Monday, September 20, 2021

Kemelut politik negara, kembalikan mandat kepada rakyat

Penyelesaian terbaik untuk kemelut politik pada hari ini ialah melalui pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Other News

Tidak lama lagi Parlimen akan menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Walaupun dalam politik tiada apa yang mustahil, di atas kertas sekarang, sepertimana yang diwar-warkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Umno ialah PN sudah hilang majoriti di Parlimen.

Sama ada pada 6 September atau lebih awal lagi, kerajaan PN kini ibarat “telur di hujung tanduk”.

Akan tetapi, apa sahaja keputusan yang bakal berlaku tidak akan menjadikan Malaysia dipandu oleh sebuah kerajaan yang stabil.

Katakanlah, PH, Umno (kluster mahkamah), Pejuang, Warisan dan ahli-ahli Parlimen bebas berjaya menumbangkan Muhyiddin dan PN, sudah pasti kerajaan yang baru tertubuh juga tidak mempunyai majoriti besar.

Disebabkan kerajaan baru itu akan menghimpunkan musuh tradisi seperti Umno (kluster mahkamah) dan DAP, kita sudah boleh meramalkan apa yang akan berlaku kepada pentadbiran seperti itu.

Sudah pasti media arus perdana dan alternatif akan “meriah” dengan kenyataan pemimpin-pemimpin kerajaan yang “berperang secara terbuka”, seperti di zaman PH memerintah selama 22 bulan dahulu.

Jangan kita terlupa, semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri di zaman PH, beliau boleh dikritik dan diselar malahan didesak secara terbuka untuk meletakkan jawatan oleh pemimpin-pemimpin parti komponen seperti PKR dan DAP.

Apakah keadaan seperti ini akan memberikan kestabilan ketika pandemik Covid-19 masih belum reda?

Apakah pelabur asing akan yakin untuk kembali melabur dengan ketidakstabilan baru ini?

Kemungkinan kedua ialah Muhyiddin berjaya mempertahankan kerajaan PN menggunakan kelebihan yang ada padanya sebagai perdana menteri.

Ianya hanyalah penyelesaian sementara bagi meredakan kemelut politik, akan tetapi kerajaan tetap tidak stabil.

Muhyiddin akan berdepan dengan tekanan dan ugutan menjelang pembentangan Belanjawan 2022 dan kemungkinan ianya tidak dapat diluluskan.

Negara sekali lagi akan berada dalam keadaan tergantung.

Maka penyelesaian terbaik untuk kemelut politik pada hari ini ialah melalui pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ada yang berkata pilihan ini tidak mungkin boleh diadakan kerana pandemik masih melanda.

Dan pilihan raya Sabah yang menjadi punca kepada gelombang demi gelombang Covid-19 pada ketika ini, dan ia tidak patut diulangi.

Alasan ini tidak saintifik kerana mereka terlupa, sekiranya pembubaran Parlimen dilakukan sekarang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengatakan imuniti kelompok akan berjaya dicapai pada Oktober.

Mengikut sasaran kerajaan, pada akhir Oktober, 100% golongan dewasa sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 80% menerima vaksin lengkap.

Ertinya, sekiranya Parlimen dibubarkan pada awal September, PRU15 boleh diadakan pada bulan November ketika negara sudah mencapai imuniti kelompok.

SPR boleh menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi PRU15 ini contohnya seperti tiada majlis perhimpunan untuk kempen dan tiada kempen rumah ke rumah sahaja.

Kempen hanya dibenarkan melalui media massa dan media sosial sahaja.

Pembuangan undi boleh juga dibuat dengan SOP yang ketat seperti perbanyakkan tempat mengundi bagi mengelakkan tidak terlalu ramai orang berkumpul di sesuatu tempat.

Selain itu, waktu mengundi juga boleh diperpanjangkan.

Dengan mengadakan PRU15, rakyat akan diberikan pilihan untuk memilih satu kerajaan yang kuat dan stabil yang tidak boleh “diugut” oleh ahli-ahli Parlimen sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Ini kerana, dalam berdepan dengan pasca Covid-19 dan untuk melakukan pemulihan ekonomi, Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat untuk melaksanakan dasar dan program-programnya.

Sekiranya keadaan seperti sekarang berterusan, sama ada PN atau PH yang mengemudi kerajaan, Malaysia tidak akan pulih daripada krisis ini dan rakyat akan terus menderita.

Demi keselamatan rakyat dan pemulihan negara pasca Covid-19, kembalikanlah kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Kamarul Khairy merupakan pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles