- Iklan -
Kolum

Hidup perlu diteruskan dalam apa jua keadaan

Seseorang hanya boleh memandang pada tahun-tahun sebelum 2019 dengan penuh nostalgia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ketika menyambut Hari Malaysia pada Khamis, ratusan rakyat negara ini berduyun-duyun pergi melancong ke Langkawi.

Penerbangannya penuh dan pulau itu menjadi meriah kerana kehadiran mereka.

Para pelancong itu sanggup melalui ujian saringan.

Dari Kuala Lumpur, kesemua mereka didapati negatif kecuali seorang di KLIA.

Keluarga orang yang positif itu dikelaskan sebagai kontak rapat dan mereka terpaksa membatalkan perjalanan.

Kejayaan dalam membuka Langkawi sebagai gelembung pelancongan akan merintis kepada pembukaan tempat pelancongan lain iaitu di Sarawak dan Sabah.

Pada Ahad minggu lalu, kawasan perkelahan di Selangor seperti di Ulu Yam dan Hulu Langat penuh dengan orang ramai.

Begitu juga dengan pusat-pusat membeli belah di sekitar Lembah Klang.

Nampaknya, orang ramai sudah bersedia untuk hidup dalam suasana Covid-19 masih menjadi ancaman.

Dengan angka vaksinasi yang sudah tinggi, maka keadaan dianggap terkawal dan hidup perlu diteruskan.

Kerajaan pula menyatakan bahawa mereka tidak akan “mengurung” rakyat lagi.

Malaysia sedang beralih dari pandemik ke endemik.

Tidak semua keadaan tidak menyenangkan dapat dihapuskan sepenuhnya.

Covid-19 hanya dapat dikawal dan kemudian, orang ramai perlu meneruskan hidup dengan keadaan berhati-hati dan berjaga-jaga.

Sikap menghadapi kehidupan dengan menerima keadaan sedia ada setelah gagal mengubah sepenuhnya bukan saja berlaku dalam hal kesihatan seperti pandemik ini tetapi juga terhadap politik.

Konflik politik yang berterusan tidak akan membawa ke mana-mana.

Pada satu peringkat apabila dirasakan bahawa pihak musuh tidak dapat diatasi sepenuhnya, maka sikap menerima keadaaan sedia ada merupakan pendirian yang lebih baik untuk meneruskan kehidupan demi kepentingan semua orang.

Seperti mana dengan Covid-19 ini, negara bukanlah mengalah pada virus itu apabila beralih dari pandemik ke endemik tetapi mengawalnya supaya kehidupan dapat diteruskan.

Begitu jugalah sikap pembangkang apabila menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan supaya dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan negara begitu lemah akibat Covid-19.

Negara mesti dipulihkan.

Untuk itu, ia memerlukan kerajaan stabil.

Dalam kehidupan, banyak perkara yang tidak boleh atau amat sukar diubah.

Dalam keadaan itu, cara terbaik ialah penerimaan dan mencari ruang-ruang bagi membolehkan kehidupan diteruskan.

Pakatan Harapan (PH) tidak akan dapat menjadi kerajaan semula dalam penggal ini.

Sokongan untuknya tidak cukup setelah sebahagian ahli Parlimen melompat keluar tahun lalu.

Sementara kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) pula akan sentiasa tidak stabil kerana parti-parti mereka juga tidak cukup ahli Parlimen.

Tetapi kehidupan perlu diteruskan kerana perbalahan memanjang hanya memburukkan negara dan rakyat.

Dalam sejarah politik Malaysia, sikap menerima keadaan sedia ada dan mencari jalan bagi meneruskan kehidupan sentiasa dapat dilihat berlaku.

Perkara ini juga berkait dengan realiti Malaysia itu sendiri, serta bagaimana Hari Malaysia ini disambut.

Pada masa ini, umum mengetahui bahawa terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan warga Sarawak dan Sabah terhadap Semenanjung Malaysia.

Mereka berasakan tidak diberi layanan sewajarnya oleh kerajaan persekutuan.

Perjanjian Malaysia 1963 juga diungkit.

Malaysia dianggap mereka sebagai Malaya-centric atau berorientasikan Semenanjung.

Hinggakan terdapat cakap-cakap ada segelintir mahukan pemerintahan sendiri atau “self-governing”, malah pemisahan.

Sikap sebahagian warga Sarawak dan Sabah ini pula menimbulkan rasa tidak senang pada sebahagian warga Semenanjung yang mengikut perkembangan ini.

Apa yang berlaku bukan salah mereka.

Semua itu adalah hasil dari perbuatan pemimpin-pemimpin terdahulu, bukan saja dari kalangan ahli politik Semenanjung tetapi juga pemimpin Sarawak dan Sabah.

Namun begitu, keluhan mereka perlu diambil kira juga dan kehidupan perlu diteruskan.

Maka sejak tahun 2006, Hari Malaysia disambut di seluruh negara seperti mana yang sewajarnya.

Isu-isu mengenai MA63 dirundingkan.

Sarawak dan Sabah dianggap sebagai wilayah, dan bukannya negeri.

Mungkin akhirnya nanti Hari Malaysia merupakan Hari Kebangsaan utama dan 31 Ogos hanya disambut di Semenanjung.

Sepanjang sejarah sememangnya begitu.

Kehidupan mesti diteruskan dengan segala cabaran dihadapi secara kompromi dan pengubahsuaian.

Masa pembentukan Malaysia, keadaan itu juga berlaku.

Tunku Abdul Rahman pada awalnya tidak berkenan terhadap gagasan itu yang bermula dengan cadangan supaya Singapura digabungkan dengan Malaya.

Tetapi lebih awal lagi iaitu ketika Tanah Melayu diberikan kemerdekaan oleh British pada tahun 1957, pegawai-pegawai kolonial mencadangkan penggabungan semua bekas tanah-tanah jajahannya di Asia Tenggara menjadi satu negara.

Pada awalnya ia tidak bernama.

Gagasan itu hanya disebut sebagai “Grand Design”.

Tetapi di peringkat awal, apa yang dirasakan perlu dilakukan segera ialah penggabungan Singapura dan Malaya.

Ini kerana British hendak menghalang Singapura daripada jatuh ke tangan komunis.

Pada masa sekarang, keadaan itu tentu dirasakan pelik.

Tetapi pada masa itu, ancamannya adalah nyata.

Perisikan British menunjukkan bahawa komunis boleh menguasai Singapura.

Selama itu, apabila disebut British Malaya, ia meliputi Singapura.

Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, British memisahkan keduanya dan Tanah Melayu menjadi Malayan Union.

Apabila merdeka, orang Melayu memanggil negara ini Tanah Melayu.

Orang bukan Melayu memanggilnya Malaya.

Walaupun satu negara, ia tidak menjadi satu bangsa Malaya.

Apa yang ada ialah tiga bangsa, Melayu, Cina dan India.

Kehidupan kena diteruskan dengan menerima keadaan yang ada secara kompromi dan toleransi.

Tunku beranggapan bahawa kemasukan Singapura akan menambahkan lagi sakit kepalanya.

Tetapi ancaman komunis adalah jelas dan lebih berbahaya.

Tunku terpaksa menerima dengan syarat supaya Sarawak, Brunei dan Sabah turut sertai supaya orang Melayu tidak terancam dengan kedudukannya diperluaskan untuk menjadi Bumiputera.

Keengganan Brunei untuk menyertai Malaysia menyedihkan Tunku walaupun beliau sebelum itu menolak suatu permintaan negara itu.

Tetapi kehidupan perlu diteruskan dan Malaysia diwujudkan dengan apa yang ada.

Identiti awal Malaysia adalah lanjutan kepada Tanah Melayu.

Perlembagaan Malaysia adalah peluasan Perlembagaan Tanah Melayu.

Institusi Yang di-Pertuan Agong menjadi institusi ketua negara Malaysia.

Bendera dan jata negara Malaysia adalah lanjutan daripada lambang Tanah Melayu.

Cadangan lagu rasmi yang baru ditolak supaya Negaraku diambil untuk dijadikan lagu kebangsaan Malaysia.

Begitu juga dengan Hari Kebangsaan Tanah Melayu dikekalkan untuk seluruh Malaysia.

Tetapi dalam proses itu, Tanah Melayu dan Malaya hilang identiti dan entiti.

Tidak ada lagi Tanah Melayu atau Malaya.

Apa yang ada ialah Malaysia Barat.

Apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia, ia menjadi Semenanjung Malaysia.

Kehidupan kena diteruskan dengan apa yang ada.

Masa berlalu dan perubahan zaman pasti berlaku.

Generasi juga berganti.

Kekurangan pada keadaan yang ada tidak wajar dipersalahkan pada generasi pada sekarang.

Sementara warga generasi lalu banyak yang sudah tiada, maka pewarisnya perlu teruskan hidup dengan apa yang ada.

Covid-19 melakukan banyak kerosakan pada kehidupan manusia dan juga ekonomi di seluruh dunia.

Seseorang hanya boleh memandang pada tahun-tahun sebelum 2019 dengan penuh nostalgia.

Tetapi kehidupan baru perlu dimulakan kembali.

Ramai orang terkorban kerana Covid-19 sejak dua tahun ini.

Bukan saja warga emas tetapi juga banyak anak-anak menjadi yatim piatu kerananya.

Tetapi kehidupan wajar diteruskan dan dilanjutkan dari atas tapak yang ada.