ia adalah platform generasi lama.

Generasi muda tidak menggunakan Facebook, mereka lebih cenderung kepada Instagram dan Tiktok.

Sebabnya ialah mereka tidak gemar untuk membaca perkataan.

Mereka hanya selesa menatap imej, grafik dan video.

Sesiapa yang mahu berkomunikasi dengan orang muda, mereka perlu menggunakan Instagram dan Tiktok, serta meninggalkan Facebook dan Twitter.

Jawapan saya ialah perdebatan antara golongan membaca dan mereka yang lebih suka gambar sudah berlaku lama dahulu, sebelum ada internet lagi.

Akan sentiasa ada golongan yang suka membaca, walaupun bilangan mereka kecil.

Sementara sebahagian besar masyarakat pula sememangnya tidak suka membaca dan lebih selesa dengan menatap gambar.

Perdebatan seringkali berlaku di pejabat editorial akhbar untuk menempatkan banyak mana teks berbanding gambar.

Pada zaman internet ini, masih ada juga generasi yang berminat untuk membaca teks panjang.

Mereka inilah yang terus membaca karangan panjang atau long form di internet dan bersedia untuk terus membaca teks dalam Facebook.

Bagi mereka yang lebih suka pada grafik dan video, tentulah kecenderungannya adalah pada Instagram, YouTube dan Tiktok.

Bagi penduduk Malaysia, gangguan perkhidmatan kemudahan asas adalah perkara biasa dilalui, sama ada air, elektrik, telefon dan internet.

Maka jika berlaku gangguan perkhidmatan Facebook, Instagram dan WhatsApp, ia bukanlah suatu yang menghairankan.

Namun, dalam pengalaman hidup saya, tidak pernah berlaku gangguan media massa.

Selepas Perang Dunia Kedua, di Malaysia, tidak pernah berlaku penyiaran radio terhenti selama enam jam.

Begitu juga dengan televisyen.

Akhbar arus perdana juga tidak pernah berhenti diterbitkan atas sebab teknikal.

Ia tidak diterbitkan pada hari-hari tertentu atas pilihan sendiri,

Mengapa saya bandingkan Facebook dan WhatsApp dengan radio, televisyen dan akhbar?

Ini kerana kesemuanya mewakili dua cara komunikasi massa yang berbeza pada zaman berlainan.

Facebook, WhatsApp, Twitter dan Instagram merupakan media sosial yang operasinya berbeza daripada media massa konvensional.

Sekarang ini, sejak beberapa tahun lalu, media sosial menjadi saluran maklumat, mengatasi media massa konvensional yang zamannya sudah berlalu.

Radio, televisyen dan akhbar masih ada tetapi ia bukan saluran utama.

Malah mereka bersama dengan sumber maklumat lain menjadi pembekal kandungan untuk diakses melalui media sosial.

Pada masa sekarang terdapat amat banyak maklumat yang merupakan bahan kandungan untuk diakses dan diguna oleh orang ramai.

Tetapi setiap orang pula mempunyai masa, tenaga dan minat yang amat terhad untuknya.

Kalau dulu, seseorang mungkin mendengar satu stesen radio, dua saluran televisyen dan membaca satu penerbitan akhbar.

Itupun ia hanya memilih berita atau rencana untuk dibaca.

Kini sebahagian masyarakat mungkin mengikuti satu atau beberapa platform media sosial, umpamanya Facebook dan kumpulan WhatsApp.

Walaupun terdapat kandungan yang berlegar dan tular tetapi hanya sebahagian saja yang masuk ke dalam kumpulan WhatsApp masing-masing.

Apa yang masuk itu pula ditentukan oleh ahli kelompok pengguna masing-masing.

Bahan di garis masa mereka pula ditentukan oleh algoritma serta menerima tapisan pula oleh pemantau Facebook.

Dalam pada itu, maklumat yang diterima pula adalah dalam pelbagai jenis.

Daripada pengumuman rasmi sampailah kepada berita palsu.

Ia pula berbentuk sama ada teks, imej, audio atau video YouTube dan Tiktok.

Kandungan pula tetap perlu dikirim oleh pelbagai jenis sumber.

Daripada portal berita hinggalah kepada organisasi berita tradisional seperti radio, televisyen dan akhbar yang turut hadir menggunakan media sosial dan internet.

Maka cebisan daripada lautan maklumat ini membentuk perspektif dan sudut pandangan setiap orang di dunia.

Pihak yang mempunyai peranan untuk menyampaikan maklumat tentu menghadapi cabaran besar dalam usaha membentuk minda kolektif berbanding zaman sebelum adanya media sosial.

Bagi pihak pengguna pula, minda mereka lemas dalam lautan maklumat.

Apa yang dicerap oleh minda setiap orang adalah hanya menurut kebarangkalian bertembungnya dengan maklumat berkenaan.

Cuba bayangkan seorang yang bergantung maklumatnya pada WhatsApp dan Facebook saja.

Maka dia akan hanya mengetahui apa yang kawan-kawannya dalam kumpulan WhatsApp dan Facebook kongsikan.

Tentulah dia memilih kawan-kawan yang mempunyai pandangan lebih kurang dengannya.

Katakan berlaku gangguan perkhidmatan Facebook dan WhatsApp seperti yang terjadi minggu lalu.

Maka dengan serta-merta sebarang maklumat terhenti daripada sampai padanya.

Maka dia perlu cari saluran lain.

Andai kata suatu hari perkhidmatan WhatsApp dan Facebook dihentikan terus.

Perkara ini ada kemungkinan akan terjadi.

Antara sebabnya ialah mungkin kerana ada platform baru yang lebih menarik bagi generasi akan datang.

Malah mungkin media sosial itu sendiri diganti dengan model komunikasi yang berbeza dan belum dapat dijangka pada waktu ini.

Akhirnya, pertimbangan sewajarnya adalah terpulang pada setiap individu.

Jangka hayat manusia adalah sekitar 70 hingga 90 tahun.

Mungkin akan disedari hidup ini tidak wajar dibazirkan dengan maklumat yang dia sendiri berasa tidak relevan dan tidak menambah nilai pada jiwanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles