Wednesday, July 28, 2021

Kerajaan gagal adalah naratif ciptaan makhluk asing gila kuasa

Hanya mereka yang masih gila politiking sahaja menganggap Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19.

Other News

Beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam mula melaksanakan perintah berkurung, darurat dan kawalan pergerakan lebih ketat mulai minggu ini sebagaimana yang telah Malaysia lakukan apabila varian baru Covid-19 dikesan sudah menular masuk ke negara masing-masing baru-baru ini.

Kawasan Greater Bangkok yang menyumbang kira-kira 50% kepada pendapatan domestik mula menutup semua kompleks beli-belah, spa, pusat mengurut serta klinik kecantikan bermula Isnin. Kerajaan negara tersebut turut melaksanakan perintah bekerja dari rumah untuk penjawat awam, perintah berkurung pada waktu malam serta larangan rentas daerah.

Indonesia juga mengenakan perintah darurat ke atas 15 kawasan termasuk 13 bandar di  Kalimantan, Bali, Sumatera, Papua dan Lombok. Kompleks beli-belah diarahkan tutup, makan di restoran dilarang sama sekali dan semua pekerja di sektor bukan perkhidmatan perlu mesti bekerja dari rumah.

Vietnam juga mengenakan perintah yang sama mulai Jumaat dengan sasaran mahu mengekang penularan Covid-19 tersebut yang disifatkan paling buruk sejak pandemik itu menyerang kembali negera tersebut pada April lalu.

Para penduduk di Ho Chi Minh City dilarang daripada berkumpul lebih daripada dua orang, mereka hanya dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan sahaja seperti makanan, ubat-ubatan serta bagi kes-kes kecemasan. Hanya mereka yang mendapat keputusan negatif dalam ujian saringan Covid-19 sahaja dibenarkan memasuki kawasan ibu kota.

Dengan kata lain, gelombang terbaharu pandemik ini yang menyebabkan Malaysia terpaksa menguatkuasakan perintah darurat, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pelbagai SOP ketat  dan tegas bukan hanya berlaku di sini malah di seluruh dunia.

Selain Asean, berpuluh-puluh lagi negara turut melaksanakan perintah berkurung atau darurat yang sama sejak tercetusnya varian baru antaranya Australia, Korea Selatan dan Jepun manakala beberapa negara lain lagi hanya menunggu masa untuk mengambil dan melaksanakan pendekatan yang sama .

Gelombang Covid-19 ini datang silih berganti. Ketika keadaan seperti sudah mula reda dan kembali seperti sedia kala dengan semua sektor kehidupan mula dibuka, pandemik ini menyerang kembali. Setiap kerajaan di seluruh dunia memperkenalkan pelbagai pendekatan bagi menangani situasi ini termasuk Malaysia.

Segala pendekatan serta inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan masing-masing bagi menangani pandemik ini dan pada masa yang sama bertujuan membantu rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang terkesan teruk akibat penangan pandemik ini.

Pendekatan ini sedikit sebanyak berjaya membantu meringankan beban kehidupan kumpulan yang terlibat bagi meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama memulihkan kembali kehidupan mereka.

Dalam keadaan pandemik ini tidak nampak akan berakhir di seluruh dunia dan dengan segala usaha dan inisiatif kerajaan yang fokusnya hanyalah untuk membantu rakyat, adalah sangat tidak adil untuk terus menuduh kerajaan gagal.

Naratif kerajaan gagal hanyalah ciptaan parti-parti politik seperti Umno, PKR dan DAP bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi menubuhkan sebuah jajaran baharu politik sebelum atau selepas pilihan raya umum nanti.

Seorang bekas perdana menteri yang kini menjadi “Perdana Menteri Facebook” dan masih menaruh harapan untuk membuat “comeback” dan dua orang bekas timbalan perdana menteri yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri tetapi tidak kesampaian dan tidak pernah padam pun tahu tidak ada sebuah kerajaan di dunia sehingga kini berjaya mengekang serangan pandemik ini.

Bagaimanapun mereka berterusan menyerang kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin hanya kerana mahu seorang perdana menteri yang mampu menangani krisis Covid-19. Siapakah “seorang perdana menteri” yang dimaksudkan itu? Jawapan tidak lain dan tidak bukan “diri saya sendiri.”

Kalau inilah kayu ukur yang digunakan “Perdana Menteri Facebook”, maka satu dunia perlu mendesak perdana menteri atau presiden masing-masing meletak jawatan kerana tidak ada sebuah negara pun lagi yang mampu keluar daripada pandemik ini yang membawa kepada krisis ekonomi di negara masing-masing!

Di negara lain semua parti politik meletakkan kepentingan diri dan perbezaan ideologi ke tepi, berganding bahu membantu negara berjuang melawan pandemik ini. Tetapi di Malaysia lain pula ragamnya. Parti-parti politik dalam jajaran baharu bertungkus-lumus melakukan macam-macam gerakan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika negara sedang bermati-matian melawan pandemik halimunan ini.

Itupun mereka masih mendakwa gerakan tersebut bukan kerana gila kuasa tetapi kerana mahu menyelamatkan Malaysia. Kalau bukan kerana gila kuasa apa lagi tujuan dan matlamatnya?

Ada benarnya kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang bahawa hanya mereka yang masih gila politiking sahaja menganggap Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19. Mereka ini seolah-olah mereka berada di sebuah planet lain dan bukannya di bumi. Mereka menjadi sedemikian disebabkan oleh nafsu politik angkuh terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa!

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles